Bagi meraikan sambutan bersejarah berkenaan, Alumni SMKDPB, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti termasuk jamuan makan malam.

Mengimbau kembali perjalanan SMKDPB, Pengetuanya sekarang, Hashim Mohd. Dom berkata, sekolah tersebut yang diwujudkan pada tahun 1959 menumpang di Government English School atau kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar (1) di bandar ini.

Menurutnya, nama SMKDPB diambil sempena gelaran Orang Besar Johor yang ketika itu pernah memerintah barat daya Johor termasuk Pontian dengan gelaran Dato' Penggawa Barat yang disandang oleh Datuk Abdul Samad Ibrahim.

“SMKDPB pernah menempa sejarah sebagai sekolah menengah kebangsaan pertama mengadakan sistem sewaan buku teks kepada para pelajarnya bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan.

“Pada tahun 1970, sekolah ini telah memperkenalkan mata pelajaran Sains Tulen dengan penempatan guru-guru dari Indonesia untuk mengajar subjek tersebut dan Matematik,” katanya.

Selain jamuan makan malam, lebih 2,000 hadirin turut menyertai solat hajat dan ceramah perdana dengan tajuk Sirih Pulang ke Ga
gang yang disampaikan Datuk Kazim Mohd. Elias serta diserikan dengan persembahan oleh bekas vokalis Kumpulan Slam, Zamani.

Hashim berkata, SMKDPB terus mencipta sejarah dengan mewujudkan aliran sastera bagi pelajar tingkatan enam pada tahun 1978 dengan pengambilan 43 pelajar perintis.

“Ini diikuti dengan aliran sains pada tahun 1979 yang merupakan satu-satunya sekolah yang menawarkan peluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam pada ketika itu di daerah Pontian,” katanya.

SMKDPB pada awalnya bermula dengan tiga blok bilik darjah dan tiga bengkel pertukangan serta masing-masing satu blok guru dan rumah kakitangan yang siap pembinaannya pada tahun 1964 dan pertambahan bilik darjah diteruskan hingga tahun 1993.

“Tanggal 19 April 1989, SMKDPB menempa satu lagi kegemilangan dengan pelajaran Sekolah Contoh Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) serta perasmian Bilik Gerakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pontian,” katanya sambil melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian SMKDPB telah banyak menempa kejayaan sepanjang 50 penubuhannya termasuk muncul johan kuiz Permodalan Nasional Berhad (PNB) peringkat kebangsaan bermula tahun 2005 hingga 2012.

“Sekolah ini juga muncul johan pertandingan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan (3K) peringkat kebangsaan pada tahun 1996 serta lain-lain kejayaan dalam bidang kokurikulum, akademik dan sukan serta pada tahun 1998, SMKDPB menerima anugerah kualiti Menteri Pendidikan bagi kategori sekolah menengah luar Bandar,” katanya.

Seterusnya pada tahun 1998, SMKDPB terus mengharumkan nama daerah Pontian dan negeri ini ke-
rana diisytiharkan sebagai Sekolah Bestari, seterusnya Sekolah Kluster Kecemerlangan pada tahun 2011 dan dan Sekolah Berperestasi Tinggi (SBT) pada 2013.

Mengenai sambutan jubli emas tersebut, Hashim melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan itu sejajar dengan aspirasi kecemerlangan yang dibawa oleh SMKDPB selama ini.

“Sebagai pentadbir, saya terharu dan gembira kerana turut menjadi sebahagian daripada warga SMKDPB yang terus mengukir kejayaan bermula dari sekolah kampung sehingga menerjah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.