Ketua Satu Gabungan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, kampung tersebut yang berusia lebih 220 tahun, dihuni masyarakat Melayu yang berasal dari Pattani, Yala dan Narathiwat.

"Tujuan kita membawa para peserta ke perkampungan ini adalah mahu peserta program ini bertemu dengan keturunan masyarakat Melayu Patani dan menyambung silaturahim yang hampir terputus.

"Dengan adanya lawatan ini, kita sesama Islam dan keturunan Melayu kekal bersama terutama melibatkan golongan muda. Malah, saya berharap dengan adanya pertemuan ini Melayu terus kekal bersama dan terus berkembang maju," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, program yang dirasmikan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim semalam turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand, Yayasan Pusat Islam Thailand(FICT) dan Universiti Kasem Bundit, Bangkok.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada para sarjana dan cendekiawan dari negara Malaysia, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia berkumpul di bawah satu bumbung dalam memperjuangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. - UTUSAN ONLINE