Bukan aku sahaja yang harus menanggung masalah ini, ibu turut sama terpalit. Kelmarin, ibu telah menelefonku dan memberitahu suatu berita yang cukup hangat untuk membakar amarahku. Ibu memaklumkan bahawa Mak Cik Rabiah dan anaknya, Fairuz datang ke rumah dan memaki hamun ibu. Dari awal, aku sudah dapat mengagak tujuan mereka datang ke rumah iaitu berkenaan dengan tanah yang kami duduk selama ini.

Arwah ayah tidak mewasiatkan tanah itu kepada kami sebelum dia meninggal dunia dan sehingga hari ini, Mak Cik Rabiah iaitu kakak kepada arwah ayah ingin merampas tanah tersebut daripada kami. Mak Cik Rabiah akan buat apa sahaja bagi memastikan kami dua beranak angkat kaki dari rumah tersebut.

“Kamu dua beranak ni memang gila harta. Adik aku dah meninggal. Sekarang kamu berdua kena pergi dari sini. Ini tanah adik aku.”

Kata-kata Mak Cik Rabiah masih segar dalam ingatanku sehingga kini. Begitulah taraf aku yang dianggapnya sebagai pendatang, walhal aku merupakan anak saudaranya sendiri. Bukan itu sahaja, Mak Cik Rabiah juga pernah menampar ibu apabila ibu cuba mempertahankan tanah tinggalan arwah ayah tersebut.

Perjalananku selama 10 jam akhirnya menemui destinasi. Aku kemudiannya mengambil teksi untuk pulang ke rumah. Perjalanan pulang ke rumah yang menyelusuri sawah padi menyingkap semula kenangan lamaku. Aku tersenyum sendiri tatkala mengenang kembali peristiwa manis aku dengan arwah ayah dahulu.

Ayah berbakti kepada sawah padi ini selama hampir 23 tahun. Sawah padi yang terbentang luas inilah menjadi lubuk rezeki ayah sejak aku belum dilahirkan. Ketika di bangku sekolah rendah, aku selalu datang ke sawah padi ini sebaik pulang dari sekolah untuk menghantar makanan tengah hari kepadanya. Anak-anak haruan yang girang bermain di celah-celah padi akan kutangkap untuk dibela walaupun ayah selalu melarangku berbuat demikian.

Kata ayah, sawah padi itu luas. Kita tidak tahu keseluruhan isinya. Di sebalik pemandangan ikan haruan itu, mungkin ada bahaya yang menanti. Kata-kata ayah itu terbukti benar apabila pada suatu hari, seekor ular tedung selar keluar dari celahan pokok padi betul-betul di hadapanku. Aku lari bagaikan tidak cukup tanah kerana ketakutan. Sejak itu, aku tidak lagi berani untuk menangkap anak-anak haruan di dalam sawah padi. Kini, ayah telah pergi. Apa yang masih tinggal hanyalah kenangan bersamanya.

Lamunanku terhenti sebaik sahaja menyedari teksi yang ku naiki berhenti. Aku telah tiba di rumah. Ibu awal-awal lagi sudah menunggu kepulanganku di muka pintu rumah. Muka ibu yang pada awalnya suram dengan masalah kini bertukar ceria melihat ketibaanku yang sudah tiga bulan tidak pulang kerana kesibukan bekerja.

Aku terus mendekati ibu sebaik selesai membayar tambang teksi. Tubuh tua ibu ku peluk erat. Air mata ibu mulai mengalir kerana terharu dengan kepulanganku.

“Ibu rindu kamu sangat.”

Tiada kata yang mampu terbit dari mulutku sebaik mendengar kata-kata ibu. Rasa bersalah mula menyelubungi diriku. Aku tahu aku bersalah kerana tidak pulang ke kampung untuk menjenguk ibu dan menggunakan alasan sibuk sebagai pendinding diri. Aku tidak sepatutnya berbuat begitu.

Ibu mengajak aku untuk terus ke meja makan. Beberapa keping pisang goreng terhidang di atas meja bersama secawan kopi panas sebagai sarapan untukku. Ibu turut menemaniku menjamah sarapan sambil membuka cerita.

“Kamu tengok pokok-pokok yang kita tanam. Semuanya sudah mati diracun mereka,” kata ibu sambil menuding jari ke arah pokok-pokok betik yang sudah mati. Pokok -pokok betik itu selalu mengeluarkan buah yang banyak dan turut menjadi sumber rezeki buat kami dua beranak. Namun, kini pokok betik itu sudah mati.

“Ya Allah! Kenapa mereka sanggup buat macam ni?” Soalku dengan nada kecewa.

Ibu hanya menundukkan kepala sambil menitiskan air mata tanpa menjawab pertanyaanku itu. Aku faham perasaan ibu ketika ini. Ibu sudah tidak ada sesiapa untuk mengadu melainkan aku.

Sedang ibu asyik meluahkan perasaannya kepadaku, tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motosikal dimatikan di luar rumah seraya ketukan pintu beberapa minit selepas itu.

“Assalamualaikum.” Suara orang memberi salam menyusul selepas bunyi ketukan pintu.

“Walaikumsalam,” jawab ibu sambil membuka pintu.

Fadlina sudah tercegat berdiri di luar pintu bersama sekeping sampul surat di tangannya. Dia menguntum senyum sebaik wajahnya berdepan dengan wajah ibu. Fadlina merupakan anak kepada Pak Su Mat iaitu abang kepada arwah ayah.

“Jemput masuk Fadlina. Apa hajatnya kamu datang ni?” tanya ibu.

“Saya ada perkara yang hendak dibincangkan dengan mak cik dan juga Zul. Perkara ini sangat mustahak. Ayah yang sepatutnya datang untuk memberitahu perkara ini, namun keadaan ayah tidak mengizinkan,” jelas Fadlina.

“Sampaikan salam Zul kepada Pak Su Mat nanti. Perkara apa yang penting tu, Ina?” tanya aku dengan penuh rasa ingin tahu.

Fadlina membuka sampul surat yang dipegangnya itu. Aku menjeling ke arah isi di dalam sampul surat itu. Apa yang mengejutkan aku dan ibu ialah isi sampul itu merupakan surat wasiat harta pusaka ayah yang telah ditandatangani olehnya.

“Ayah yang suruh Ina sampaikan perkara ini kepada mak cik dan Zul. Kata ayah, ini adalah amanat pak cik sebelum dia meninggal. Pak cik telah mewasiatkan seluruh hartanya kepada mak cik dan Zul tetapi pak cik mengamanahkan ayah untuk menyimpan surat wasiat ini kerana dia bimbang Mak Cik Rabiah akan bertindak di luar jangkaan jika dia mengetahui surat ini ada bersama mak cik. Ayah terdengar berita bahawa Mak Cik Rabiah telah datang ke sini dan menyerang mak cik. Jadi, ayah menyuruh saya menyampaikan surat wasiat ini kepada mak cik sebagai bukti bahawa tanah pusaka tinggalan pak cik ini sebenarnya milik mak cik dan Zul,” jelas Fadlina panjang lebar.

Tiba-tiba sahaja air mataku mengalir. Aku terharu dengan tindakan arwah ayah yang bukan sahaja telah menghadiahkan kami tempat tinggal tetapi juga menjaga keselamatan kami walaupun kini dia sudah tenang di sana.

“Terima kasih Ina,” kata ibu sambil memeluk erat gadis itu.

Surat wasiat ini bakal menjadi pembunuh kepada cita-cita jahat Mak Cik Rabiah untuk menguasai tanah pusaka milik ayah yang telah ayah simpan untuk kami berdua. Terima kasih ayah!