Pengurus Besarnya, Zabidi Nayan berkata, sumbangan itu adalah tanggungjawab sosial korporat yayasan berkenaan untuk membantu masyarakat menerusi agenda pendidikan, kebajikan dan dakwah.

Katanya, Yayasan Taqwa sentiasa peka dengan aspek pembangunan kemanusiaan terutama jika ada rakyat negara ini ditimpa musibah seperti banjir.

“Sumbangan dalam bentuk barangan kepada mereka yang memerlukan bantuan diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan mereka di samping me­ningkatkan dakwah Islamiah.

“Yayasan Taqwa sentiasa menyediakan peruntukan khas kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti kelengkapan persekolahan,” katanya ketika ber­ucap pada majlis penyam­paian sumbangan tersebut yang di­sempurnakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Borhanudin Hashim serta PPD Temerloh, Amri Mohd. Amir.

Pada majlis itu, Tabung Pu­teri Prihatin Bencana Kuala Krau turut dilancarkan bagi mengisi tabung tencana kebakaran Felda Jengka 11 dan SM Agama Maran.

Sementara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau menyifatkan bantuan yang dihulurkan itu sebagai langkah mulia dan wajar dicontohi.

“Sumbangan berupa pakaian, kasut sekolah dan alat tulis kepada murid serta anak-anak pendidikan khas merupakan simbolik keprihatinan terhadap golongan memerlukan bantuan,” katanya.