Apakah perasaan kita dengan kebaikan cerita yang dipindahkan ke pentas? Apakah perasaan kita apabila mengetahui teater itu dibangunkan dengan kerja secara berpasukan? Apakah perasaan kita apabila mengetahui pedih perit dalam latihan teater? Apakah perasaan kita apabila mengetahui pengorbanan mereka tidak mampu diukur dengan nilai wang ringgit?

Itu hanya sebahagian kecil antara beberapa perasaan serta pertanyaan. Apa tindakan kita selanjutnya? Pengalaman saya sejak berkenalan dengan dunia teater pada tahun 1980 saya menemui banyak jawapan. Kita ketepikan dahulu yang dianggap basi dan jawapan yang berulang-ulang.

Institusi pendidikan kita membuka pengajian yang berkaitan dengan teater. Saya percaya Universiti Sains Malaysia (USM) lebih awal dan lama mengungguli usaha ini. Kemudian memercik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan UiTM. Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) menampakkan keperluan pengisian secara lebih teratur. Hingga kini lahir beratus guru dan pensyarah serta kakitangan awam, khususnya di jabatan yang yang berkaitan dengan seni dan budaya yang memiliki ilmu dan ijazah teater. Kini hampir semua institut pengajian awam ‘mewajibkan’ pengajian berkaitan dengan teater.

Pada peringkat rendah sedikit, hampir semua sekolah, termasuk tadika dan tabika, ‘mewajibkan’ teater. Dalam pada itu tumbuh pula Sekolah Seni di Johor dan Sarawak. Tidak lama lagi Sekolah Seni akan bertambah ke Kuala Lumpur dan beberapa negeri lagi. Penyumbang yang termuda saya kira Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak yang menyuntik nilai-nilai lebih murni dalam kalangan pewaris negara.

Naskhah drama pentas digunakan sebagai bahan kuliah serta KOMSAS, pembelajaran dan peperiksaan di sekolah-sekolah. Hadiah sastera juga tidak mengecualikan kategori untuk naskhah drama pentas.

Tidak mungkin pensyarah, guru-guru dan kakitangan awam yang berkaitan dengan teater tidak pernah dicetuskan untuk menonton teater. Salah satu medan yang menjadi pencetus ini tentunya Festival Teater dahulunya disebut Pekan Teater, Pasar Teater, Pertandingan Teater dan lain-lain.

Salah satu faktor penyumbang ialah aktivis teater. Sejak lama dulu aktivis teater ini mementaskan teater tidak kira ada peruntukan atau tidak, di tempat terbuka atau tertutup, percuma atau berbayar. Ada yang bersumberkan ilmu daripada seni persembahan pentas bangsawan dan sandiwara. Juga ada yang menyerapkan ilmu dan pengalaman dari tanah Arab, Indonesia dan negara Barat.

Kumpulan teater yang berdaftar atau tidak, yang menumpang nama badan penulis atau seni budaya lain tumbuh setiap ceruk negara. Sampai satu ketika betapa sukar panel penilai atau hakim untuk memilih yang terbaik antara yang terbaik kumpulan dari Sabah dan Sarawak untuk dibawa ke peringkat akhir.

Himpunan data secara pukal di atas menunjukkan betapa teater terbukti mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Pembangunan begini berkemampuan untuk berkembang menjadi antara teras tamadun negara bangsa. Kalau kena dengan gaya tentunya mampu memberi pulangan ekonomi kepada negara.

Pada peringkat antarabangsa kita telah menyumbang nama Malaysia melalui seni pentas warisan seperti makyung, mek mulung dan bangsawan. Sebenarnya banyak lagi yang bertaraf dunia yang belum cukup kita selongkar untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

Mari kita bertanya semula, mengapa khazanah negara seperti ini tidak dimanfaatkan secara tegar dan berterusan? Adakah pihak kepimpinan negara yang bertukar pemimpin tidak menyedarinya? Adakah mereka yang pernah bergelar penggiat teater dan memegang jawatan penting sudah lupa daratan atau terlalu penat menjadi hamba?

Adakah aktivis teater dan kumpulannya sudah menjadi bilis maka tidak diperlukan lagi demi pembangunan negara? Salah satu sebab munasabah yang membolehkan kita bersiap untuk talkinkan teater apabila Festival Teater Kebangsaan diadakan dua tahun sekali dan membiarkan aktivis teater mengemis di tanah air sendiri.