Sebagai seorang penulis kembara, Nisah bukan sekadar mengembara ke beberapa buah negara seperti United Kingdom, Indonesia (Jakarta-Bandung), Itali, Jepun, Australia (Melbourne) dan New Zealand, tetapi beliau turut memanfaatkan pelbagai pengetahuan dan pengalaman kembara tersebut dalam karya-karyanya.

Buku Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin merupakan salah sebuah karya yang dimanfaatkan daripada kembaranya ke United Kingdom.

Menariknya, kembaranya itu bukan sahaja bertujuan mencari lokasi-lokasi sastera tetapi merupakan sebuah perjalanan mencari diri.

Nisah turut menulis rencana kembaranya di dalam majalah Dewan Siswa dan Dewan Budaya. Di samping beberapa tulisan lain, antaranya siri Susastera Dari Iowa di dalam Dewan Sastera yang mencatat pelbagai pengalamannya sebagai penulis tamu di International Writing Program (IWP) di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 2015.

Membaca karya-karya travelog Nisah ini, pastinya mengingatkan kita kepada pelopor sastera Melayu moden, Abdullah Munsyi (1796-1854).

Abdullah yang dilahirkan di Melaka ini, telah menghasilkan karya-karya travelog antaranya Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan (1838), Hikayat Abdullah (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah Ke Jedah (1854).

Abdullah dikatakan membuat suatu transformasi dalam karya-karyanya itu apabila beliau tidak lagi menggunakan latar belakang istana dan mengagungkan golongan bangsawan, selain menghindari pelbagai mitos dan lagenda. Karya-karya Abdullah juga tidak lagi berlandaskan khayalan semata-mata.

Faktor-faktor ini merupakan titik-tolak yang mendorong Abdullah digelar Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said juga pernah menghasilkan karya travelog iaitu Warkah Eropah yang memuatkan warkah dan poskad yang ditulisnya semasa mengembara ke Eropah yang dikirimkannya kepada keluarga dan sahabat di tanah air.

Diari Kembara pula diterbitkan oleh Marwillis Publisher & Distributor pada tahun 1989.

Begitu juga dengan karya travelog seperti Kembara Seorang Pelukis, Lakaran dan Catatan 60 Hari di Eropah karya Fai Zakaria, Secangkir Teh Pengubat Letih karya Hasrizal Abd. Jamil dan beberapa karya travelog luar bidang sastera yang lain.

Berbalik kepada Nisah, transformasi diri yang dilakukan tidak kurang menariknya.

Pada zaman remajanya, beliau hampir terlekat dengan label penulis fantasi, kemudian penulis yang mengangkat tema undang-undang dan selepas itu hal-hal budaya.

Untuk mengelak pengulangan, beliau menjarakkan penghasilan karya kreatif dan beralih kepada penulisan artikel dan rencana di majalah seperti Dewan Sastera.

Bagi Nisah, keprolifikan seseorang penulis dengan hanya mengulang-ulang formula penulisan yang dianggap menjadi atau berjaya merupakan satu perangkap.

Beliau mendapati ramai penulis mapan terperangkap dalam keprolifikan masing-masing dengan mengulang-ulang teknik, idea dan pendekatan sehinggakan ada penulis yang mengulang ungkapan yang pernah ditulisnya dalam karya terdahulu.

Penulis perlulah mengolah pemikiran, berekspresi segar dan bukannya menulis untuk memenuhi tema atau kuota penulisan.

Pendekatan yang diambil oleh Nisah ini seharusnya dijadikan teladan, bukan sahaja oleh penulis generasi baharu malah penulis-penulis mapan yang masih berkarya.

Kehebatan masa lampau bukan lagi kayu ukur yang tepat untuk meletakkan diri mereka sebagai penulis hebat dan karyanya akan diterima oleh khalayak semasa.

Malah, penulis mempunyai kemampuan untuk mengatur dirinya berfikir. Hal ini berbeza dengan orang yang hanya pandai berkata-kata.

Meskipun kedua-duanya memerlukan kemahiran berfikir, cara mengadun daya fikir itu masih lagi ada perbezaan yang tersendiri.

Lebih menarik lagi apabila Nisah melakukan transformasi besar dan jarang sekali dilakukan oleh orang terutama golongan penulis apabila beliau meninggalkan dunia elitnya sebagai seorang peguam untuk bergelumang dalam dunia kecil sastera pada tahun 2006 tanpa paksaan sesiapa.

Menurut Nisah, ada keseronokan dan keindahan tersendiri yang hanya dapat dirasakan ketika menjadi peguam, namun beliau merasakan sesuatu yang luar biasa setelah membuat keputusan paling drastik dalam hidup apabila mahu menjadi penulis sepenuh masa.

Transformasi Nisah ini dianggap sebagai suatu tindakan berani seorang penulis. Tidak ramai, malah mungkin belum muncul lagi penulis yang mempunyai kerjaya di luar bidang penulisan atau sastera sanggup mengikuti jejaknya.

Kebiasaannya penulis karya sastera yang memperolehi pendidikan di luar bidang sastera, hanya sekadar menjadikan bidang penulisan ini sebagai bidang sambilan atau hobi semata-mata.

Antaranya Fadh Razy, Fudzail, Ahmad Patria Abdullah, Serunai Faqir, Zainal Rashid Ahmad dan ramai lagi yang masih selesa dan kekal dengan kerjaya asal masing-masing.

Malah, penulis yang berpendidikan sastera atau berkaitan dengan sastera juga boleh dikatakan tidak ada yang menjadi penulis sepenuh masa melainkan setelah bersara atau sememangnya kerja menulis itu adalah kerjaya asalnya.

Menyentuh tentang tajuk karya juga, ternyata penulis yang menerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda Mastera 2017 ini turut menyelitkan unsur-unsur transformasi dalam tajuk karya-karyanya.

Antaranya, kumpulan cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, novel remaja Mencari Locus Standi, cerpen seperti Desibel Iman, Annyss Sophilea, Impian Tsu-Ryi dan cerpen terbaharunya Jalur-Jalur Mobius.

Ternyata Nisah telah melakukan suatu transformasi besar dalam dunia sastera yang selama ini dianggap sebagai dunia kecil milik segelintir masyarakat sahaja.

Malah, proses transformasi seperti ini perlu terus berlaku dan diserapkan sebanyak mungkin, agar bidang sastera bukan sahaja sekadar milik orang sastera sahaja, sebaliknya sastera harus menjadi milik setiap anggota masyarakat yang mencintai warisan bangsanya.

Pastinya pengorbanan besar penulis yang memiliki nama Nisah Haron ini melakukan pelbagai transformasi sastera dan diri, dilihat mampu menganjakkan paradigma masyarakat terhadap sastera selama ini.