Mereka diraikan dalam majlis khatam secara serentak di seluruh negeri semalam bagi membolehkan kesemua murid hadir dalam program tradisi tahunan menjelang berakhirnya sesi persekolahan tahun ini.

Perasmian peringkat negeri disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini yang melibatkan penyertaan murid dari sekolah sekitar kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zuber Embong; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nordin Ibrahim; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Husain dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd Yasim Awang.

Berucap pada majlis itu, Ghazali menegaskan, kerajaan negeri sentiasa komited mengukuhkan usaha ke arah memastikan sebahagian besar murid sekolah rendah di negeri ini khatam al-Quran sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

Katanya, daripada jumlah murid yang khatam al-Quran, seramai 6,485 murid adalah dari Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala Parlimen Besut melibatkan seramai 3,638 murid dan Parlimen Setiu (3,738 murid).

“Kawasan Parlimen Marang pula seramai 2,897 murid, Parlimen Hulu Terengganu (2,588 murid), Dungun (2,962 murid) dan Kemaman (2,704 murid).

“Pada tahun lalu seramai 24,330 murid berjaya khatam al-Quran. Walaupun bukan perkara mudah, kita sasarkan matlamat agar semua murid khatam sebelum meninggalkan sekolah rendah,” katanya.

Katanya, jumlah murid yang khatam meningkat setiap tahun dan ini memperlihatkan perhatian khusus dan berpanjangan oleh kerajaan negeri dalam mencorakkan modal insan yang mempunyai asas pegangan agama.

“Selaras dengan itu juga kerajaan negeri mahu agensi berkenaan supaya terus memaksimumkan penggunaan E-Book kepada murid KAFA kerana pembelajaran secara interaktif itu lebih menarik minat murid dan mempercepatkan proses pembacaan al-Quran,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jakim ketika berucap pada majlis itu berkata, kini lebih sejuta murid telah mengikuti kelas KAFA melalui bimbingan kira-kira 34,000 guru di seluruh negara.

Menurut Nordin, KAFA mula diperkenalkan pada tahun 1990 dengan penglibatan murid kira-kira 170,000 dan tenaga pengajar kira-kira 6,000 orang.

Beliau memuji kerajaan negeri melalui YIT memberikan komitmen tinggi dalam usaha melahirkan modal insan celik al-Quran terma­suk melantik lebih 3,000 guru KAFA dan meningkatkan kadar elaun mereka agar dapat membimbing murid dengan berkesan.