Program itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rok, di sini baru-baru ini yang mempunyai murid Orang Asli dilihat signifikan dalam menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Pengarah Jabatan Pengemba­ngan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Ali berkata, program anjuran DBP berkenaan bertujuan menye­mai semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Katanya, program tersebut juga memberi pelbagai pendedahan dan maklumat kepada murid serta pelajar tentang penggunaan bahasa Malaysia dengan betul.

“Program seperti ini akan dilaksanakan di seluruh negara oleh DBP bagi memperkasa lagi penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan murid dan pelajar pelbagai kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian tersebut yang di­sempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Menurut Padilah, pelbagai aktiviti diadakan yang mendapat sambutan menggalakkan seperti pertandingan bercerita, pertan­dingan mengeja dan pertandi­ngan berbicara berirama sempena program berkenaan.

Berdasarkan kepada sambutan dan kejayaan program itu, kata­nya, pihaknya akan meneruskan lagi program seperti itu di seluruh negara termasuk di sekolah-sekolah vernakular.

Sementara itu, Norol Azali berkata, penganjuran program seperti itu di kawasan luar bandar yang turut mempunyai ramai murid dan pelajar Orang Asli bertepatan dengan usaha menyemai rasa cinta kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap program se­perti itu dapat diterus dan diperluaskan lagi ke kawasan lain dari semasa ke semasa.