KEHADIRAN Cikgu Rafi ke sekolah mendapat perhatian. Ramai pelajar terutamanya pelajar perempuan memuji kesegakan dan ketampanannya. Aku juga akui, namun tidaklah aku seperti ‘rusa masuk kampung’. Benar. Cikgu Rafi kelihatan hebat. Tetapi, kesedihan masih menyelubungi aku. Pusara cikgu Firdaus masih merah lagi, begitu mudah kawan-kawanku melupakannya. Cikgu Firdaus kemalangan dan pergi di tempat kejadian. Peristiwa yang bagi aku boleh dielakkan. Gara-gara kawan sekelasku Ameera yang terkunci dalam Makmal Sains, Cikgu Firdaus bergegas kembali ke sekolah. Semuanya salah Ameera yang tertidur dalam makmal. Aku sangat benci pada Ameera. Pelajar perempuan yang selalu inginkan perhatian. Tergedik-gedik. Pemergian Cikgu Firdaus begitu sukar untuk aku terima. Cikgu Firdaus yang banyak memotivasikan aku sejak aku Tingkatan Tiga lagi. Hinggakan aku menganggap Cikgu Firdaus seperti abang aku sendiri.

            Sejak kehilangan Cikgu Firdaus, aku menanam tekad untuk tidak bertegur-sapa dengan Ameera. Aku lebih rela memusuhinya. Bermula duduk bersebelahan dengannya, kini aku bertukar tempat dengan Rozi. Aku tahu, Ameera terasa dengan sikap dinginku, aku tidak mampu berpura-pura gembira dengannya. Biarlah. Mungkin aku perlu masa untuk menenangkan emosi aku. Ameera bagiku hanya ‘perampas’ kebahagiaan aku ketika Cikgu Firdaus masih ada.  Aku suka cara Cikgu Firdaus mengajar subjek tersebut. Muncul pula cikgu Rafi. Cikgu Rafi yang kononnya lebih hebat berbanding Cikgu Firdaus. Sedikitpun aku tidak teruja dengan penampilan Cikgu Rafi.

            Pada suatu pagi ketika diadakan perjumpaan semua murid Tingkatan Lima bersama Cikgu Rafi, Ameera tiba-tiba berdiri dan menghulurkan bungkusan hadiah berwarna merah jambu kepada Cikgu Rafi. Semua mata tertumpu kepadanya. Seorang demi seorang bertepuk tangan. Pandanganku bagai dipanah petir. Degup jantungku terasa laju. Duniaku gelap.

            “Syima! Syima!”

            “Eh...eh...eh! Kenapa dengan saya ustazah?” Ustazah Halimah berada di kananku.

            “Syima, kamu pengsan tadi. Kamu pengsan masa perjumpaan tadi.” Pantas Ustazah Halimah menjawab.

            “Pengsan!?”

            Aku cuba mengimbas apa yang telah berlaku. Akhirnya, peristiwa penyebab aku pengsan tadi kini berlegar-legar di fikiranku. Aku mendesah lalu menarik nafas perlahan-lahan. Hatiku ketawa kelucuan. Barangkali, adegan yang dilakonkan Ameera begitu mengejutkan aku. Biarkanlah. Cuma, aku terkilan sedikit kerana terlepas banyak maklumat tentang perjumpaan itu. Ingin bertanya, tetapi pada siapa. Pasti saja aku ditertawakan kawan-kawan jika bertanyakan isu-isu perjumpaan tadi. Lagipun, kawan-kawanku tahu perhubungan aku dengan Ameera itu bagaimana. Aku beralah. Niat ingin bertanya kuurungkan saja.

            “Pengumuman, bermula esok Cikgu Rafi akan ajar subjek Sains. Diharap semua akan bersedia untuk memulakan pembelajaran bersama Cikgu Rafi di Makmal Sains.” Hadijah selaku ketua kelas menyampaikan pengumuman pendek. Ketua Kelas yang baik hati tetapi tegas. Sesuai dengan jawatan yang diamanahkan kepadanya kerana terserlah kepimpinannya.

*          *          *

            “Baiklah, hari ini hari pertama kamu semua akan mengikuti subjek Sains bersama saya. Cikgu harap, pemergian Cikgu Firdaus tidak mematikan semangat belajar kamu, tetapi jadikanlah apa juga impian dan harapannya terhadap kamu selama ini agar jadi kenyataan. Saya yakin, beliau sudah tentu mendoakan kamu agar lulus cemerlang dalam SPM 2017 nanti.” Tukas Cikgu Rafi penuh yakin dan bersemangat.

