Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, buku ini ditulis oleh ahli akademik terkemuka, Puan Sri Prof Dr. Jamilah Ariffin memberi gambaran jelas bukan sahaja tentang kehidupan tetapi sistem pendidikan ketika tempoh peralihan negara, serta buku lain yang menggambarkan sistem itu semasa tempoh itu.

Titah baginda, buku berkenaan menjadi bahan bacaan yang bagus untuk golongan pendidik melihat ciri-ciri sistem itu yang mungkin masih relevan dan berguna.

"Kita boleh banyak belajar mengenai masyarakat dan multibudaya daripada cerita yang terperinci ini tentang bagaimana ia dilaksanakan pada masa itu.

"Walaupun kita mungkin tidak dapat kembali pada masa lalu bandar kecil itu, penulisan buku ini seolah-olah hidup, mungkin terdapat elemen berharga yang boleh kita pelajari dan menyumbang kepada usaha pada masa ini untuk membangunkan masyarakat berbagai budaya yang harmoni," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada perasmian buku Legends, Lessons and Love: A Small Town and an English School di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut berangkat Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Bekas Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Abdul Ghani Othman yang merupakan suami Jamilah, pun hadir.

Medium bahasa Inggeris

Dalam buku setebal 396 muka surat itu, penulis dan narator berkongsi pengalaman beliau membesar di bandar kecil di Tapah ketika bersekolah di sekolah yang menggunakan medium bahasa Inggeris, Government English School of Tapah (GEST).

Sebanyak 26 narator terdiri daripada 22 bekas rakan sekolah Jamilah dan empat bekas guru berkongsi pengalaman dan perspektif mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.

Mengulas lanjut, Sultan Nazrin bertitah, buku ini memberikan butiran terperinci mengenai pelbagai aspek model pendidikan tradisional British, dengan disiplin yang baik namun tegas, dan kepimpinan melalui teladan oleh para guru dan pengetua, yang memenuhi peranan mereka dalam membentuk generasi baharu dengan dedikasi.

“Ramai daripada mereka mendapat manfaat daripada sistem yang sama, dengan ada yang datang dari Singapura dan tempat lain, manakala kebanyakannya dilatih di GEST yang turut memilih kerjaya sebagai tenaga pengajar.

“Sekolah ini berusaha membina keyakinan dan cita-cita dalam kalangan pelajarnya, sebagai sebahagian daripada pendekatan yang menekankan perkhidmatan, tugas, kejujuran dan integriti,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, buku ini juga sentiasa mengingatkan pembaca tentang cara berbeza multibudaya diamalkan pada masa dahulu, sebelum berlaku manipulasi perbezaan kaum dan agama untuk tujuan politik.

“Gambar-gambar dalam buku ini menunjukkan multibudaya terdiri daripada pergaulan yang mudah sesama rakan sekelas yang pelbagai kaum dan latar belakang agama.

Gambaran bersejarah tapah

“Persahabatan pada masa itu dieratkan menerusi banyak peluang berinteraksi dan integrasi yang disediakan oleh sekolah dan masyarakat yang luas,” titahnya sambil memuji minat penulis ingin menekankan gambaran bersejarah Tapah dan sekolahnya yang mengandungi pengajaran penting pada masa sekarang.

Sultan Perak bertitah, walaupun negara membentuk semula model pendidikan pada masa ini untuk semua mendapat manfaatnya, dan seiring dengan inovasi teknologi terkini, seseorang itu tidak seharunya lupa untuk menghargai nilai pendekatan yang telah dilaksanakan dengan baik pada masa lalu.

Baginda bertitah disiplin, dedikasi dan rasa tanggungjawab yang diberikan oleh GEST dan sekolah bermedium bahasa Inggeris yang lain serta masyarakat di bandar kecil itu seperti yang dikongsikan dalam buku berkenaan, semuanya kekal tidak ternilai hari ini.

Legends, Lessons and Love: A Small Town and an English School yang mengandungi 15 bab itu diterbitkan oleh I-Resolve, boleh didapati di semua kedai buku MPH di seluruh negara tidak lama lagi dengan harga RM65 untuk buku berkulit lembut dan RM100 untuk kulit keras. - BERNAMA