Hampir setiap waktu solat, dia akan berjemaah di surau di kampungnya, walaupun ada tikanya, dia hanya sempat menjadi makmum. Biasanya, selepas solat berjemaah di surau, dia akan singgah seketika di asrama anak-anak yatim yang diusahakan oleh usahawan berjaya anak-anak Kampung Murni. Beliau turut dilantik menjadi pengerusi asrama anak-anak yatim tersebut.

Lebai Semaun sering mengingatkan para tetamu tentang jadual waktu rawatan itu. Jika tiba waktu solat, mana-mana pelanggan yang masih ada menunggu bagi mendapatkan rawatan, akan dipelawanya berjemaah sama di surau. Haji Semaun, yang lebih senang dan dikenali dengan panggilan lebai, sentiasa ceria mengayuh basikal tuanya daripada memandu motosikal dan atau kereta apabila ingin ke surau. Sedikit senaman yang boleh mengeluarkan peluh untuk kesihatan badan. Sebab itu, aura di wajahnya kelihatan muda dan berjaya menyorokkan wajahnya yang kini sudah berusia lebih tujuh puluh tahun. Di samping mengamalkan senaman ringan, Lebai Semaun juga amat menjaga makan minumnya. Sebab itu, dengan mengamalkan senaman ringan sentiasa menjaga tidur dan ketenangan jiwa, seizin Allah, Lebai Semaun belum diserang oleh penyakit zahir dan batin yang akut.

Pada hari-hari dia memberikan perkhidmatan rawatan, sesi rawatan tengah hari akan bermula selepas jam dua petang sehingga tibanya waktu solat Asar. Pelanggan-pelanggannya atau orang yang baru pertama kali hendak menemuinya, akan patuh pada jadual rawatan ini kerana dia akan memaklumkan apabila ditanya. Maka, Lebai Semaun akan turut berjaya menanamkan salah satu sifat mahmudah ke jiwa manusia biasa, iaitu sifat bersabar.

Di samping itu, sifat keramahannya melayan tetamu bersama isterinya Hajah Munah, menyebabkan tetamu tidak merasa bosan berada di rumahnya. Di ruang menunggu dalam rumahnya, ada juga disediakan bahan-bahan bacaan ringan seperti majalah-majalah ilmu agama, ilmu kesihatan dan pelbagai majalah ilmu bantu yang boleh dibaca oleh insan penunggu. Di halaman rumahnya pula ada disediakan ruang rekreasi untuk anak-anak kecil yang datang bersama dengan ibu bapa atau datuk nenek mereka.

Beberapa buah pondok wakaf turut didirikan untuk kemudahan pengunjung berehat sambil berbual bertanya khabar sebagai pengikat ukhwah silaturahim. Lebih-lebih lagi jika ruang menunggu di dalam rumah sudah penuh. Tiba-tiba, nada dering telefon bimbit Lebai Semaun berbunyi. Tangannya segera mencapai telefon bimbitnya yang sentiasa berada dalam saku baju melayunya. Sifatnya yang prihatin dan ramah akan segera menyambut panggilan yang masuk.

“Assalamualaikum tuan, boleh tahu siapa yang buat panggilan ini.”

“Wa’alaikumussalam tuan haji.” Suara halus wanita membalas.

“Betul ke yang saya hubungi ini tuan Tabib Semaun?”

“Ya puan, tidak salah lagi. Terima kasih kerana membuat panggilan ini. Boleh saya tahu, dengan siapa saya bercakap ini puan?”

“Saya ni Datin Norgayah, isteri pada Datuk Idris. Mungkin tuan tabib tak kenal suami saya.”

“Mungkin kenal juga Datin, jika saya melihat wajahnya.”

“Betul ke tuan tabib, eemm….”

“Haji Semaun, Datin. Orang kampung lebih senang panggil saya dengan panggilan lebai sahaja. Kadang-kadang orang panggil saya haji. Ada juga orang panggil saya dukun. Yang terkini pula, entah kenapa orang panggil saya tabib pula.”

“Ha...ha...ha...” Datin Norgayah tergelak. “Maafkan saya tuan haji, saya lebih senang dan sangat setuju dengan panggilan tabib.”

“Sebab apa datin?”

“Tuan Haji Semaun, dunia perubatan kita semakin canggih dan terkini. Sebab itu gelaran pada perawat tradisional kita juga, mestilah terkini juga. Walaupun fungsi atau tugasnya sama iatu membantu insan yang memerlukan pertolongan itu sama, bukankah lebih baik, panggilan kepada insan istimewa kurniaan Allah ini, kita murnikan juga. Tidak begitu tuan tabib?”

