“Memilih ikan ni macam memilih jodoh untuk anak kita juga ya,” Puan Asila menegur Puan Mah sambil ketawa mengekek-ngekek.

“Eh, Sila.” Dalam benar maksud Puan Asilah tu. Tapi Puan Mah pekakkan telinga saja. “Dari mana?”

“Ni ha..., beli sayur, sambil menjemput orang.”

“Menjemput?”

“Yelah, anak aku yang bongsu tu dah nak kahwin. Senang hati aku lepas ni. Semua dah beres.”

“Oh, Syafika? Dah nak kahwin?” Seingat Puan Mah, gadis itu baru berusia 20 tahun. Muda lagi.

“Iyelah, dah habis diploma, cukuplah. Nak buat apa belajar tinggi-tinggi, nanti tak laku, tak ada lelaki nak. Haa...” Puan Asila mengambil sekeping sampul surat pink dari dalam beg tangannya. “Ni, kad jemputan untuk kau, dah alang-alang berjumpa di pasar ikan ni. Tak payahlah aku ke rumah kau.”

Puan Mah mengambilnya. “Bila ni Sila?”

“Bulan depan, Sabtu pertama. Datang tau. Aku pakai katering je. Kau anak beranak datang makan jelah.”

“Baik, terima kasih Sila. Aku mestilah datang. Insya Allah.”

“Ha, jangan lupa ajak anak kau yang sulung tu..siapa tu.. Yati.. Ha, ajak Yati sekali. Dia ada kat sini?”

Puan Mah senyum nipis, “Dia di Kuala Lumpur. Kalau dia balik. insya-Allah, boleh pergi sekali.”

“Ha eloklah. Dia buat apa di Kuala Lumpur? Bukan baru balik dari oversea ke?” Memang betul, Yati baru saja balik dari Belanda, lepas tamat sarjana.

“Dia nak sambung belajar lagi tu.”

“E eh, sambung lagi? Buat PhD?”

Puan Mah angguk.

“Eh buat apalah belajar tinggi sangat. Kau tak risau ke anak kau tu tak berlaki sampai ke tua?” Puan Asila mengerutkan dahi, sinis. “Aku tahulah dia budak pandai, tapi sudah-sudahlah tu. Haih. Tak risau anak tak berjodoh lagi.”

Puan Mah malas nak jawab kata-kata Puan Asila tu. Dia terus ambil plastik berisi ikan kembung daripada penjual, dan meminta diri. “Aku balik dulu ya. Zuhur dah ni. Nak masak. Pak Baim tu tak boleh makan nasi lambat.”

“Ha, yelah.”

“Assalamualaikum.” Puan Mah berlalu dan menaiki motosikal pulang ke rumah.

Banyak Puan Mah masak tengah hari itu. Lauk ikan kembung goreng, sotong masak serai, sayur pucuk ubi masak lemak, dan sepiring sambal belacan.

“Ada orang nak datang rumah kita ke?”soal Pak Baim.

“Taklah.”

“Habis tu, kenapa macam banyak je lauk abang tengok ni?”

“Yati kan balik petang ni. Saya masak banyak teruslah, takut dia tak makan tengah hari lagi. Ni dia dalam perjalanan memandu dari KL.”

“Oh, patutlah.”

“Dia telefon semalam, tapi abang tidur awal. Saya lupa pula nak beritahu.”

Pak Baim mengangguk sahaja sambil menyuap nasi ke dalam mulut.

“Bang.”

“Ya.”

“Awak tak risau ke tentang Yati?”

Pak Baim mengerutkan dahi, “Risau kenapa, Mah?”

Puan Mah mengeluh perlahan. “Hmm yelah, anak orang lain lepas satu..., satu..., kahwin. Yati tu, anak kita, bila lagi? Umur dah nak masuk 30. Abang tak risau ke?”

“Ni mesti Asila jemput awak ni. Ada dia cakap apa-apalah tu tentang Yati.”

“Macam mana abang tahu?”

“Di masjid tadi, suami dia bagi kad jemputan kepada saya.”

“Oh, jadi abang tahulah yang anak bongsu dia, Syafika tu dah nak kahwin?”

“Iya.” Pak Baim mengangguk. “Katanya bakal menantu dia tu juruterbang.”

