Dia meminta dilapkan kaki dengan air panas. Aku pelik dengan permintaannya, lantas terus bangun ke dapur untuk mengambil air suam dan lap kakinya dengan tuala. Dia sekali lagi menggelengkan kepala terus memberitahu kepadaku mahu kakinya dituam dengan air panas. Bukannya air suam.

Akur dengan permintaannya yang pelik, lantas sekali lagi aku ke dapur dan kembali dengan air panas. Tanganku laju-laju meletakkan tuala yang direndam dengan air panas ke kakinya. Satu saat cukup, tuala menjadi sejuk. Iya sejuk! Bukan suam. Sejuk terus seperti terkena hawa peti sejuk. Hati aku mula tidak tenteram.

Fikiranku mula berfikir bukan-bukan. Mahu sahaja aku WhatsApp semua kakak-kakak, abang dan adik untuk segera pulang. Dua, tiga dan empat kali aku berulang-alik ke dapur untuk menukar air panas untuk dituam dengan tuala ke kakinya.

Petang Jumaat yang dingin. Hujan rintik-rintik di luar. Aku memandang ayah yang sedang solat Asar di ruang tepi katil kecilnya. Melihatnya dari belakang, aku menyedari penyusutan berat badan yang ketara padanya. Surah al-Fatihah yang dibacanya sekali-sekala terhenti dengan tangisan dan esakan kecil.

Air mataku yang tadi bergenang mengalir laju. Selesai solat, sekali lagi ayah mengaduh kesakitan apabila beralih dari kerusi roda ke bucu katil. Katanya, sakit mencucuk-cucuk. Aku dan ibu saling berpandangan. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Ubat klinik pagi tadi sudah ditelan namun sakitnya masih tidak hilang. Ibu mencadangkan ayah dibawa ke hospital. Ayah menggeleng tidak mahu. Aku cuba memujuknya bila ibu tidak berjaya. Ayah menggelengkan kepala. Tidak mahu menyusahkan anak-anak, katanya. Berapa kali ayat itu diulang-ulangnya apabila ibu menyuarakan hasratnya untuk menelefon abang.

Aku seperti terdengar ayahku menyuruh kami menelefon abang untuk pulang. Aku bertanya kembali kepadanya.

“Nak abang balik ke?”

Ayah hanya mengangguk sambil berbaring membelakangi diriku.

Aku menelefon abang dan memberikan telefon tersebut untuk ibu meneruskan bicara. Ayah masih tidak mahu ke hospital. Entah apa yang bermain di fikirannya. Abang memberikan kata putus akan membawa ayah ke hospital apabila pulang keesokan harinya.

Petang Jumaat semakin menghilang. Hujan masih rintik-rintik di luar. Si adik masih di ribaan. Perbualanku dengan suami terhenti tatkala melihat ayah perlahan-lahan bangun dari perbaringan dan menurunkan kedua-dua belah kakinya perlahan-lahan.

Sekali-sekala bibirnya mengaduh kesakitan yang amat. Terlihat dengan jelas pada kerutan di dahinya. Ayah memandang ke arah luar rumah melalui pintu sliding tepi katilnya. Dia menyuarakan hasratnya untuk ke hospital swasta. Tidak mahu ke hospital kerajaan.

Aku memujuknya ke hospital kerajaan kerana rawatannya lebih teliti dan rekod perubatan Ayah sudah ada dengan mereka. Ayah mula bercerita keinginannya mahu rawatan yang selesa. Dulu penat bekerja keras, sekarang mahu bersara dengan selesa. Tak kisah tentang duit, asalkan dapat rawatan yang selesa. Hospital kerajaan berkongsi dengan ramai orang dalam satu bilik. Hospital swasta seorang satu bilik. Ada tandas sendiri. Tidak perlu menunggu lama untuk ke tandas.

Katanya lagi. Meluahkan rasa yang terbuku di hati. Tiba-tiba ayah menangis. Suami terus mengambil anak di ribaan dan menyuruh aku pergi pada ayah. Aku terus meluru ke katil ayah dan memeluknya erat. Masih terngiang-ngiang katanya pada kami.

“Ayah tak nak susahkan siapa-siapa. Ayah tak nak susahkan anak-anak. Cuma nak habiskan sisa-sisa hidup dengan tenang,” ujarnya dalam esakan dan air mata.

Aku memeluk ayah erat. Kami berdua menangis teresak-esak.

Dalam linangan air mata aku memberitahu ayah.

“Okey, ayah. Jom kita pergi ke hospital yang ayah nak. Jom kami bawa ayah..”

Aku memberitahu ibu tentang keputusan ayah dan menceritakan apa yang berlaku tadi. Sekali lagi ibu menangis dan kami bersiap-siap untuk ke hospital yang ayah mahu.

Aku memandang sayu wajah tua ayah. Niatnya untuk berada di hospital swasta tidak kesampaian. Aku memegang tangan ayah yang menggigil kesejukan. Cuba memberi sedikit haba di tangannya. Bibirnya tidak lekang berselawat dan berzikir. Aku kagum dengan kesabaran yang ada pada ayah. Pandangan dan fikiranku hanya tertumpu pada ayah. Hati kecil aku dapat merasakan perkara yang besar bakal berlaku. Cuma aku terlalu takut untuk memberitahu pada diriku sendiri. Staf hospital membantu ayah turun dari kereta. Aku yang masih mengendong anak kecilku dalam carrier hanya mampu memandang dan menghantar ayahku sehingga luar pintu unit kecemasan sahaja. Tidak dibenarkan masuk. Hanya ibu dan suamiku sahaja. Dengan dua anak kecil di sisi, lagilah tidak dibenarkan masuk.

Sedih dan pilu. Hati mula tenang kerana tahu ayah pasti dirawat dengan baik di sini. Cuma malam itu aku tidak tahu, itulah terakhir kali aku melihat wajah ayah. Itulah terakhir kali aku memegang tangan ayah. Itulah terakhir kali aku bercakap dengan ayah.

Ayah menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, lewat petang menghampiri waktu Maghrib. Aku masih ingat saat aku tiba di katilnya, tubuhnya sudah dibaluti sepenuhnya. Disiapkan oleh pihak hospital untuk dibawa pulang ke rumah kami.

Cuma aku dan jasadnya yang kaku. Semua ahli keluarga termasuk ibu berada di luar tabir. Seperti memberi ruang buat diriku. Satu-satunya anak ayah yang ada di situ. Abang, kakak-kakak dan adik dalam perjalanan pulang. Hajat ayah untuk tidak menyusahkan anak-anak seperti yang diingini. Ayah hanya mahu ditemani ibu walaupun pada saat-saat akhir nafasnya. Seperti merasai rohnya masih ada di situ, mungkin juga melayan perasaanku yang terlampau sedih. Aku mengucapkan janjiku pada ayah buat kali terakhir. Janji seorang anak perempuan pada ayahnya buat terakhir kali. Semoga dipermudahkan urusan ayah untuk memasuki syurga Allah. Amin.