Pengetua SBP Integrasi Gombak, Nor Hayati Yusoff berkata, menerusi kerjasama ini kedua-dua pihak terutama pelajar dapat berkongsi pengetahuan dalam menghasilkan produk R&D yang diiktiraf antarabangsa.

“Kerjasama ini juga terjalin ha­sil kejayaan pasukan R&D SBP Integrasi Gombak dalam pertandingan sains di Singapura pada tahun lalu,” kata beliau ketika ditemui dalam Persidangan Penyelidikan Sains 2018 di sekolahnya di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Penganjur pertandingan itu, Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. menjadi penghubung kerjasama antara kedua-dua sekolah ini.

Sebagai sebahagian daripada hadiah kemenangan, syarikat ini akan membawa pasukan R&D SBP Integrasi Gombak ke Hyper-Interdisciplinary Conference di Tokyo pada Mac ini.

Menurut Pengarah Urusan dan Presiden Leave A Nest, Nami Akinaga, kerjasama ini dirintis bagi membolehkan cara berfikir berbeza dalam penyelidikan saintifik bergabung mencari penyelesaian untuk kesejahteraan semua.

“Pelajar Jepun cendung untuk berfikir berdasarkan sifat ingin tahu manakala rakan mereka dari Malaysia pula lebih mengutamakanpenyelidikan berasaskan sumber semulajadi,” katanya.

Pendapat ini disokong pelajar tingkatan 5 SBP Integrasi Gombak, Omar Qayyum Hamdan berdasarkan pembentangan produk R&D masing-masing.

“Mereka banyak membuat pe­nyelidikan yang dapat terus diaplikasikan dalam kehidupan seha­ri­an manakala kita pula cen­derung mengoptimumkan sumber semulajadi yang banyak di negara kita untuk manfaat bersama,” kata Omar yang turut membentangkan produk kajiannya.