Beliau menulis cerpen mulai tahun 1930 hingga 1942, dan menghasilkan sebanyak 48 buah cerpen. Cerpen Awang Putat Jamil Jamilah, dan Si Mat Pisang Rebus dan kumpulannya Pustaka Kajai, Banyak Udang Banyak Garam dan Lain Padang Lain Belalang. Membawa kerencaman tema dan persoalan; tetapi berpusat pada pencitraan dalam menyedarkan masyarakat Melayu tentang nasib bangsa di tanah air sendiri. A. Rahim Kajai sangat berani dan lantang mengkritik pemimpin Melayu yang melakukan penyelewengan.

Tokoh yang mengejapkan konsep cerpen Melayu moden ialah Keris Mas, membawa pembaharuan, mobiliti dan bernas dalam perkembangan cerpen di Malaysia. Karyanya bersifat sosiologikal, menekan keadilan masyarakat dan berwawasan ekonomi, terutamanya membentuk kesedaran sosial masyarakat Melayu.

Dengan menghasilkan 82 buah cerpen Kejadian di dalam Estet, Kedai Sederet di Kampung Kami dan Pemipmin Kecil dari Kuala Semantan adalah teks kanon Keris Mas. Strukturya kemas, latarnya jelas dan bahasanya cukup istimewa kuat, tangkas dan penuh.Falsafahnya mencerminkan nasib Melayu supaya lebih maju.

Pasca merdeka cerpen dihuni ramai pengarang, tetapi Shahnon Ahmad cerdik dengan cepat membina subjektiviti teksnya memenuhi hasrat kemerdekaan.

Dengan mengetengahkan kompleksiti intrinsik yang cukup hebat dan kaya dengan estetika, ia berjaya mengungguli konsep cerpen Melayu moden. Falsafahnya, terletak pada kecintaan tidak berbelah bahagi terhadap negara untuk mempertahan dan memaknakan kemerdekaan yang telah dicapai.

Patriotisme dan nasionalisme ini diangkat dalam kanotasi dan justifikasi amat realistik, Shahnon Ahmad terkemuka sebagai cerpenis paling berkuasa.

Bahasanya juga lincah, menusuk dan kaya dengan hiasan dan siratan bahasa daerah. Anjing-anjing, Debu Merah, dan Selesai Sudah adalah tiga buah kumpulan individualisme Shahnon Ahmad.

Terkenal dengan gaya bercerita yang memikat, bulat dan berisi, mengandungi pesan sangat bererti dan moral yang berat, Fatimah Busu salah seorang cerpenis wanita yang mempunyai tempat istimewa dalam sejarah moden. Karyanya sering terpilih memenangi pelbagai hadiah sastera, tetapi ada masanya suaranya keras, dan terasa berseberangan dengan kepentingan pemerintah.

Beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau, Yang Abadi, Keajaiban Alam, Bunga-Bunga Pulau, Aduhai dan Kelopak Bunga Pahit. Seorang lagi cerpenis wanita yang berjaya ialah Khadijah Hashim. Juga banyak cerpennya yang terpilih memenangi Hadiah Sastera Negara.

Dalam kajian menunjukkan Khadijah Hashim mendapat nama melalui genre novel Badai Semalam teks feministik yang sangat mengharukan terhadap perjalanan nasib watak utamanya Mazni, yang telah berjaya mengubah hidupnya menjadi positif. Naratif fiksyen itu dieksploitasi sebaiknya sewaktu Khadijah Hashim menulis cerpen.

Setakat ini beliau telah berhasil menerbitkan kumpulan dan antologi cerpen bersama sebanyak dua belas buah buku. Segeluk Air, Aku Anak Menteri, Batas Menanti dan Mawar Merah di Jambangan adalah di antara kumpulannya yang mengangkat ikonikal karyanya.

Anwar Ridhwan terkenal dengan gaya baharu mengemukakan pemikiran nasib budaya tradisional ditentangkan dengan modenisme yang agresif, materialistik dan individualistik.

