Daripada jumlah itu, seramai 6,814 pelajar melibatkan Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak diikuti di Setiu (3,750 pelajar) dan Besut (3,572 pelajar.

Turut terlibat 2,950 pelajar di Parlimen Marang, Kemaman (2,724 pelajar), Dungun (2,690 pelajar)

dan Hulu Terengganu (2,600 pelajar).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya teruja dengan pencapaian 25,100 orang pelajar yang berjaya khatam al-Quran daripada keseluruhan 72,000 pelajar yang mengikuti KAFA di negeri ini.

“Kita gembira dan berbesar hati kerana dapat meraikan seramai 25,100 pelajar KAFA secara serentak di seluruh negeri ini dan majlis seumpama ini telah bermula sejak 2008 hingga sekarang.

“Ini bermakna telah tujuh tahun berturut majlis ini diadakan dengan jayanya. Justeru itu, saya ucapkan syabas kepada seluruh warga YIT (Yayasan Islam Terengganu) yang bertungkus lumus memastikan kejayaan mengadakan majlis ini,” katanya pada majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Ali Mohammed serta Pengarah YIT, Datuk Dr. Alias Abdullah.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Jakim yang menyalurkan peruntukan berjumlah RM32 juta setahun kepada YIT untuk bayaran elaun 3,060 guru KAFA di Terengganu.