Umur Ika baru dua belas tahun. Kematangannya melebihi usianya. Mungkin atas faktor perjalanan hidup yang dilaluinya. Dalam usia yang begitu muda, dia sudah dibebani dengan tanggung jawab menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Dia tidak berpeluang bermain dengan teman-teman seusianya. Dia perlu membahagikan waktu melakukan tugas-tugas di rumah seperti memasak, mengemas dan mencuci pakaian.

“Kak, adik nak nenen,” Adiknya, Adib datang menghulurkan botol kosong kepada Ika.Ika menyambut botol tersebut lalu bingkas bangun menuju ke dapur. Tidak sampai lima minit Ika sudah kembali ke ruang tamu dengan botol yang berisi susu. Adib mencapai botol yang dihulurkan kakaknya lalu terus menghisapnya. Jari-jemari kecilnya memicit-micit bucu bantal busuk sambil memejamkan matanya.

Melihat Adib sudah nyenyak tidur, Ika cepat-cepat ke dapur melakukan kerja-kerja yang dipesan ibunya. Dia perlu menyelesaikan semua tugas itu sebelum ibunya pulang. Ika mencapai periuk nasi lalu memasukkan beras mengikut sukatan biasa. Sambil menunggu nasi masak, Ika menggoreng ikan dan memasak kari ikan. Selesai sahaja tugasan di dapur, Ika menuju ke bilik air untuk mencuci pakaian kotor.

Begitulah rutin harian Ika sejak ayahnya masuk penjara kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Ibunya bekerja mencuci pinggan di restoran dengan upah dua puluh ringgit sehari. Abangnya, Raziq terpaksa berhenti sekolah untuk memberi laluan kepada Ika terus belajar. Abangnya kini mengikut jirannya ke laut menangkap ikan. Ikan yang di bawa balik itulah yang menjadi santapan harian mereka. Upah yang diterima ibunya digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur, seperti beras, minyak, gula, kopi, susu Adib dan lain-lain. Walaupun hidup mereka tidak mewah, tetapi mereka sekeluarga rasa bahagia.

Dari pintu rumahnya yang terbuka, Ika melihat kawan-kawannya sedang riang bermain. Mereka berselfie dengan telefon bimbit sambil ketawa keriangan. Kadang-kadang sayu hati Ika apabila mengenangkan nasibnya berbeza daripada kawan-kawan sebayanya. Kawan-kawannya tidak dibebani dengan tugas-tugas di rumah sepertinya. Rumah mereka lengkap dengan segala kemudahan. Ada mesin basuh, televisyen dan mereka dibekalkan telefon bimbit yang mahal untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan.

Pernah Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolahnya datang ke rumah kerana dia kerap ponteng sekolah. Masih jelas terbayang air mata cikgu Ruwaida menitis melihat keadaan kehidupan mereka. Katanya, dia tidak menyangka dalam zaman yang serba maju ini, masih terdapat anak muridnya yang hidup daif, tinggal di rumah kecil tanpa kemudahan air dan elektrik.

Selepas kunjungan cikgu Ruwaida ke rumahnya, barulah Ika mendapat bantuan biasiswa. Ika juga diberikan pakaian sekolah yang baru dan lengkap. Ika tidak lagi memakai kasut abangnya yang jauh lebih besar dari saiz kakinya. Dia lebih selesa melangkah dengan kasut baru. Dia tidak perlu menyumbat perca kain ke dalam kasutnya seperti sebelum ini lagi.

Sejak ayahnya ditangkap Polis dan dimasukkan ke Pusat Serenti, Ika rasa hidupnya lebih tenang. Segala ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya telah hilang. Dia tahu ayahnya seorang lelaki yang penyayang, tetapi apabila berada di bawah pengaruh dadah, segala kebaikannya akan lenyap sekelip mata. Ayahnya akan bertukar menjadi lelaki yang bengis dan menakutkan.

Paling Ika gembira apabila dia tidak lagi melihat ibunya dipukul, diseret seperti guni beras  dan disepak kepalanya bagai sebiji bola. Dia tidak lagi akan mendengar orang kampung merungut kehilangan sesuatu lagi. Kawan-kawan di sekolah tentu tidak lagi menjeling dan menjuihkan bibir mereka setiap kali melihat ke arahnya.

Semua orang boleh berkata apa sahaja mengikut sedap mulut mereka kerana mereka tidak berada di tempatnya. Mereka tidak  tahu betapa terluka hatinya. Mereka tidak pernah bertanya apakah salah ibunya. Apakah salah mereka adik beradik sehingga terpaksa menerima tempias daripada kejahatan yang dilakukan oleh ayahnya. Ah, buang masa sahaja dia memikirkan umpat keji orang sekeliling.

