Ariff mengatur langkah kemas ke arah bank berdekatan. Sesekali matanya melihat langit. Harapan masih ada. Sudah terpampang di skrin mindanya senarai perkara yang perlu dilakukan. Kira-kira dalam setahun dua lagi dapatlah dia mencapai cita-citanya, memiliki Honda BR-V idaman dengan tunai tanpa pinjaman.

“Bump!” tubuh sasa Ariff telah melanggar seorang budak kecil. Dia terduduk. Bajunya yang compang-camping itu jelas menunjukkan keadaannya sekarang ini.

“Minta maaf..abang tak sengaja..” budak tersebut dibangunkan. Dia hanya membalas dengan huluran tabung, minta disedekahkan. Panggilan telefon yang diterima Ariff membuatkan dia terus berlalu pergi tanpa menghiraukan budak itu lagi.

Begitulah lagak Arif bilamana ingin melarikan diri daripada peminta sedekah. Entah kenapa, dia cukup anti dengan golongan ini yang dirasakan malas dan sengaja mahu mengambil kesempatan. Mereka punya tulang empat kerat namun tidak mahu digunakan. Ada juga yang terlibat dengan sindeket, menggunakan anak-anak kecil semata-mata untuk mencapai kekayaan dengan mudah tanpa perlu bersusah. Begitulah manusia.

Kepenatan siang hari itu mengundang tidur yang nyenyak buat Ariff. Mata dipejamkan dan mindanya terus dibawa menerobos ke alam baru.

“Terima kasih abang..” kata-kata terakhir itu terus membangunkan dia dari mimpi yang penuh misteri. Siapakah budak itu? Apakah kaitan budak itu dengan dirinya? Mukanya samar-samar. Ariff tidak dapat mengecam siapa pemilik suara tersebut. Dahinya penuh berkeringat. Nafasnya ditarik dalam bagi meredakan degupan jantung yang semakin kencang.

*****

“Berapa semua?” soal Ariff kepada pemilik Restoran Haji Samad.

“RM7.50 sahaja..” jawabnya ringkas. Duit terus dihulur dan Ariff berlalu pergi. Langkah terus dipercepatkan untuk mengelak tetamu tidak diundang, budak comot itu yang terus mengganggunya. Dia tidak tahu kenapa budak itu selalu sahaja muncul secara tiba-tiba. Soalnya dibiar mati.

“Terima kasih abang..” malam itu Ariff bermimpi lagi buat kali ketiga. Dia masih mengulang perkataan yang sama. Tempatnya juga sama dengan cara yang serupa. Rasa ingin tahunya membuak-buak. Ketakutan terasa di seluruh urat nadi. Dia kaku mencari jawapan di sebalik semuanya. Muka diraut perlahan. Dia keliru.

*****

Ariff terus melangkah mengikut gerak hatinya. Tempat itu terasa begitu asing tetapi barangkali dia akan ketemu jawapannya nanti.

“Abang…tolong...”

“Eh eh tolong tolong tak tolong... ish kau ni…kenapa asyik muka kau je lalu depan aku ni.. kau nak bagi aku mati ke hah?”

“Minta maaf bang..tak sengaja..tolong bang..” tabung terus dihulur memohon ihsan. Kerana kasihan, kemahuannya diturutkan.

“Terima kasih abang..” ucapan terima kasih itu dibalas dengan anggukan bersahaja Ariff. Sebaik sahaja budak itu ingin beransur pergi, tiba-tiba kata-katanya itu membuatkan Ariff teringat akan mimpinya tempoh hari. Dia terkejut. Budak itu lantas terus dibawa merapat dan kisah hidupnya cuba difahami.

*****

“Terima kasih abang..” tangan Ariff dicium lembut. Dia terus berlari-lari anak masuk ke perkarangan sekolah. Melihatkan kelibat budak itu membuatkan Ariff teringat akan peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Arif Hakimi. Ya, namanya cukup istimewa sehebat pemilik nama. Dia tidak sangka mereka akan berkongsi nama yang serupa walaupun hatinya, Muhamad Ariff, tidaklah sesuci serta semurni Arif Hakimi, kanak-kanak berusia 10 tahun itu. Dia tertunduk malu.

Pemergian bapanya sebelum dia lahir serta ibunya semenjak dia berusia 9 tahun itu cukup membekas ke dalam jiwa Ariff. Dia putus tempat bergantung. Dan ternyata setahun kehadiran Arif Hakimi berjaya memimpin Ariff ke arah yang diredhai tuhan. Alhamdulillah.

*****

“Arif Hakimi..kenapa ni..” kitab suci itu ditutup perlahan. Wajah suci itu ditatap lama. Kemuraman serta kelesuan di wajahnya cuba dirungkai.

