Tombol pintu saya pulas dan tarik. Wajah saya maniskan. Mulut ringan juga bersedia untuk menjawab salam. Di muka pintu, berdiri seseorang yang tidak saya kenal. Bukan posmen! Begitu saya dalam tertanya-tanya siapa gerangan tetamu yang memberi salam dan mengetuk pintu dengan keras itu, suatu tumbukan padu menyinggahi muka saya.

Saya terlentang. Terkejut alang kepalang. Cuba bangun, terkial-kial tetapi kali ini kakinya singgah ke tubuh saya. Seluruh tubuh pula dikerasinya. Saya mengaduh. Tidak cukup dengan penumbuk dan terajang, mulutnya pula menjejerkan kalimah-kalimah yang mencabar saya. Juga kata-kata kurang sopan. Kata-kata yang ... yang … sungguh ... mendengarnya pun saya tidak sanggup, apatah lagi hendak saya tuliskan di sini.

Saya masih terlentang separuh daya. Saya mengaduh, mengeluh dan kesakitan. Tetapi jelas dia tidak peduli. Selepas saya dikerasi, saya ditinggalkan begitu sahaja. Dia angkat kaki meninggalkan pangsapuri saya. Sakit ditinggalkan di muka, senak yang dilepaskan di perut takkan sirna semudah itu. Lebam yang berbekas di wajah, bengkak yang bertanda di perut dan kaki, pasti ambil masa untuk hilang.

Saya dibalun bingung. Dihenyak tanda tanya. Siapakah dia? Siapakah tetamu tidak diundang yang meninggalkan kesakitan di tubuh saya ini? Saya tidak pernah melihatnya, jauh sekali mengenalinya. Adakah dia tersalah orang? Tersalah mengetuk pintu rumah dan tersilap mèlepaskan tumbukan?

“Benar kamu tak kenalnya? Barangkali kamu kacau isterinya? Atau mungkin tersalah mengurat teman wanitanya?” Anggota polis yang melayan aduan saya bagaikan bena tak bena sahaja.

Wajah yang masih berkerut sakit dan lebam di pipi dipandangnya begitu-begitu sahaja. Malah surat pengesahan doktor yang merawat saya hanya dibaca sepintas lalu, entah dia benar-benar baca atau setakat lihat-lihat sahaja.

“Tak ada! Saya tiada teman wanita, jauh sekali hendak mengurat atau ajak mana-mana isteri orang berjumpa. Saya tak kacau orang. Saya banyak habiskan masa di rumah dan buat hal sendiri-sendiri. Sungguh-sungguh saya tak kenal orang tu. Apahal dia datang tumbuk saya!”

Anggota polis separuh usia itu merenung saya lebih bersungguh. Saya balas renungannya dengan bersungguh juga. Saya benar-benar memaksudkan aduan itu. Saya tidak acah-acah. Orang yang bertindak jahat terhadap saya itu mesti dihadapkan ke muka pengadilan!

“Tuan mesti siasat. Saya berhak mendapat pengadilan sewajarnya.”

“Hah yalah, yalah. Memang tugas kami menyiasat!” Polis itu membalas dengan keyakinan yang cuba dikuasa-kuasakan di sebalik wajah tak kuasanya.

Beberapa hari kemudian, saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa sudah dapat memberkas suspek hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup berdekatan lif dan pagar utama kawasan pangsapuri. Mudah sahaja saya dapat mengecamnya ketika hadir dalam sesi pengecaman. Wajah bersahaja orang itu, dengan muka bersih, tidak menunjukkan dia orang jahat. Tetapi yalah, kadangkala orang yang air muka baik itu lebih berbahaya daripada orang yang mukanya bengis.

Saya hanya mahu tiang keadilan ditegakkan untuk saya. Saya sudah teraniaya. Sejak peristiwa itu, saya sering benar diburu ketakutan walaupun berada di dalam rumah sendiri. Di mana-mana hatta kediaman sendiri yang selama ini jadi tempat saya berlindung terasa tidak selamat lagi. Sejak kejadian itu, tidur tidak kerap lagi. Kadangkala saya mimpi bukan-bukan. Barangkali saya meracau juga dalam tidur.

Ya, saya memang benar-benar ketakutan sekarang!