“Iya? Haish. Risaulah saya tentang anak kita.”

“Kenapa nak risau? Pandailah dia jaga diri.”

“Bukan sebab tu, bang. Perempuan zaman sekarang, kalau belajar terlampau tinggi, nanti orang lelaki tak pandang, tak nak buat bini.”

Pak Baim garu kepala. “Macam itu pula?”

“Iya, bang.” Puan Mah diam seketika. Kemudian, menyambung, “Pandai juga si Syafika tu cari laki, dapat orang elok pula tu, juruterbang.”

“Mah, awak ingat tak sepupu abang, anak saudara bini dia tu pernah bertanyakan tentang Yati?”

“Ha, ingat. Bagus ke budak tu?”

“Kerja biasa-biasa saja, rasanya tolong bapa dia bisnes jual telefon.”

“Tapi kan abang pernah tanya pada Yati, tahun lepas lagi. Bukan dia mati-mati tak nak ke bang?”

“Abang pernah tanya. Tapi baik abang cuba lagi sekali. Mana tahu Yati berubah fikiran ke.”

“Ha, eloklah bang.”

Petang itu, Hayati sampai ke rumah mereka. Sesudah Maghrib, Pak Baim berbual dengan Yati di ruang tamu sambil minum kopi yang dihidangkan Puan Mah.

“Kamu jadi sambung belajar lagi?”

“Ye ayah. Yati dah uruskan pendaftaran semua. Alhamdulillah.”

“Kalau batalkan saja tak boleh? Tak payahlah sambung belajar lagi.”

Hayati terkejut mendengar kata-kata ayah. Sebelum ini tak pernah pula perkara itu dijadikan isu. Pak Baim juga tak pernah menentang keputusannya.

“Hmm.” Pak Baim mengeluh, “Ayah dan mak rasa tak payahlah kamu sambung lagi. Teruskan kerja kamu sebagai pensyarah di kolej tu.”

Hayati makin bingung. “Ayah, kenapa pula ni?”

“Memang ayah tahu kamu belajar guna duit sendiri. Jadi, kamu berhak buat keputusan sendiri. Tetapi kamu masih anak perempuan ayah. Masih tanggungjawab ayah.”

“Yati tak faham. Yati menyusahkan ke?”

“Bukan. Mak dan ayah nak kamu kahwin, Yati.”

Hayati tarik nafas, dan senyum segaris. Ini rupanya yang dirisaukan orang tuanya.

“Ayah jangan risaulah, bila tiba waktunya, kahwinlah Yati nanti.”

“Mana tak risau,” Puan Mah menyampuk, berjalan dari dapur ke ruang tamu. “Kamu tu dah umur berapa. Nanti tak ada lelaki nak kan kamu. Dah tua nak kahwin, tak sempat menimang cucu.” Pak Mah bersuara tegas.

“Mak, kalau belajar tinggi memang tak boleh kahwin ke?”

“Kamu tak faham ya? Lelaki tak sudi meminang perempuan yang belajar terlalu tinggi. Tengok anak orang lain, belajar setakat diploma, ada juruterbang nak. Anak Mak Cik Asila kamu tu, yang bongsu dah nak menikah bulan depan.”

“Oh, jadi ini kes Mak Cik Asila lah.” Hayati kenal benar dengan mak cik kepoh itu, suka bawa mulut tentang orang lain. Apatah lagi bersikap sinis terhadap emaknya semata-mata dia masih belum menamatkan zaman bujang.

“Kalau mak percaya jodoh tu ketentuan Tuhan, mak dan ayah tak perlulah nak risau sampai begini,” sambung Hayati lagi. Dia beralih tempat duduk dan melabuhkan punggung di sisi Puan Mah sambil menggosok-gosok belakang emaknya.

Pak Baim dan Puan Mah saling berpandangan. Puan Mah berharap Pak Baim boleh terus memujuk Hayati atau sesekali bertegas dengannya.

“Anak sepupu ayah, Zairi tu...”

Belum sempat Pak Baim menghabiskan ayat, Hayati sudah dapat membacanya, “Yang hari tu? Tak nak ayah. Keputusan saya tetap sama.”

Diam seketika.

