Namun, ketika kalender 2017 sudahpun memasuki bulan ketiga, tetapi belum juga memperlihatkan tanda-tanda universiti itu akan dilancarkan, jauh sekali menerangkan dasar-dasar perjuangannya.

Ramai yang ingin tahu, apakah masalah yang timbul di sebalik penubuhan universiti awam terbaharu yang menggantikan nama lama bagi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu?

Biarpun Aswara telah menerima Rektor baharunya, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Rizon Juhari sejak bulan lalu menggantikan Prof. Dr. Hatta Azad Khan, tetapi ramai yang tertanya-tanya status tersebut.

Menyedari isu tersebut, Dr. Mohd. Rizon tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di Aswara sehingga menyebabkan Universiti P. Ramlee yang amat dinanti-nantikan itu lewat diumumkan.

“Sebenarnya, KPT telah membekukan bajet penubuhan Universiti P. Ramlee kerana faktor kewangan dan mungkin juga 21 universiti awam yang telah ada di bawah KPT sekarang ini sudah mencukupi.

“Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar adalah universiti awam terbaharu yang ditubuhkan di bawah KPT. Tetapi kami akan cuba juga mendapatkan nama dan status universiti itu daripada KPT.

“Seboleh-bolehnya, kami harap Universiti P. Ramlee ini diumumkan oleh kerajaan selewat-lewatnya sebelum (PRU) Pilihan Raya Umum ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohd. Rizon, pihaknya juga akan memohon kepada kerajaan agar Universiti P. Ramlee menjadi salah satu GLU atau rangkaian universiti swasta di bawah kendalian kerajaan.

Katanya, Aswara yang terletak di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan tetap berusaha bagi menjadikan akademi itu sebagai Universiti P. Ramlee meskipun ia berstatus GLU.

Beliau berharap hasrat itu dapat dilaksanakan dengan mengambil contoh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang terletak di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang telahpun mendapat status itu.

“UniKL ditubuhkan oleh Mara yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan ia merupakan universiti swasta yang bertaraf GLU atau goverment link university.

“GLU seperti juga GLC atau syarikat-syarikat milik kerajaan yang lain. Itu sahaja cara yang kami ada jika Universiti P. Ramlee ini mahu diwujudkan sama seperti kewujudan UniKL di bawah GLU.

“Kami tidak kisah jika Universiti P. Ramlee tidak berada di bawah KPT tetapi biarlah kami terus berada di bawah kementerian yang ada sekarang ini sama seperti UniKL bersama Mara,” ujarnya.

Pengajaran

Jelasnya, biarpun Aswara belum ditukar secara rasmi menjadi Universiti P. Ramlee tetapi akademi yang asalnya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) itu sudah lama bertaraf universiti.

Aswara yang juga menawarkan kursus di peringkat sijil, diploma dan ijazah sama seperti universiti-universiti awam lain yang menerima pengiktirafan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ujar Dr. Mohd. Rizon, naik taraf nama dan status itu penting memandangkan institusi terbabit telah menjalankan modul pengajaran yang jauh lebih berkesan berbanding universiti awam lain.

“Di Aswara modul kursus kami melibatkan 60 peratus berkaitan amali dan 40 peratus teori sedangkan kebanyakan universiti awam lain hanya mengajar 80 teori dan amali hanya 20 peratus.

“Malah, di Aswara para pensyarah kami bukan sahaja yang bekerja tetap tetapi juga pensyarah yang mengajar secara kontrak sedangkan pensyarah di universiti-universiti awam tidak lagi secara kontrak.

“Di sini semua tenaga kerjanya terdiri daripada golongan muda yang penuh energetik dan mereka mampu untuk berdaya saing dengan universiti awam lain jika misi ini dilaksanakan,” katanya.

Sebagai persiapan ke arah itu, kementerian terbabit telah meluluskan pembinaan bangunan canselori di kampus induk Aswara yang terletak di Kuala Lumpur dengan kos pembinaan bernilai RM38 juta.

Tambahnya lagi, penjenamaan daripada Aswara kepada Universiti P. Ramlee juga penting bagi menarik perhatian lebih ramai pelajar, sekali gus menyerlahkannya dalam bidang kesenian.

Ini kerana, jika Universiti P. Ramlee dapat direalisasikan ia akan menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi di negara ini yang memberi fokus kepada bidang seni tanah air di mata dunia.

“Sejak zaman ASK hingga Aswara, institusi ini telah berusia 22 tahun, maka sudah sampailah masanya ia dinaik taraf termasuklah namanya menjadi universiti sesuai dengan peranan yang dimainkan.

“Kalau di luar negara mereka ada universiti seni sendiri seperti Akademi Kesenian Jakarta dan Beijing Films Academy tetapi kalau kita tidak ada universiti yang setaraf dengan itu, malulah kita.

“Status nama universiti ini penting bagi menarik ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka belajar di sini selain menarik pelajar asing kerana nama P. Ramlee yang menjadi ikon negara ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau bersama para pensyarah dan kakitangan Aswara berharap institusi itu juga akan menambah bilangan pelajarnya sehingga 3,000 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang.