Program selama tiga hari yang berakhir hari ini di bawah Program Bantuan Pelajar-pelajar (SAP) yang merupakan aktiviti teras yayasan berkenaan sejak empat tahun lalu melibatkan murid-murid sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tujuan penganjuran kem ber­kenaan adalah untuk menyediakan murid-murid terbabit secara mental dan akademik bagi menghadapi UPSR tidak lama lagi.

“Murid-murid berkenaan te­lah ditempatkan selama tiga hari dua malam di sebuah hotel ketika menyertai kem itu dan yayasan membelanjakan RM84,000.00 un­tuk menganjurkannya,” kata­nya dalam majlis penutup kem motivasi berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, murid SK Bandar Rinching, Nurafiqah Samsuri, 12, melahirkan rasa gembira kerana dapat menyertai kem motivasi tersebut.

“Saya berasa sangat seronok kerana dapat menyertai program ini yang banyak memberikan tip untuk berjaya dalam UPSR,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh murid SK Puchong Jaya, S. Qudisvar, 12, yang berazam mahu melakukan yang terbaik semasa menjawab soalan-soalan UPSR nanti.

“Saya yakin selepas menyertai kem ini, saya boleh menjawab soalan-soalan dengan lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, di bawah program SAP, murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang terpilih menerima bantuan pendidikan bernilai RM1,100 hingga RM1,200 secara tahunan sepanjang sesi persekolahan mereka manakala pelajar sekolah menengah dan universiti masing-masing sebanyak RM1,000 hingga RM1,400 dan RM5,000 setahun.