Keesokan hari, pagi-pagi lagi Saifudin datang ke rumah. Aku membonceng motorsikalnya ke sekolah untuk sama-sama mengambil keputusan STPM. Sepanjang perjalanan kami berdua hanya diam. Tidak banyak bercakap. Aku pasti tahu hati Saifudin juga berdebar-debar. Tiba di sekolah, aku dan Saifudin berjumpa dengan kawan-kawan lama. Apa lagi bukan main riuh kami berbual dan bertanyakan khabar. Kami semua diarahkan masuk ke dewan mendengar taklimat prestasi keputusan STPM.

Aku bersyukur kerana melalui taklimat tersebut, Sekolah Tinggi Muar berada di kedudukan nombor dua terbaik dalam negeri Johor. Masa untuk mengambil keputusan pun tiba. Aku mendapatkan guru tingkatan. Dia melihat keputusanku dan memandangku dengan tersenyum. Tahniah, katanya.

Tahniah? Aku mengambil keputusan dari tangannya dan beredar jauh dari kawan-kawanku ke sudut penjuru dewan. Perlahan-lahan aku melihat slip keputusan. Dengan tiba-tiba air mataku jatuh menitik melihat keputusanku. Aku lulus lima prinsipal walaupun tertulis abjad A, B dan C. Aku mendapatkan kawan-kawanku yang lain sambil berpeluk-pelukan mengucapkan tahniah.

Rasa bangga dan puas terpapar pada wajah kawan-kawanku termasuk Saifudin dan Najib. Secara perlahan-lahan aku mendapatkan pujaan hatiku, pelajar bertudung labuh sambil mengucapkan tahniah kepadanya kerana dinobatkan pelajar terbaik. Dia melihat keputusanku dan tersenyum. Ketika ini kami berdua diibaratkan belangkas. Ke mana pergi tetap berdua. Seiring sejalan. Sehati sejiwa.“Man, kita sama-sama boleh masuk universiti,” katanya dengan penuh gembira.

“Ya. Syukur Alhamdulillah,” jawabku tersenyum sambil melihat matanya. Usaha dan tawakal selama dua tahun aku bersamanya belajar dan membentuk kumpulan perbincangan membuahkan hasil. Kami sentiasa berpandangan antara satu sama lain. Jelas terpancar di matanya kegembiraan yang amat sangat apabila ramai kawan-kawan mendapat sijil penuh. Kawan-kawanku mula menyakat apabila melihat aku berdiri rapat disisinya.

“Pasangan sejati ini tak payah ceritalah. Pasti mohon universiti yang sama,” Najib mencelah. “Mana kau tahu,” tanyaku dengan geram. “Ehhh, kau jangan lupa Man. Rahsia kau berdua banyak dalam poket aku dengan Saifudin,” jawab Najib dengan disambut hilaian ketawa kawan-kawan. “Man, jangan lupa. Dua tahun aku dengan Najib jadi tuan penasihat kau. Dua tahun juga aku dengan Najib jaga kau dengan buah hati kau,” balas Saifudin sambil Najib menganggukkan kepala. Aku dan dia hanya tersenyum. Malu pula rasanya.

***

AKU pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Aku nak bagi emak slip keputusan. Biar emak bangga anaknya berjaya. Aku menghampiri emak dan menunjukkan slip keputusan padanya dan menyatakan aku lulus. Emak hanya diam dan terus menyapu lantai. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Emak macam endah tak endah sahaja. Hatiku tersentuh. Kenapa emak macam tak suka aku lulus? Berbeza dengan keputusan SRP dan SPM yang aku perolehi dulu. Emak buatkan bubur putih bubur merah meraikan kejayaanku. Emak mencium pipiku berkali-kali. Aku melihat muka emak tetapi emak tidak peduli. Kenapa emak bersikap begini?

Aku memohon untuk menyambung belajar di universiti. Dengan keputusan lima prinsipal memang selayaknya aku memohon universiti. Aku berbincang bersama Saifudin serta Najib dan akhirnya kami memohon kemasukan ke universiti melalui talian dalam Internet. Aku merahsiakan permohonanku pada emak kerana sejak aku memberitahu keputusan padanya, emak memandangku macam orang asing.

Asyik mengelak bila aku hendak berbual dengannya. Aku memohon kerja di sebuah kilang di Tanjung Agas dan diterima bekerja dengan jawatan pembantu stor. Aku berazam untuk menyimpan duit sebagai bekalan untuk ke universiti. Sekurang-kurangnya aku tidak akan menyusahkan emak dan ayah. Dalam masa sebulan lebih, aku mendapat surat jawapan melalui sistem pesanan ringkas.

Permohonanku berjaya dan ditawarkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam. Aku merasa amat gembira dan mengucapkan syukur kehadrat Illahi. Usahaku selama ini tidak sia-sia. Aku juga mendapat perkhabaran pujaan hatiku, pelajar bertudung labuh berjaya ditawarkan ke Univerisi Malaya (UM), Kuala Lumpur. Aku berjumpa dengan emak. Aku beritahu semuanya pada emak. Bila emak mendengar, dia menangis dan masuk ke bilik. Aku tercengang kenapa emak jadi begini? Aku ketuk pintu bilik emak tetapi tiada jawapan. Aku berjumpa dengan ayah. Kulihat wajah ayah muram.