“Ha...ha...ha...” Giliran Lebai Semaun pula tergelak. “Ada-ada sahajalah Datin ini.”

“Ringkas sahajalah ya tuan tabib, betul ke daripada berita yang ditular di media komunikasi, tuan tabib ada membuat rawatan sakit tuan?”

Lebai Semaun tersenyum sendirian. “Insya-Allah, ada Datin. Dilaksanakan atas keperluan fardu kifayah juga. Boleh saya tahu, siapa yang hendak berubat tu Datin? Saudara ke?”

“Eh tuan tabib ini, suami sayalah...Datuk Idris.”

“Mengapa dia sendiri yang tidak menelefon saya Datin?”

“Katanya malu dan saya beranikan diri menelefon atas dasar ingin menolong juga. Jika dia sihat saya pun bahagia tuan tabib. Bagi saya, usia Datuk pun masih muda. Baru hendak masuk lima puluh. Saya lagi muda, baru masuk empat puluh tahun. Tentu tuan tabib faham maksud saya bukan?”

“Sangat faham Datin. Dengan izin Allah jua, saya akan cuba usahakan memberi rawatan pada Datuk seperti yang saya berikan pada pelanggan lelaki saya yang lain. Nanti, ajaklah Datuk datang sama ya. Tahu alamat rumah dan kampung saya, Datin?”

“Sangat lengkap seperti yang terdapat di halaman Facebook yang pelanggan tuan tabib tularkan.Terima kasih ya tuan Tabib Semaun kerana sudi bercakap dengan saya.”

“Terima kasih kembali Datin Norgayah. Sampaikan salam saya pada Datuk Idris ya Datin.”

“Insya-Allah.”

Hari itu, Lebai Semaun perlu melenakan matanya seketika, buat mengganti waktu tidur malam yang tidak cukup kerana kes kecemasan membantu merawat seorang pesakit yang kerasukan. Biasanya waktu rawatan sesi malam akan berakhir paling lewat pukul sepuluh setengah malam. Tetapi, atas keprihatinannya menunaikan tuntutan fardhu kifayah, dia akan mengorbankan waktu rehatnya, jika ada kes-kes kecemasan.

Tidak lama kemudian, Hajah Munah melihat suaminya mula mengalunkan dengkuran di kerusi malasnya…

“Semua ilmu mesti dituntut lebai. Jarang yang datang dalam mimpi atau datang sendiri. Selepas itu, kita perlu khairatkan pada insan lain yang memerlukan. Kita wajib yakin dengan pertolongan Allah. Semua ilmu ini menggunakan ayat-ayat Allah dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Yang penting, ilmu yang kita tuntut dan amalkan ini, tidak menyalahi hukum Allah. Hari ini saya ijazahkan Lebai Semaun dengan ilmu-ilmu perdukunan ini. Terimalah...”

Lebai Semaun menggenggam erat salaman Wak Kiman. “Dengan lafaz Bismillah, saya menerima ilmu perdukunan ini ya Wak. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga.”

“Pesan Wak, lebai boleh mantapkan lagi ilmu perdukunan ini melalui guru-guru lain sebagai tambahan. Juga mohon, jangan salahgunakan ilmu ini ya. Bantulah insan-insan yang memerlukan bantuan, dengan ikhlas dan semampu yang boleh. Jangan minta pengerasnya. Terima sahaja berapa yang mereka sumbangkan. Sediakan satu tabung khairat untuk diinfakkan ke rumah-rumah ibadat, asrama anak-anak yatim dan sebagainya.”

Mata pencarian utama Lebai Semaun ialah memandu teksi. Perkhidmatan membawa penumpang untuk anak-anak kampung yang ingin ke bandar, diusahakan setiap hari. Ada ketikanya, perkhidmatan ini terlajak hingga ke bandar-bandar utama di negara kita. Tetapi, hanya sekitar kawasan dua ratus kilometer ke bawah sahaja. Yang penting, dia dapat menyumbangkan jasa bakti kepada masyarakat. Apabila mula memberi sumbangan dalam ilmu perdukunan, masa dalam sehari, terpaksalah diagih-agihkan.

