Pengetua SBP Integrasi Gombak, Nor Hayati Yusoff berkata, peluang mewakili negara ke pertandingan sama di Mexico pada Ogos ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuktikan pelajar kita setanding dengan rakan mereka di peringkat dunia dalam bidang reka cipta, robotik dan inovasi.

“Penyertaan dalam pertan­dingan peringkat antarabangsa itu juga akan melonjakkan aras keyakinan diri pelajar untuk menyerlahkan potensi mereka sambil membina jaringan dengan rakan sebaya dari seluruh dunia.

“Pendedahan itu pastinya amat bermanfaat untuk pelajar me­nimba pengetahuan baharu, me­ningkatkan kemahiran komunikasi dan menanda aras tahap pencapaian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan kejayaan pasukan sekolahnya yang dianggotai Nadhirul Atiq Ruzali, Mohammed Noorfadzil Yusof, Daniel Hasyimi Ahmad Hisham, Muhammad Ammar Lukman Hakim dan Farid Ibrahim Amran.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan anjuran Robotics Learning (M) Sdn. Bhd. itu di­sempurnakan oleh Duta Mexico ke Malaysia, Carlos Felix Corona.

Selaku juara, pasukan SBP Integrasi Gombak menerima pingat emas dan sijil.

Dalam pertandingan itu, pelajar dilatih bekerjasama bagi menyelesaikan masalah yang mencabar menggunakan pemikiran logik, sistematik dan kreatif menerusi pemprograman robot.

Objektif pertandingan adalah untuk membantu pelajar secara hands-on membina asas yang kukuh dalam bidang sains, teknologi, matematik, reka bentuk serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sementara itu, guru penasihat pasukan tersebut, Norliza Zainal berkata, pertandingan ini dapat menarik kecenderungan generasi muda untuk meneroka bidang robotik.

“Di samping itu, pertandingan ini juga memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya reka cipta berdasarkan sains dan teknologi.

“Dan yang lebih penting, per­tandingan ini menyediakan platform untuk pelajar bertanding ke peringkat antarabangsa,” katanya.