Aku bingung. Sepatutnya emak dan ayah gembira kerana anak bongsunya berjaya ke universiti.

“Ayah, kenapa emak tu?” “Biasalah Aman. Abang-abang kau dah lama kerja di tempat orang. Tinggal kau seorang sahaja dalam rumah ini. Mana emak kau tak sedih? Bila kau dah sambung belajar, tinggal dia seorang dalam rumah ni.” “Tapi Aman keluar dari rumah ini sambung belajar.” “Pergilah khabarkan pada emak kau.” Selepas makan, aku duduk dekat emak. Aku picit-picitkan kaki emak kerana dia mengeluh kakinya selalu sakit-sakit. Aku ambil minyak urut. Aku lumurkan kedua-dua kakinya sambil memicit. Emak hanya memandangku dan tidak berkata apa-apa. Sedang aku asyik memicit kaki emak, aku khabarkan surat yang aku terima. “Emak, Aman dapat masuk universiti. Di Shah Alam.”

Bila emak mendengar kataku, dia menepis tanganku. Surat tawaran melayang dari tanganku. Emak menangis. Menangis dan menangis. Hatiku tersentuh. Aku rasa berdosa pada emak kerana menyebabkan dia menangis. Dengan suara yang tersekat-sekat, emak bertanya. “Aman nak tinggalkan emak? Aman nak tinggalkan rumah ini?” “Emak, Aman tinggalkan emak untuk sambung belajar. Bukannya Aman suka-suka. Nanti bila cuti Aman baliklah rumah.” “Bila Aman tak ada, siapa nak picitkan kaki emak? Siapa nak teman emak pergi pasar? Siapa nak hantar emak ke surau?” Hatiku tersentuh. Emak menangis lagi. Aku serba salah. Lantas aku pegang tangan emak dan menciumnya. “Yalah emak. Aman tak pergi. Emak jangan risau. Emak jangan menangis lagi.” Emak reda dari tangisannya.

Hancur harapanku untuk ke universiti. Hari-hari berikutnya aku gagahi dengan hati yang terluka. Pergi dan balik kerja kilang. Bila sampai di rumah, aku kena berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku tidak mahu emak terkesan dengan kejadian tempoh hari. Aku sayang emak. Apa gunanya kalau aku ke universiti tanpa keberkatan dan doa dari seorang ibu? Semangatku masih meronta-ronta untuk sambung belajar. Sembilan belas tahun menghabiskan masa di sekolah dan inilah masanya untuk menuai. Tapi apakan daya. Kekangan perasaan emak membuatkan aku dalam dilema. Pantang salah sedikit, pasti aku naik angin. Operator-operatorku sudah masak dengan perangaiku.

Aku berhasrat sambung belajar lagi atas nasihat dan pandangan kawan-kawan yang balik bercuti semester. Kali ini aku memohon institut perguruan guru. Alhamdulillah, permohonan aku berjaya dan minggu depan aku kena mendaftarkan diri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar di Seremban. Seperti biasa selepas makan, aku akan memicit-memicit kaki emak. Aku teragak-agak untuk memberitahu emak bahawa aku akan mendaftar di institut perguruan Khamis depan.

Aku asyik memicit kaki emak. Emak macam terlelap di atas kerusi rotan. Perlahan-lahan aku memegang tangan emak. Emak terjaga apabila tangannya aku kucup. “Emak, Aman hendak beritahu emak. Aman dapat sambung belajar di institut perguruan di Seremban. Hari Khamis depan lapor diri.” Baru sahaja aku berkata, air mata emak mengalir. Dia menangis teresak-esak dan menepis tanganku. Aku terkejut. Ini kali kedua emak buat begini padaku. Kenapa emak? Salahkah anakmu ini hendak belajar lagi? Aku melihat emak dengan penuh syahdu. Aku merasa berdosa lagi kerana kata-kataku menyebabkan emak menangis. Aku memeluk emak. Emak membalas pelukanku dengan erat. “Yalah emak. Kalau emak tak bagi Aman tak pergi.”

Aku lantas masuk ke bilik dan menghempaskan kepalaku dibantal. Sambil merenung siling air mataku tumpah kali kedua. Semuanya disebabkan kekangan dari emak untuk aku terus memajukan diriku.

Apalah nasibku di kemudian hari? Kalau Aman tak ada duit, minta emak. Emak boleh bagi, ayat yang selalu keluar dari mulut emak tetapi aku tidak pernah meminta. Hatiku luluh lagi. Tiada peluang untuk aku menyambung belajar. Aku meneruskan kerjaku di kilang. Dari pembantu setor aku dinaikkan pangkat sebagai penyelia pengeluaran. Dari bahagian setor aku berpindah ke bahagian pengeluaran. Aku berkenalan dengan seorang operator pengeluaran yang wajahnya mirip dengan pujaan hatiku, pelajar bertudung labuh.

