Bagi meningkatkan tahap pendidikan negara setan­ding dengan negara maju lain, kerajaan menyediakan peruntukan pemba­ngunan berjumlah RM1.096 bilion untuk Kementerian Pendidikan membina sekolah baharu dan menggantikan semula sekolah daif atau rosak teruk di seluruh negara.

Keprihatinan kerajaan untuk membaik pulih semula sekolah-sekolah terbabit merupakan salah satu inisiatif bagi menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat sekali gus dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang pelajaran dan kokurikulum.

Menurut Setiausaha Bahagian Pembangunan Pelajaran Kementerian Pendidikan, Datuk Khalid Abu Bakar, pada tahun ini sahaja sebanyak 899 pembangunan projek sekolah dan infrastuktur baharu akan dilaksanakan.

Beliau berkata, sebanyak 885 projek merupakan projek sambungan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Rolling Plan Pertama Ranca­ngan Malaysia Ke-11 (RMK-11) manakala ba­kinya merupakan projek baharu.

Khalid berkata, bagi pembinaan sekolah pula sebanyak 227 buah sekolah sedang disiapkan manakala lapan sekolah baharu akan dibina melibatkan peruntukan sebanyak RM478 juta.

“Selain itu, dengan peruntukan ini juga pihak kementerian akan membangunkan semula sebanyak 120 sekolah daif iaitu 30 buah sekolah masing-masing di Sarawak dan Sabah serta 60 sekolah di Semenanjung dengan menggunakan teknologi sistem bangunan ber­industri (IBS).

“Pada masa sa­ma, kementerian ju­ga akan menaik taraf sebanyak 1,800 makmal sains di sekolah yang telah dikenal pasti de­ngan kos keseluruhan berjumlah RM570 juta,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Khalid berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat pihaknya, sebanyak 1,174 daripada 1,456 sekolah di Sarawak dikategorikan sebagai daif atau rosak teruk, de­ngan 183 buah sekolah dikenal pasti perlu diganti segera.

Katanya, di Sabah sebanyak 416 daripada 1,290 sekolah telah dikenal pasti dalam keadaan daif dan rosak teruk, dan daripada jumlah itu sebanyak 59 sekolah akan dibaiki segera.

Menurut Khalid, semua projek menaik taraf sekolah daif dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan.

Katanya, pembinaan projek bangunan baharu di Sabah dan Semenanjung dijangka dimulakan pada April ini manakala di Sarawak akan bermula pada bulan hadapan.

“Bagi projek pembangunan semula, kementerian memilih menggunakan teknologi IBS sepenuhnya kerana kosnya yang lebih murah dan dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

“Idea untuk menggunakan ka­edah ini tercetus selepas kementerian menggunakan teknologi ini bagi membaiki bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaaan Tamil (SJKT) Dengkil, Selangor yang rosak akibat kebakaran kira-kira dua tahun lalu,” katanya.

Lebih membanggakan, Khalid berkata, penggunaan kaedah IBS telah mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau meminta supaya kaedah sama digunakan bagi mem­baiki sekolah daif dan rosak teruk di seluruh negara.

Beliau berkata, selain pengli­batan kerajaan dalam pembinaan sekolah, pihak swasta turut tidak ketinggalan bekerjasama secara langsung membina sekolah ter­utamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, projek bersama syarikat swasta itu me­rupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu masyarakat setempat mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti dan selesa.

Khalid berkata, bagi menjadikan setiap sekolah dalam ke­adaan baik, Kementerian Pendidikan juga telah menyediakan Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyenggaraan Sekolah.

Wang tersebut adalah untuk me­­­n­ye­nggara sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJKT, sekolah mubaligh, sekolah ber­asrama penuh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Katanya, pihaknya telah menyediakan peruntukan ke­seluruhan berjumlah RM500 juta untuk untuk tujuan tersebut semua jenis sekolah ter­babit.