            Aku menekup kedua-dua telingaku yang aku sembunyikan di sebalik tudungku. Emosiku terganggu dengan kata-kata Cikgu Rafi. Dia tidak layak untuk menyebut nama Cikgu Firdaus. Dia cuma guru baharu yang berlagak. Pelajar lain bolehlah dia umpan dengan penampilannya itu, tetapi bukan dengan aku. Mahu saja aku mencelah, tetapi Hadijah sempat mengerling aku. Hadijah bijak dapat meneka isi hati aku waktu itu. Jikalau tidak, riuh-rendah Tingkatan Lima Mawar aku perlakukan. Entah mengapa, setahu aku selama ini aku bukannya seorang yang mudah terasa atau panas baran. Walhal, aku suka buat lawak dalam kelas bersama kawan-kawan yang lain. Begitu kuat tekanan yang aku alami akibat pemergian Cikgu Firdaus. Di rumah, ayah dan ibu juga perasan akan perubahan aku. Aku menceritakan segala yang terbuku dalam hati, ibu berpesan agar perbanyakkan solat dan sedekahkan Surah Al-Fatihah buat Cikgu Firdaus. Ibu banyak menenangkan ‘rasa kehilangan’ yang amat mendalam ini.

            Gejolak hati yang belum ada penawarnya. Seringkali terpandang potret Abang Long mengingatkan aku tentang Cikgu Firdaus. Wajah mereka mirip. Pemergian Abang Long sewaktu aku berada di Tingkatan Tiga sangat mempengaruhi aku waktu itu. Hampir tiga bulan aku tidak dapat menumpukan pelajaran. Ayah risau kerana tinggal beberapa bulan saja aku akan menduduki peperiksaan PT3. Ayah memujuk aku setiap hari. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kerana hikmah di sebalik itu kami solat jemaah setiap hari jika berkesempatan. Kembalinya Abang Long kepada pencipta-Nya, maka kini hanya tinggal ayah, ibu dan aku. Kehadiran Cikgu Firdaus tepat pada masanya. Semuanya dengan aturan Allah. Saat aku kehilangan abang tersayang, DIA hadirkan aku dengan seorang insan yang memiliki sifat dan sikap seakan Abang Long. Ayah pernah bertemu dengan Cikgu Firdaus dan menceritakan kisah aku. Mujur, Cikgu Firdaus bersikap terbuka untuk mengambil aku sebagai adik angkatnya. Kebetulan atau suratan, Cikgu Firdaus juga pernah kehilangan adik tersayang. Sebab itulah, aku beranggapan kisah kami mempunyai pertalian. Walaupun, pada mulanya ada yang memfitnah kami. Ayah sendiri datang berjumpa dengan pentadbir sekolah dan menerangkan situasi sebenar. Aku dapat rasakan kasih sayang ayah dan ibu terhadap Cikgu Firdaus, cuma orang tua lebih bijak menyembunyikan perasaan mereka. Tabahnya mereka.

            “Bermula hari ini, cikgu akan aplikasikan alat visualiser semasa pengajaran dalam pembelajaran Sains.” Kata Cikgu Rafi sambil tangannya lincah mengeluarkan beberapa alat dan diletakkan atas meja.

            “Visualiser?” Hampir semua pelajar mengeluarkan perkataan sama sekali gus. Tidak termasuk aku. 35 orang pelajar cukup ramai untuk satu kelas. Tetapi, kami sudah serasi dengan situasi ini. Sekolah Menengah Sri Bintang ini memang mempunyai ramai pelajar. Tambahan lagi, setiap tingkatan mempunyai lima pecahan kelas. Sekolah ini juga terkenal dengan kecemerlangan akademiknya. Tahun ini saja, sekolah ini dicalonkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Ucapan pengetua pada hari Isnin semasa perhimpunan sekolah masih terngiang-ngiang di halwa telingaku. Pelajar-pelajar SPM 2017 tahun ini memikul tugas besar, kami adalah penanda aras untuk menentukan kelayakan calon sekolah kluster. Gerun kami dibuatnya.

            “Ya, pernah dengar apa itu visualiser?” Sambung Cikgu Rafi lagi.

            “Mmm...kalau visual pernahlah cikgu,” pantas saja Ameera menjawab. Biasalah dengan gayanya  yang kemanja-manjaan. Tapi, jauh di sudut hati Ameera sebenarnya baik hati dan peramah. Sikap manjanya saja yang kadang-kadang kurang menyenangkan. Adakah aku cemburu? Ah!!! Tidak ada sebab untuk aku cemburu.

            “Visualiser juga dikenali Dokumen Kamera. Merupakan alat  ICT (Information and Communication Technologies) yang kos-efektif, jimat masa dan mudah digunakan. Kita hanya perlu menyambung visualiser pada projektor atau monitor atau papan interaktif dan menghidupkannya. Kemudian kita letakkan objek yang perlu dipaparkan dibawah kamera.” Bersungguh-sungguh Cikgu Rafi menerangkan kepada kami.