Aku menjalinkan hubungan dengannya setelah telefon dan whatsapp tidak berbalas. Ibarat pungguk merindukan bulan. Aku mengambil keputusan untuk berkahwin. Aku merasakan tiada berpeluang lagi untuk aku melanjutkan pelajaran. Hasratku diberitahu kepada emak dan ayah. Mereka amat gembira dengan keputusanku. Yang pasti selepas ini emak ada teman berbual-bual.

Emak dan ayah pergi merisik. Khabar duka kuterima apabila emak dan ayah pulang ke rumah. Katanya operator tersebut telah dirisik orang minggu lepas. Bakal tunangnya seorang timbalan pengarah. Ini bermakna aku lewat seminggu. Aku bekerja seperti biasa. Operator di bawah jagaanku sentiasa memandangku. Bila aku menghampirinya seakan-akan ada sesuatu untuk dia berkata.

Aku tidak mengendahkannya. Aku lalui hari-hari berikutnya seperti tiada apa yang berlaku tetapi di dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku terkenang kawan-kawanku. Mungkin sudah habis tahun pertama pengajian. Aku gembira bila cuti semester Saifudin dan Najib pasti berjumpa denganku. Kadangkala di rumahku dan kadangkala kami lepak-lepak di Tanjung Emas. Mengungkit kenangan lama ketika bersekolah. Bercerita mengenai kejayaan dan kehidupan.

“Man, buah hati kau dapat anugerah dekan. Memang hebatlah dia,” Saifudin memulakan bicara. “Buah hati?” “Ehhh, kenapa Man? Kau dah putus ke dengan dia?” soal Najib.“Whatsapp dan telefon aku tak berjawab. Aku tak tahu kenapa? Sibuk ke atau tak nak lagi berkawan dengan aku yang bekerja kilang? “Man, tak baik buruk sangka. Dia sibuk tu. Kalau tak macam mana dia boleh dapat anugerah dekan?” tambah Saifudin. “Sibuk pun berpatut-patutlah. Kalau tak nak jawab telefon, whatsapp. Senangkan?” “Tak apa Man. Nanti aku balik universiti, aku jumpa dia. Kau jangan risau,” tambah Najib.

***

SATU hari emak memanggilku. Rupanya emak hendak jodohkan aku dengan anak kawannya semasa sama-sama tinggal di Segamat sebelum berpindah ke Muar. Keluarganya tinggal di Tanjung Gading. Emak tunjukkan gambarnya padaku. Aku melihat dan hanya mampu terdiam. Budak satu kelas denganku masa tingkatan enam. Patutlah emak dan ayah pernah ajak ke rumahnya dan selang tiga hari keluarganya berkunjung ke rumahku ketika dalam bulan syawal.

Aku tidak memberikan sebarang keputusan pada emak. Aku masih lagi ternanti-nanti jawapan dari pujaan hatiku. Aku tidak mahu dituduh mungkir janji walau pun aku telah berbuat demikian dengan operator seliaanku. Hari-hari emak bertanya dan seakan-akan mendesakku. Aku berada dalam keadaan serba salah. Jauh disudut hati aku masih teringat pujaan hatiku dan operator yang mempunyai mirip wajahnya. Aku tidak mahu melihat lagi emak menitiskan air mata. “Yalah emak. Nanti Aman fikirkan. Emak jangan risau. Emak nak menantu kan?” tanyaku pada emak.

Emak hanya diam. Aku ingin lari dari semua ini. Kenangan dan pengharapan yang selalu bermain-main di kotak fikiranku. Aku memohon kerja melalui iklan dalam surat khabar dan memohon jawatan inspektor polis percubaan. Dua minggu selepas tarikh tutup, aku menerima surat yang tertera di sampul surat dengan ayat Polis Diraja Malaysia. Sahlah permohonan aku diluluskan. Aku kena melaporkan diri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada hari Rabu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Aku mesti keluar dari kepompong dilema ini dan membina kehidupan baru setelah episod kekecewaan demi kekecewaan silih berganti dalam hidupku.

“Emak, ada perkara penting Aman nak beritahu.” “Apa dia Aman?” tanya emak dengan ringkas. Aku diam sebentar. Menarik nafas panjang dan perlahan-lahan aku melihat muka emak. Kulihat kedutan diwajahnya. Rambutnya yang mula putih. Aku pegang tangan emak dan mencium tangannya. Kulihat kedut-kedutan ditangan emak. Emak yang aku sayangi dan tiada galang gantinya di dunia ini. “Aman nak masuk polis. Inspektor. Hari Rabu depan lapor diri di Kuala Lumpur. Aman nak kerja tetaplah emak.”

Emak memandangku. Tak semena-mena air matanya mengalir. Aku terdiam dan menahan sebak. Berdosa lagi aku kali ini. Emak melepaskan tanganku dan masuk ke dalam bilik. Dari luar aku terdengar suara emak menangis. Tersedu-sedu. Hancur hatiku. Universiti, IPG, inspektor polis dan pelajar bertudung labuh ditambah operator menyerupai pujaan hatiku telah gagal dalam hidupku.

“Yalah emak. Tak apa kalau emak tak beri pergi. Emak jangan menangis.”

(Al-Fatihah buat bonda tersayang)