Majlis pengagihan tablet yang diadakan hari ini di Pejabat Pendidikan Daerah, Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru di sini dirasmikan Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Abd. Wahid Ramli berkata, pemberian tablet oleh Kementerian Pendidikan itu diharap dapat digunakan oleh para guru dalam melakukan transformasi bagi penyediaan rancangan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

“Seiring dengan peredaran zaman yang menyaksikan penggunaan gajet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita tidak seharusnya ketinggalan.

“Oleh itu, pemberian tablet ini harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyesuaikan gaya penyampaian seiring dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Mohd. Rosli Ahmad dan Penolong Pengurus Kewangan Kawalan Kredit Jabatan Kewangan Utusan Melayu (M) Berhad, Azman Musa.

Dalam pada itu, Abd. Wahid berkata, tablet itu seharusnya dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menitikberatkan aspek kemenjadian murid sebagai asas kecemerlangan.

“Guru-guru perlu sentiasa me­ningkatkan ilmu dan kemahiran mereka melebihi murid-murid. Penggunaan teknologi dalam dunia pendidikan harus seiring dengan perkembangan Revolusi Industri Keempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rosli berkata, pemberian tablet itu sewajarnya dianggap sebagai satu amanah, bukan sahaja bagi me­ningkatkan penguasaan ilmu para pelajar, malah mengajar mereka tentang apa yang dianggap ‘betul dan salah’ dalam kehidupan.

“Selain itu, sebaik-sebaiknya­ ia turut dimanfaatkan untuk me­ngekalkan kecemerlangan da­erah Kerian sebagai daerah terbaik, khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.