“Jika ada orang mengumpat kita, kita akan mendapat pahala percuma daripada Allah.” Kata-kata ustazah Faiza masih melekat di ingatannya. Kata-kata guru agamanya itu menjadi perisai buat dirinya menangkis segala tohmahan masyarakat. Biarlah mereka mengatakan dia anak penagih dadah atau anak banduan, Ika tidak peduli. Apa yang penting dia tidak sekali-kali akan menurut segala perlakuan buruk ayahnya itu. Dia akan menjaga adiknya dengan sebaik-baiknya.

Azan Maghrib terdengar begitu syahdu dari surau berdekatan. Suara Amirul Amin, anak pak Imam yang belajar di sekolah tahfiz          begitu lunak didesir angin timur. Beruntunglah Amin dilahirkan sebagai anak Pak Imam yang terkenal dengan ilmu agamanya. Kalaulah  Adib besar nanti bolehlah dihantar belajar ke sekolah tahfiz seperti Amin. Dalam diam, Ika menyimpan cita-cita itu.

Bulan sabit menunjukkan wajah di sebalik redup senja. Beberapa orang kanak-kanak berlari masuk ke rumah setelah terdengar laungan azan. Tiupan bayu pada musim kemarau begitu mendinginkan. Daun-daun kering diusung sampai ke halaman rumah.  Ibu Ika belum pulang. Ika menanti di muka tangga dengan wajah penuh kebimbangan. Selalu ibunya akan sampai ke rumah sebelum azan Maghrib. Jam di dinding menunjukkan angka sembilan. Sudah lewat dua jam, namun bayang ibu Ika belum kelihatan.

 “ Mak mana?” 

“Belum balik lagi, abang pergilah cari mak kat kedai tu,”

 “Ika dok rumah jaga adik, abang nak pergi cari mak.”  Tergopoh-gapah Raziq menaiki motor buruk ayahnya itu menuju ke restoran tempat ibunya bekerja.

“ Mak kau tak datang kerja hari ni, ada orang nampak dia naik kereta bersama seorang lelaki dekat simpang tiga tu.” Beritahu Pak Hisham, tuan punya restoran itu sambil jarinya menuding ke arah simpang yang dimaksudkan. Raziq tidak tahu untuk menjerit atau menangis  memanggil ibunya saat mendengar jawapan Pak Hisham itu. Kalau habis suaranya meraung takkan didengar ibunya lagi kerana bayang ibunya tidak kelihatan lagi di simpang itu. Hanya kelihatan  hutan kebun getah tua terbiar.

Raziq terdiam tanpa sepatah kata. Selepas bersalam dan memohon undur diri, dia terus berpatah balik menuju ke rumah. Dia melalui jalan kampung yang sunyi. Sesekali lampu motosikalnya terpadam akibat jalan batu yang berlopak-lopak itu. Setibanya di rumah, kelihatan Ika masih termanggu di atas tangga menunggu kepulangannya. Ika  sungguh sedih dan hampa apabila diberitahu  ibunya telah meninggalkan mereka. Mereka bertiga terus menanti di tangga itu seperti menanti bulan jatuh ke riba. Lebih secawan air mata mereka tumpah pada malam itu.

Sekali lagi heboh sekampung Ibu Ika hilang mengikut lelaki tidak dikenali. Kehilangan yang mengundang berbagai andaian dan prasangka buruk. Kecanggihan dunia teknologi begitu cepat menyebarkan berita itu ke seluruh negeri. Berita dan gambar-gambar mereka dimuat naik ke serata laman sosial. Tiba-tiba rumah buruk  mereka yang tidak pernah dipijak oleh sesiapa kini tidak henti-henti dikunjungi oleh pelbagai golongan, termasuk pemberita dan ahli koperat. Ada yang mencadangkan rumah itu dibina semula. Ada pula yang membantah kerana tapak rumah itu bukan hak milik yang sah. Berbagai perbincangan didengar dari pelbagai pihak yang ingin membantu. Tiga beradik yang bernasib malang itu hanya mendengar dan merenung jauh entah ke mana. Tidak semua butir-butir perbincangan itu singgah di kepala mereka.

 “Nanti tinggal dengan uncle dan aunty di Kuala Lumpur tau.” Pujuk salah seorang tetamu yang berkunjung.

 “Ika nak ibu balik. Ika nak tinggal dengan ibu, dgn abang dan adik.” Jawab Ika dengan genangan air mata.

