Beliau berkata, ia melibatkan kira-kira 300 pelajar baharu bagi kemasukan September 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Katanya penilaian meliputi sembilan aspek iaitu kefahaman akademik; kemahiran akademik; pemikiran kritikal dan saintifik; kemahiran berkomunikasi; kemahiran sosial, berkumpulan dan kemanusiaan; etika, moral dan profesionalisme; pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; pengurusan dan keusahawanan; dan kepimpinan.

Menurutnya, iCGPA dapat mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan memandangkan sistem sedia ada hanya mengukur kemampuan akademik pelajar.

"Kita sentiasa mendengar komen mahukan graduan yang holistik, mempunyai ciri keusahawanan dan seimbang. Inilah yang kita harap dapat lahirkan melalui iCGPA," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dan sambutan Aidilfitri KPT, di sini hari ini.- BERNAMA