“Abang...kawan-kawan sekolah Kimi sekarang ni selalu ejek Kimi..diorang kata Kimi ni anak pungut..tak ada mak ayah..Kimi sedih..” badan Kimi langsung direbahkan ke atas paha Ariff. Dia cuba menumpang kasih daripada seseorang yang langsung tiada pertalian darah dengan dirinya. Rasa sebak Arif kini cuba dibendung. Semenjak dia berpindah ke tempat kerja baru, Kimi terpaksa ditempatkan di sekolah yang berdekatan untuk memudahkan urusan hariannya. Hal itu mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan Kimi sekarang ini.

“Kimi, abang nak Kimi dengar cakap abang..satu perkara yang Kimi kena tahu, walau apa pun yang berlaku, walau apa pun kata-kata hinaan atau cacian orang terhadap Kimi, Kimi tetap akan menjadi adik abang sampai bila-bila.. pedulikan apa yang diorang kata! yang penting kita tahu siapa diri kita..dan Allah tu akan selalu sayangkan Kimi sampai bila-bila..ingat tu!”

“Terima kasih abang..” badan Ariff dipeluk erat. Ariff tersenyum gembira.

“Abang….”

“Ye?”

“Kalaulah Kimi mati nanti, abang janji akan selalu jenguk Kimi dekat kubur ye..” mata Ariff dipandang dalam.

“Eh Kimi ni..jangan sebut pasal mati lah! ajal maut tu kan di tangan tuhan..sudahlah! pergi ambil Al-Quran sana! kita mengaji sama-sama..” Kimi berjalan perlahan menurut perintah. Kata-kata itu terus menimbulkan kegusaran pada hati Ariff.

*****

“Kimi..sini kejap tolong abang..” tong gas itu lantas diangkat bersama-sama masuk ke dalam van. Selesai sudah tugasan mereka hari tersebut. Dia kemudian mengambil tempat di kerusi hadapan. Kepalanya dipicit kuat. Rutin hariannya itu selalu sahaja membuatkan Ariff lelah. Semenjak dibuang kerja beberapa tahun lalu akibat krisis dalaman syarikatnya, Ariff agak hilang arah. Dia tidak tahu lagi ke mana harus mencari pekerjaan. Mungkin perniagaan kecil-kecilan mampu membantunya.

Adat resam orang berniaga memang sebegitu. Kadang-kadang rezeki melimpah-ruah, kadang-kadang bila hujan yang turun atau rezeki tidak memihak kepada mereka, hanya seorang dua sahaja yang akan singgah ke gerai. Namun, hal itu tidak sekalipun mematahkan semangat mereka untuk berusaha sehabis baik dan bersyukur dengan apa yang ada.

10 tahun yang berlalu itu terasa begitu singkat. Kimi juga sudah semakin besar. Fikirannya matang mengatasi umurnya. Mungkin pengalaman hidupnya itu yang mematangkan. Kampusnya yang berada tidak jauh daripada rumah itu juga memudahkan dia untuk membantu Ariff membuka gerai bila berkelapangan.

“Abang...ok tak ni?” soal Kimi risau. Mukanya berkerut.

“Eh..jangan risau..abang ok je ni..cuma biasalah penat bekerja kan..balik ni berehat ok lah..”

“Kalau penat sangat esok cuti je lah bang..”

“Eh..tak payah-payah..abang ok je ni..jangan risau.. dah-dah jom balik!”

*****

Hari ini jadual kelas Kimi penuh. Tidak sempat untuk dia membantu abang Ariff membuka gerai dan menolong apa yang mampu. selepas kelas nanti dia akan ke sana. Yang penting sekarang ini adalah belajar bersungguh-sungguh, dapatkan keputusan yang cemerlang dan berusaha membalas jasa abang tercintanya itu.

“Kring..kring..” bunyi telefon itu mematikan lamunannya.

“Ya Allah..”

Kimi terus bergegas ke tempat yang dimaksudkan. Air matanya tidak dapat diseka lagi. Dulu dia pernah kehilangan dua orang insan yang sangat dikasihinya, dan kini Allah mengujinya lagi. Abang Ariff meninggal dalam kemalangan. Sekujur jasad itu kini terbujur di pembaringan. Hatinya sedih, pedih, namun dia terpaksa merelakan. Ayat suci Al-Quran dilantunkan mengiringi jenazah. Dia turut sama terlibat memandikan jenazah, mengkafankan dan mengimami solat sebagai penghormatan terakhir buat abang Ariff.

“Kalaulah Kimi mati nanti, abang janji akan selalu jenguk Ariff dekat kubur ye..”

“Eh Kimi ni..jangan sebut pasal mati lah! ajal maut tu kan di tangan tuhan..sudahlah! pergi ambil Al-Quran sana! kita mengaji sama-sama..” ayat yang pernah dilafazkan abang Ariff dulu kini menjadi kenyataan.

Dan dirinya kini akan menunaikan permintaan yang pernah dipintanya dahulu. Semoga Allah sahaja yang membalas segala jasa, pengorbanan serta sifat kemanusiaan yang begitu besar dalam diri abang Ariff.

“InshaAllah syurga buat abang!”

“Terima kasih abang..”