 “Tak apa, nanti semua tinggal dengan uncle.  Abang kamu, Raziq boleh sambung belajar semula. Dia akan ambil SPM tahun depan. Lelaki berambut hitam separuh putih itu terus memujuk. Isterinya menggosok-gosok belakang Ika. Betapa lembut jari jemarinya, jauh berbeza dengan jemari ibunya yang kasar kerana setiap hari bermain dengan air dan sabun pencuci pinggan. 

Ika sedih sungguh. Dia sedikit pun tidak merasa gembira dengan semua itu kerana di hatinya hanya mahukan ibunya pulang, begitu juga abangnya, Raziq dan adiknya, Adib. Mereka perlukan ibu mereka lebih daripada segala-galanya. Mereka tidak sekali-kali percaya bahawa ibu mereka sanggup meninggalkan mereka kerana mereka percaya bahawa  ibu  mereka begitu sayangkan mereka. Telah bertahun ibu mereka sanggup berkorban untuk membesarkan mereka. Tidak mungkin dia sanggup meninggalkan mereka kerana lelaki lain yang tidak dikenalinya. 

Ika tahu ibunya seorang yang penyabar. Hampir dua puluh tahun dia hidup berteman sepak terajang ayahnya. Ibunya tetap bertahan demi mereka tiga beradik. Adakah kini, kesabaran ibu sudah sampai ke tahap maksima? Mungkin ibu sudah letih dengan fitnah dan umpat keji manusia sekeliling.

Kejam sungguh manusia itu yang tidak pernah mahu memahami nasib malang mereka. Mereka hanya tahu menyerang dengan kata-kata cacian yang berbagai. Begitulah sepinggan nasib yang dijamah mereka setiap hari. Hampir tidak tertelan lagi. Kalaulah dapat dimuntahkan segala penderitaan itu, alangkah mudahnya hidup ini.

Angin petang itu berbisik lembut. Sesekali membawa aroma lumpur nipah. Seekor taptibau di ranting kekabu nyaring memanggil hujan.  Rindunya Ika pada kenangan mengutip remis di pantai bersama ibu. Setiap petang, pada ketika air mati, mereka akan duduk bersila mengorek pasir sepanjang bibir pantai untuk mencari remis. Betapa manisnya kenangan itu.

“Ibu pergi mana?” Adib tiba-tiba menyoal Ika. Mungkin dia sudah terasa kehilangan ibunya. Sudah berkali-kali Ika melihat Adib  tercari-cari, memanggil-manggil nama ibunya serata ceruk rumah. Kadang-kadang dia memanggil ibu kepada kelibat sesiapa sahaja yang melintasi halaman rumahnya. Rindu Adib sudah tidak terbendung lagi.

“Ibu pergi cari kerja baru, nanti ibu pulanglah.” Pujuk Ika sambil menyapu ubun-ubun adiknya. Ika kembali diusik hiba. Tidak kasihankah ibu pada Adib yang masih kecil ini. Tidak rindukah ibu pada mereka yang kini hidup bagai anak yatim piatu. Air mata Ika gugur bagai hujan tiris dari lubang atap rumahnya.       

Tiga bulan berlalu,  ibu Ika hilang tanpa khabar berita. Beras di dalam simpanan semakin susut. Barang makanan yang didermakan semakin berkurang. Susu Adib pun tinggal separuh. Ika mulai bimbang. Abangnya Raziq, sudah seminggu tidak turun ke laut kerana ombak besar. Ika teringat sebuah telefon bimbit yang ditinggalkan oleh pasangan suami isteri yang ingin mengambil mereka sebagai anak angkat seminggu lalu. Sudah berulangkali pasangan itu datang ke rumah memujuk Raziq dan adik-adiknya. Mereka bersungguh-sungguh mahu membantu. Ditinggalkan sebuah telefon bimbit dengan harapan tiga beradik itu berubah fikiran. Turut diajarkan cara-cara menggunakannya. Mujur Ika tidak lupa bagaimana cara untuk menggunakan telefon tersebut.

Ika terpaksa akur dengan kehendak takdir. Mereka tiga beradik akan mengikut keluarga angkat baru yang sanggup menjaga kebajikan mereka. Khabarnya ayah angkat mereka itu seorang  ahli perniagaan. Mereka  tidak memiliki zuriat. Ika bersyukur kerana mereka tiga beradik tidak dipisahkan.
 

Di dalam hatinya berdoa semoga suatu hari nanti mereka akan bertemu semula dengan ibu dan ayah kandung mereka dalam suatu kehidupan yang bahagia. Dia berazam akan tetap mencari mereka samada melalui laman facebook atau apa sahaja kemudahan teknologi komunikasi yang ada.