            ‘Menarik’ getus hatiku. Aku mula tertarik. Aku memang meminati subjek Sains. Aku selalu mendapat gred A dalam subjek Sains. Hatiku berkobar-kobar ingin menyoal, tetapi dek ego yang meraja, aku paksa diri untuk diamkan saja. Aku tidak mahu diibaratkan ‘menjilat ludah sendiri’. Salahku juga telah memandang serong terhadap Cikgu Rafi.

            “Apakah kelebihannya cikgu?” Hadijah bertanya. Riak wajahnya menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi.

            Pelajar-pelajar lain turut mengangguk-angguk kecil tanda ingin tahu.

            “Ohhh...sangat banyak. Antara kelebihan yang utama ialah, setiap kali ada tugasan berkumpulan atau individu yang memerlukan pembentangan kamu boleh aplikasikan alat ini. Hanya perlu sediakan bahan saja. Malah, setiap objek yang kamu paparkan melalui dokumen kamera ini kelihatan lebih jelas dan seolah-oleh hidup. Cikgu percaya minat belajar kamu akan meningkat dan merangsang minda untuk menjana idea-idea baharu. Betul kan...?” Terang Cikgu Rafi.

            Penerangan Cikgu Rafi menampilkan kewibawaanya dan kepakarannya dalam menggunakan alat ICT tersebut. Setiap kali memberi pendedahan berkenaan visualiser, tangannya silih berganti memaparkan objek-objek melalui dokumen kamera. Tiap satu menarik minatku. Tanpa aku sedari perlahan-lahan pendekatan visualiser mengikis rasa benciku yang bersarang terhadap Cikgu Rafi. Aku hanya tidak pasti, bagaimana untuk meluahkan rasa kesal itu. Aku mesti cari jalan.

            Pembelajaran hari ini, begitu menakjubkan. Penyampaian Cikgu Rafi terus meresap dalam kotak fikirku. Mudah difahami. Jelas dan kreatif. Sebelum kelas berakhir, kami dibahagikan kepada lima kumpulan terdiri daripada tujuh orang ahli. Pembentangan adalah pada kelas minggu hadapan. Hari ini juga, kelihatan semua pelajar menunjukkan reaksi positif dalam pembelajaran Sains. Agaknya, penangan visualiser yang baharu itu berjaya memberi manfaat kepada kami. Selama ini, pasti ada saja keluhan atau rungutan jika diberi tugasan berkumpulan. Masing-masing mengelak untuk menyiapkan tugasan. Apatah lagi, jika tiba giliran pembentangan pasti ada yang tidak mahu. Asyik-asyik pelajar sama sahaja yang menjadi mangsa untuk membentang. Hatiku terharu melihat perubahan ini. Termasuklah diri aku.

            Dalam diam, aku menyemai hasrat untuk menawarkan diri sebagai pembentang mewakili kumpulanku minggu hadapan. Mudah-mudahan langkah berani ini akan memberi sinar buatku melupakan tanggapan negatifku terhadap Cikgu Rafi, begitu juga aku bertekad untuk menjernihkan semula hubungan aku terhadap Ameera. Sesekali, bayangan Cikgu Firdaus seolah-olah berdiri di hadapan sambil tersengih-sengih. Begitulah Cikgu Firdaus yang tidak lokek dengan senyuman terhadap kami.

            ‘Maafkan Syima cikgu. Maafkan Syima. Bukan bermaksud untuk Syima melupakan cikgu. Tiba masanya untuk Syima redha akan pemergian cikgu. Syima terlalu pentingkan diri hingga melukakan banyak hati di sekeliling Syima. Cikgu akan selalu dalam ingatan dan doa Syima. Syima berjanji akan meneruskan perjuangan ini dan melakukan yang terbaik dalam SPM tahun ini. Pesanan-pesanan cikgu segar dan mekar membugar dalam hati ini. Damailah dan tenanglah cikgu di alam sana...’

            Amin Ya Rabbal alamin.

            Sebelum melelapkan mata, berbekalkan semangat yang membara aku menghidupkan komputer. Ingatan tentang visualiser menjadikan aku bersemangat untuk meneroka tentangnya. Aku menaip ‘visualiser’ pada laman sesawang google. Tidak tergambar kegembiraan yang melingkari lubuk hatiku saat ini, memang menarik alat ICT itu.

            ‘Visualiser penjalin ukhuwah. Begitu besar hikmahnya. Terima kasih Cikgu Firdaus. Selamat datang Cikgu Rafi.’