Rawatan

Kerap juga dia dipanggil ke rumah pesakit, memberikan rawatan. Rasukan jin dan syaitan tidak memilih zaman kerana makhluk Allah ini sentiasa wujud dan jumlahnya lebih ramai daripada manusia biasa. Sebab itulah khidmat Lebai Semaun berterusan dari tahun ke tahun, bergerak menurut peningkatan usianya. Bukan setakat memberi rawatan penyakit ghaib, Lebai Semaun juga dikenali sebagi mudim.

“ Mengapa ustaz menggunakan khidmat bantu Lebai Semaun itu, ustaz? Bukankah ustaz lebih mahir menggunakan doa ayat-ayat al-Quran?” Satar berbual dengan Ustaz Khaidir ketika mereka menikmati sarapan pagi di warung balai nelayan di kampung mereka.

“ Ya Satar, saya amat tahu tentang itu. Tetapi, saya sudah banyak kali berusaha, anak kecil saya masih diserang sawan tangis. Saya dimaklumkan, Lebai Semaun ada kelebihan dalam rawatan sawan tangis ini. Anugerah Allah pada dia. Pada mulanya saya macam tak percaya juga. Sebab itu, isteri saya sahaja yang membawa anak kami itu bertemu dengan Lebai Semaun. Dengan ikhtiar yang diusahakan oleh Lebai Semaun itu, dengan izin Allah, anak kecil saya tidak kuat menangis lagi dan semakin sihat. Redalah duka kami untuk menyambut anak baru dalam keluarga kami. Ilmu merawat sakit sawan ini telah terkenal di negeri dan di negara kita. Rumah Lebai Semaun semakin ramai dikunjungi oleh orang ramai yang memerlukan perkhidmatannya.”

“Kau pernah ke melihat cara Lebai Semaun merawat pesakitnya itu, Satar?”

“Pernah ustaz. Saya selalu pergi ke sana membawa orang luar yang minta tunjukkan rumah lebai itu. Saya lihat cara merawatnya biasa sahaja ustaz. Tak ada yang peliknya. Dia akan mengunakan doa-doa dan selawat ke atas junjungan besar Nabi SAW dan adalah digunakan air minuman dan herba-herba semula jadi seperti bawang putih, lada hitam dan lain-lain lagi berdasarkan pada sakit yang dihidapi. Yang terkini, Hajah Munah sempat membuat majun khas untuk pemulihan tenaga zahir dan batin. Majun itu dinamakan Majun Selasihku Sayang.

Bahan-bahan untuk majun itu terdiri daripada dua puluh jenis tumbuhan dan rempah ratus dan di mesin bersama sedikit daging ayam selasih. Saya pun amalkan ustaz. Saya rasa segar dan amat berkesan untuk kesihatan tenaga zahir dan batin kita. Banyak Lebai Semaun dapat hadiah pemberian pesakit-pesakitnya seperti kereta, motosikal dan ubah suai rumah banglonya.

“Jika kau pernah makan majun itu dan berkesan, saya percayalah. Nanti kau tolong belikan untuk saya dua botol. Saya pun nak mencuba juga. Mudah-mudahan dengan izin Allah, mujarab untuk saya yang memasang dua ini. Saya pun perlu berjumpa dengan Lebai Semaun, bagi memohon maaf atas kesalahan saya dan akan menunaikan jemputannya mengajar di surau di kampung dia.”

“Pesakit akan dibawa ke bilik rawatannya. Jika pesakit perempuan, dia wajibkan muhrim pesakit itu menemankan. Dulu, isteri saya pernah dirasuk penyakit meroyan. Hanya dengan menggunakan bawang putih dan lada hitam yang disentuh pada ibu jari kaki Hamidah, melolong suara syaitan kesakitan, lari dari tubuh isteri saya. Beliau sangat menjaga rahsia pesakit dan tidak dibenarkan orang lain melihat rawatannya dan perbualannya dengan pesakit dan waris pesakit. Kita diyakinkan oleh Lebai Semaun, bahawa dia hanya berikhtiar dan Allah juga yang memberikan kesembuhan. Jika ustaz hendak berbual dengan dia, tunggu sahaja di Surau al-Hikmah, dia akan berjemaah di sana.

“Insya-Allah, petang ini saya akan berjemaah di surau itu. Mudah-mudahkan Lebai Semaun ada dan memaafkan kesalahan saya.

Pada suatu petang, orang-orang kampung heboh mengatakan bahawa Jantan ingin membunuh diri dengan terjun ke laut. Masuk yang terkini, sudah tiga kali Jantan ingin membunuh diri. Jantan bernasib baik kerana cubaan membunuh dirinya gagal.