Bahasanya istimewa, rinci dan puitis. Kumpulan cerpennya ialah Parasit, Sesudah Perang dan Sangkar. Selama menghasilkan cerpen, sudah empat kali Anwar memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia: Perjalanan Terakhir, 1971, Dunia Adalah Sebuah Apartmen, 1973, Sesudah Perang, 1976, Sasaran, Sahabat dan Menjadi Tua, 1982.

Ikonik

Di tengah kerancakan aliran realisme, Mana Sikana mempelopori cerpen absurdisme dengan Fakurdabakia, diikuti Hipokondriakal, Aqula, Maaj dan lain-lainnya. Teks-teks ini tidak mementingkan cerita, tetapi tetap memiliki penceritaan iaitu narrative textual. Menentang kelaziman dan konvensi sastera dengan karya yang terpecah-pehah, kolaj, pastis dan kits.

Jalinan strukturnya sudah tiada lagi mempunyai awalan dan akhiran, melengkong bulat dan pipih bundar, menekankan aspek pemikiran dan falsafah. Jejak-Jejak yang Hilang, Detik Pertemuan dan Dajal memenangi Hadiah Sastera dan Penulisan Cerpen Islam.Kesemua teks itu dikumpulkan dalam Fakurdabakia. Kumpulan cerpen lainnya ialah Santau, Jejak Yang Hilang, Abzyx, Nusia, Berbudi dan Berduri, dan Daun-daun Keramat.

Kemudian penulis ini mempelopori pula cerpen lotta, bersifat cerpendek, mementingkan pemikiran dengan subjek Melayu pascamoden. Kumpulan lottanya ialah Di Benua Buta mengandungi seratus buah cerpendek.

Azizi Haji Abdullah seorang yang prolifik, sama seperti dalam novel, ia sangat menyintai dunia orang tua. Naratifnya yang teliti, cergas dan bersahaja, hasil penyelidikan menunjukan ia disukai oleh khalayak wanita. Suasana kekampungan dan permasalahan keluarga yang mendekatkan teksnya dengan khalayak.

Unsur-unsur emosi, kejutan dan juktaposisi menjadikan teksnya hidup dan segar. Telah menghasilkan tidak kurang sepuluh buah kumpulan cerpen, iaitu Latifah Rabbaniah, Keakuan, Rindu Bonda, Songsang, Pertiwi, Mardudah, Istiqamah, Jangan Pisahkan Aku, dan Pendoa Yang Ikhlas.

Baharuddin Kahar bermula dengan Abah Nak Jumpa Abang tersiar dalam Utusan Zaman pada 18 April 1971.

Cerpen ini menjadi pendorong buat Baharuddin terus menghasilkan cerpen-cerpen yang bermutu hingga berjaya meraih beberapa hadiah menerusi sayembara sastera, Longnya Laku Capa Rengat dan Sempena Ganja Iras mendapat Hadiah Sastera Malaysia; begitu juga kumpulannya Kampung Halaman dan Terima Kasih Tuhanku memenangi Hadiah Sastera. Baharuddin Kahar menggarap unsur tradisional diangkat ke medan moden, dengan latar dan naratif yang halus dan estetik.

Tokoh terakhir ialah S.M. Zakir, penulis daripada generasi mutakhir yang menunjukkan kualiti luar biasa. Karyanya ikonik kepada pengkaryaan pascamoden.Persoalan yang disentuhnya tidak hanya berlegar dalam lingkungan setempat, tetapi melampaui sempadan antarabangsa, menerokai dunia falsafah dan sufisme, serta memberikan pencerahan terhadap isu politik antarabangsa yang kompleks. Kumpulannya Merengkuh Langit dan Serigala dan Sekuntum Tulip, mendapat kritikan dan resepsi khalayak yang memberangsangkan.

Begitulah sepuluh tokoh cerpenis pilihan hasil laporan penyelidikan itu: A.Rahim Kajai, Keris Mas, Shahnon Ahmad, Fatimah Busu, Khadijah Hashim, Anwar Ridhwan, Mana Sikana, Azizi Haji Abdullah, Baharuddin Kahar dan SM Zakir.

- Bersambung minggu hadapan.