Kemudian, Hayati menyambung, “Mak, ayah. Yakinlah dengan Yati, sekurang-kurangnya. Yati akan buktikan perempuan yang belajar tinggi masih mampu berjodoh walau mengejar cita-cita sekalipun. Berikan Yati sedikit masa. Pedulikan dulu kata-kata orang. Yakin dengan Yati. Yati takkan kecewakan mak, ayah.”

Hari demi hari berlalu sehinggalah setahun kemudian.

Puan Mah melangkah ke kedai runcit dan melihat Puan Asila sedang memegang bakul, penuh dengan barang dapur. Lama juga dia tidak terserempak dengan Puan Asila kebelakangan ini. Orang kampung kata, Puan Asila kurang sihat. Nampaknya memang begitu, ada tampal koyok di kedua-dua bahagian kepala Puan Asila. Wajahnya nampak pucat.

“Assalamualaikum,” tegur Puan Mah.

Puan Asila menunduk. Dia seakan mahu mengelak tetapi Puan Mah sudah betul-betul berdiri di hadapannya.

“Waalaikumsalam.”

“Kau sihat, Sila?”

“Macam nilah aku.”

“Banyak kau membeli hari ni?”

“Iyalah, sekarang hari-hari pun banyak. Menjaga dan menanggung tiga orang cucu dengan mak-maknya sekali.”

Puan Mah tak faham. Dahinya berkerut. Perlukah meminta penjelasan daripada Puan Asila, atau itu hanya akan mengguriskan hatinya?

“Yati mana, Yati?”

“Yati di KL, Sila. Minggu depan balik sini. Kenapa?”

Puan Asila batuk-batuk. “Aku nak kau pesan dengan Yati. Belajarlah..., belajarlah tinggi-tinggi. Tak payahlah kahwin. Esok lusa, tak menyusahkan mak bapak.”

Puan Mah mengangguk sahaja. Apa kena dengan Puan Asila ni?

“Tak pe... Mah, aku nak cepat.” Puan Asila meminta diri, tak sempat ditahan oleh Puan Mah.

Puan Mah cuma ke kedai itu mahu membeli dua bungkus mi kuning, tauhu dan kicap pekat. “Ini saja, Mah?” Soal Puan Nab sambil memasukkan barangan ke dalam plastik dan memasukkan jumlah harga pada mesin kira.

“Iya, Nab. Aku berdua je dengan Pak Baim tu.”

“Kau terserempak dengan Asila tadi?”

“Aah. Dia nampak tak sihat. Tak sempat nak bertanya lebih-lebih.”

“Tak sihat apa, banyak masalah si Sila tu. Laki dia dah mengamuk.”

“Eh, kenapa?”

“Kan dua orang anak dia dah bercerai-berai dengan lakinya.”

“Ya Allah, ye ke? Anak yang mana satu?” Berita itu masih belum tersebar ke seluruh kampung, kalau tidak tentu Puan Mah sudah tahu awal-awal.

“Anak dia Mira tu yang kahwin jadi bini nombor dua kepada jurutera, dan Syafika yang baru kahwin tahun lepas tu. Kan baru je beranak seorang.”

“Hah, dah bercerai?”

“Itulah, bangga sangat anak kahwin muda, tak belajar tinggi.” Ujar Puan Nab sinis. “Jangan mendabik dada, kita ni. Hidup kan macam roda.”

Puan Mah sengih sahaja. Sambil itu, dia keluarkan sekeping sampul surat dari dalam beg. “Aku nak jemput kau seisi keluarga ni, Nab.”

“Allah...., Yati ke?”

Puan Mah mengangguk.

“Dengan orang mana? Kerja apa?”

“Orang sanalah. Sama-sama pensyarah dan sambung belajar. Alhamdulillah.”

“Alhamdulillah.” Kegembiraan turut terpancar pada wajah Puan Nab. “Aku bangga Mah, ada anak kampung macam Yati. Berjaya dan jadi contoh pada orang lain. Puan Nab berseloroh, “Jodoh yang baik. Insya-Allah.” Mereka sama-sama ketawa kecil.

Hati Puan Mah lapang tidak terkira. Ini ialah berkat kesungguhan Yati, keyakinan dia dan Pak Baim, dan kepercayaan bahawa perihal jodoh semuanya milik Tuhan.