Dia berjaya diselamat oleh orang ramai yang berkelah dan mencari rezeki di pantai. Sudah jenuh keluarga Jantan mengusahakan rawatan moden dan tradisional untuk Jantan, tetapi semuanya tidak berhasil. Jantan semakin kuat meraung dan tidak mahu menjamah makanan dan minuman.

Tubuhnya yang sasa dan menjadi pujaan isterinya dahulu, semakin susut. Wajahnya sentiasa pucat sebab kekurangan zat. Akhirnya, isterinya bertindak membawa Jantan bertemu dengan Lebai Semaun. Selama tiga malam berturut-turut, Lebai Semaun berusaha memulihkan kesihatan Jantan. Akhirnya, walaupun terasa malu, Jantan membisikkan sesuatu ke telinga Lebai Semaun.

“ Ha...ha...ha...” Lebai Semaun tergelak. “Kau ikut arahan apa saya ajarkan ya. Makan majun yang saya bekalkan ini. Jangan lupa senaman istimewa ini. Air, majun, doa dan senaman ini sebagai pemangkin sahaja. Allah jua yang memberi kesembuhan. Pantang larang buat sementara ini, kena ikut ya terutama makanan dan minuman.

Malam yang keempat, isteri Jantan datang menemui Lebai Semaun bagi menyampaikan ucapan terima kasih pada Lebai Semaun. Dia ada membawa beberapa ekor ayam selasih untuk dihadiahkan pada Lebai Semaun.

“Jutaan terima kasih daripada kami ya tuan lebai.”

“Jantan tak datang sama? Terima kasih kembali dan ucap syukur pada Allah. Keletihan agaknya tu. Salam saya pada Jantan.”

Isteri Jantan tersenyum panjang. “Ya, keletihan tuan lebai.”

“Masya-Allah, terlena rupanya aku.” Tabib Semaun tersedar apabila telinganya mendengar suara Datin Norgayah memberi salam dan memohon izin bersua dengan dia. Kebetulan dia mendapat nombor giliran pertama yang diberikan oleh Satar yang kebetulan berada di kawasan rumah Lebai Semaun.

Hajah Munah menemankan Datin Norgayah masuk ke bilik rawatan menemui Tabib Semaun.

“Mengapa Datuk tidak datang sama?”

“Dia kirim salam pada tuan tabib. Dia malu dan minta saya yang ceritakan pada tuan tabib, penyakit berbahayanya itu. Saya ceritakanlah ya.”

“Insya-Allah, penyakit suami Datin ini boleh dirawat, asalkan dia tidak menghidap sakit kencing manis akut. Tapi, hari ini susah sikit saya nak rawat sebab Datuk tidak datang sama. Saya nak dia amalkan doa yang saya berikan, nak tunjukkan senaman warisan dan senaman mandi budak. Tak apalah, buat permulaan ini Datin tulis apa yang saya cakap dan minta Datuk laksanakan ya. Kali kedua, Datin datang, Datuk mesti datang bersama. Majun istimewa ini mesti makan sebiji pagi dan sebiji malam.

“Datuk mesti bersedia menerima rawatan ini secara komited dan banyakkan berdoa pada Allah dan banyakkan bersedekah ya. Di ruang tamu itu, ada tabung infak untuk asrama anak-anak yatim di kampung ini, nanti Datin masukkan seberapa ikhlas yang Datin hendak sumbangkan sebagai hadiah rawatan ini ya.”

Sebelum Datin Norgayah, meninggalkan rumah Tabib Semaun, dia sempat berbual dengan Satar.

“Boleh saya tahu, Datin datang mendapatkan rawatan untuk diri ke? “Tidak encik, untuk suami saya yang menghidap penyakit orang lelaki. “Insya-Allah, dengan izin Allah. Ramai yang menghidap penyakit akut ini telah berjaya sembuh semula. Wajah Datuk dan Datin akan ceria semula.”

“Maaf tanya encik, jika ditakdirkan tuan Tabib Semaun ini meninggal dunia, ada ke pewarisnya yang mahu mewarisi ilmu rawatan istimewa ini?”

“Anak-anak beliau tidak mahu mewarisi ilmu rawatan tradisional ini kerana dugaannya cukup banyak.”

Kereta Jaguar yang dipandu oleh Datin Norgayah meluncur pergi dengan meninggalkan lambai tangan pada semua tetamu yang hadir di rumah Tabib Semaun.