Sesi perbicaraan itu nampaknya menarik minat banyak orang, terutamanya jiran-jiran. Ada Wak Dali, Mbak Tinah dan Hadijah, pekerja rencam di kawasan pangsapuri saya. Saya tahu mereka kerana sering melihat mereka memotong rumput dan menyapu sampah setiap pagi. Ada Nur, kerani yang bertugas di pejabat pengurusan yang sering mengumbarkan senyuman manis jika saya singgah menjelaskan yuran penyelenggaraan pangsapuri. Ada juga muka-muka yang saya kenal tetapi saya tidak tahu nama mereka walaupun tinggal dalam kawasan yang sama pagar. Saya cam mereka kerana biasa bertembung di petak letak kereta.

Perbicaraan tidak mengambil masa yang panjang. Aneh, si anonim itu dengan mudah sahaja mengakui memang dia yang melakukan perbuatan itu. Mengetuk pintu rumah saya, memberi salam dan sebaik-baik sahaja daun pintu saya renggangkan, dia menghayunkan penumbuk dan sepak terajang ke muka, perut dan hampir seluruh tubuh saya, kemudian memaki dan mencarutkan saya dengan kata-kata penghinaan.

Dewan sidang berbunyi seketika. Meskipun perlahan tetapi hadirin bersok-sek beberapa saat barangkali kerana terkejut. Saya juga terkejut. Orang gila ini ... orang gila pun tidak pernah mengakui dirinya gila. Tetapi lelaki ini dengan wajah tenang selamba bersahaja mengakui tanpa rasa bersalah dia telah mencerobohi hak orang lain.

“Mengapa kamu buat begitu?”

Lelaki itu berpaling pada wajah serius hakim, dan kemudian menoleh pada saya. Memandang saya sejenak dengan pandangan yang amat sukar saya baca. Sejurus kemudian saya lihat sejuring senyuman terlukis di bibirnya.

“Mengapa tidak? Tuan rumah sendiri yang mengundang saya melakukannya.”

“Gila! Saya tak pernah buat begitu. Saya tak kenal dia, tak pernah melihat pun dia sebelum ini, mana mungkin saya mengundangnya!” Saya spontan menjerit. Terlupa bahawa saya berada dalam dewan bicara di hadapan hakim yang arif lagi bijaksana.

“Yang Arif...,” si anonim itu memandang tuan hakim dengan pandangan serius dan lebih bersungguh.

Ruang bicara jeda sebentar. Semua orang bagaikan menunggu si anonim itu berkata-kata.

“Sungguh, saya cakap benar. Tuan rumah yang mengundang saya ke tempatnya. Setiap hari dia membuka tingkap dan jendela balkoninya. Setiap pagi dan petang, dia akan bersenam dan mempamerkan tubuhnya yang terdedah. Dengan jendela kaca balkoninya yang terbuka luas, sesiapa saja boleh melihat semua yang dia lakukan Perlakuannya itu amat-amat mengundang!”

“Fitnah! Mana ada orang waras yang mengajak orang lain bertarung!” Saya menjerit, nyaris hilang kewarasan tetapi pandangan tajam hakim mencantas bicara saya.

“Yang Arif, saya juga sangat waras. Saya bercakap benar. Tuan rumah yang mengundang saya, walaupun tidak secara verbal tapi saya faham amat bahasa tubuhnya. Saya hanya memenuhi undangannya untuk beradu kekuatan. Itu saja. Saya tak salah, Yang Arif. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanya memenuhi undangan untuk beradu kekuatan dengannya!”

Dewan sidang hingar tiba-tiba. Sok-sek yang menunjukkan kebingungan. Sama ada hadirin bingung kerana pengakuan bersahaja itu atau hadirin terperanjat mendengar aktiviti saya selama ini?

“Yang Arif, bukan saya yang dibicarakan di sini hari ini … tapi dia!”

“Dan ternyata, Tuan Yang Arif, dia taklah hebat. Dia hanya gemar menunjuk-nunjuk sahaja tetapi tidak punya kekuatan apa-apa!”

Senyumannya terlayang ke mata saya. Dan telinga saya menangkap kikihan tawa di belakang. Saya tergamam! Terasa telah ditelanjangkan oleh orang yang tidak dikenali ini di hadapan jiran-jiran yang kurang saya mesrai. Dan saya, masih mampukah menjadi saya seperti diri saya yang sebenar?

Tetapi ada persoalan yang mendadak tiba di benak, siapakah diri saya?