Naib Rektor Hubungan Antarabangsa Universiti Muhammadiyah Jakarta, Indonesia, Dr. Rohimi Zamzam berkata, Modul 10 Minit ini memberi wajah baharu dan mengubah senario perhimpunan sekolah yang konvensional menjadi dinamik.

“Ketika ini, perhimpunan sekolah, termasuk di Indonesia, lazimnya bersifat sehala dengan murid mendengar ucapan atau amanat guru sahaja.

“Namun dengan Modul 10 Minit, senario perhimpunan berubah menjadi aktiviti berpusatkan murid yang bukan sahaja seronok dilaksanakan malah dapat menjana proses pemikiran mereka,” jelas beliau yang berminat untuk melaksanakan modul ini di Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti pembentangan mengenai Modul 10 Minit dalam perhimpunan sekolah di Seminar Pedagogi Antarabangsa Kelapan 2017 di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pembentangan disampaikan oleh pensyarah IPG Kampus Ilmu Khas, Norani Abd Rahim, Norzamziah Md Noor dan Dr. Ismail Raduan.

Modul 10 Minit yang me­ngandungi demonstrasi kan­dung­an, pemahaman, tugasan berdasarkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan refleksi menjadikan perhimpunan sekolah “hidup” dengan pelbagai aktiviti yang dirancang secara teliti oleh murid dengan guru sebagai pemudah cara.

Aktiviti dan panduan lengkap berserta skrip diterbitkan pada akhbar pendidikan, Utusan Pelajar bagi memudahkan guru meng­aplikasikan modul ini.

Antara aktiviti modul ini termasuklah gerak kerja serentak, lakon peranan, persembahan, per­tandingan dan simulasi agar da­pat memberikan impak positif yang berkekalan kepada semua murid secara inklusif tanpa me­ngira latar belakang sosial, tahap kognitif, aliran perdana atau pendidikan khas mahupun Orang Asli.

Menerusi pendekatan ini juga dapat membudayakan KBAT di luar waktu pembelajaran formal dengan melaksanakan aktiviti yang kreatif dan fleksibel.