Sampulnya polos tanpa logo rasmi pusat pengajian tinggi idaman Dira sejak di bangku sekolah. Ditambah pula tulisan tangan pada nama dan alamat Dira mudah benar dikenali, selepas hampir tiga tahun kita berinteraksi. Saya fikir, ada peluang surat ini terus menjadi cebisan halus di dalam bakul sampah di bawah meja belajar Dira.

Bagaimanapun, ada sebab saya terus mencuba. Surat ini ialah medium untuk menyampaikan amanah daripada ibu Dira kepada saya. Saya juga ingin menjelaskan perkara yang enggan Dira endahkan, lewat pertemuan terakhir kita dulu.

Nah! Dua perkara yang paling Dira benci sudah muncul pada perenggan kedua. Ibu Dira dan pertemuan terakhir kita. Adakah Dira akan terus membaca surat ini?

Tidak mengapalah jika Dira tidak mahu membacanya. Saya sudah hantar sesalinan surat ini kepada editor akhbar mingguan negara kita yang edarannya agak besar (walaupun jumlahnya sudah jauh berbeza daripada liputan zaman pra-Internet dahulu). Jika Dira tidak membacanya, masih ramai lagi pembaca akhbar yang akan menatap bait-bait bicara ini. Mungkin ada antara pembaca akhbar itu mengenali Dira dan lambat-laun akan mengkhabarkan isi hati saya ini kepada pemilik sebenarnya.

Dira,

Maafkan saya. Kesalahan terbesar saya ialah berbohong pada Dira tentang siapa diri saya. Jika Dira mahu lemparkan permohonan maaf saya ini ke dalam gaung, terpulanglah. Namun, harapan saya agar tanggungjawab yang dipikul selesai di sisi Tuhan.

Pelik, bukan? Bagaimanakah seorang bibliofil mampu berlakon menjadi pembenci buku dan seisi perkara yang berkaitan dengan buku?

Demi cinta, segala-galanya mungkin.

Ya, Dira. Perasaan saya kepada Dira berjaya menakluki cinta saya kepada buku dan dunia pembacaan (sekurang-kurangnya buat sementara). Raut mulus dan gelak tawa Dira menghilangkan dahaga yang melanda jiwa. Cara Dira mengambil berat tentang diri saya adalah hembusan bayu dan desiran hujan yang membasahi hati yang kekontangan kasih sayang.

Namun hakikatnya, cinta kepada buku dan isinya tidak mampu ditandingi oleh cinta sesama manusia. Mengasihi buku ialah suatu perasaan yang tidak akan lenyap dan tidak akan mampu disembunyikan.

Sejujurnya, pada awal kita berkenalan, saya tidak mengerti mengapa Dira amat membenci buku dan membaca. Walaupun saya seorang bibliofil, saya gagal membaca betapa jauhnya berang itu berakar umbi. Bodoh benar saya. Manakan Dira mampu menerima buku apabila ibu lari tanpa pesan, meninggalkan Dira dan ayah, kerana seorang pustakawan!

Realitinya, sukar untuk saya terima. Mana mungkin seseorang yang hidup mengulit buku, dadanya penuh dengan ilmu, berlaku begitu jahat melarikan isteri orang? Pada satu sudut lain, adakah wajar buku dan pembaca dihukum kerana setitik nila, rosak susu sebelanga?

Namun, adil jika Dira membuang saya kerana dusta yang mencemar hubungan kita. Kononnya saya hanya seorang pencinta kembara. Budaya, makanan dan ritma tempatan ialah perkara yang didamba. Buku dan saya tidak mungkin bersatu. Sesudah terbongkar semua rahsia, bukankah lengkap asbab untuk Dira membuang saya?

Benarlah. Sekali terhentak ke bumi yang dinamakan kepercayaan, tidak mampu dicantum semula sesempurna yang asal. Ditampal dan disambung sekalipun, tetap penuh kesan retak pengkhianatan. Biasan cahaya keraguan kekal membara walaupun malap.

Dira yang masih bertakhta di hati. Saya tidak mampu membuat Dira kembali meyakini saya. Cinta tidak bermakna tanpa rasa percaya itu. Adakah Dira berlembut hati menerima saya kembali ialah satu harapan yang mustahil? Mungkin harapan setinggi Gunung Kinabalu? Atau sedalam Jurang Mariana?

Saya telah berusaha menjejak ibu Dira sejak kali pertama Dira bercerita tentang dia kepada saya. Ya, saya tidak sanggup Dira terus membenci insan yang mengandungkan Dira sembilan bulan sepuluh hari. (Sebenarnya tujuh hari lagi genap sembilan bulan, ibu Dira gigih memberitahu saat dia melahirkan Dira lebih awal daripada jangkaan.)

Jauh saya mengembara mencari dia, Dira. Saya merentas hampir setiap pelosok Semenanjung sebelum menjelajah ke Borneo. Takdir Tuhan membawa saya bertemunya di pekan di titik hujung Borneo. Syukur atas bantuan rakan-rakan yang berkepakaran dalam teknologi mencari orang hilang.

Alhamdulillah, ibu Dira sihat sejahtera di sana. Dia membuka sebuah perpustakaan mini di desanya. Riang mendorong anak-anak desa itu membaca. Asalnya mereka buta huruf, kini sudah pandai membaca dan menulis. Pada mata ibu Dira, saya melihat sinar bahagia. Namun, tetap ada biasan derita hati seorang ibu yang merindui anak kandung yang ditinggalkan.

Ya, ibu Dira masih sendiri. Pustakawan yang Dira anggap melarikan ibu, sebenarnya hanya seorang sahabat yang tidak sanggup lagi melihat ibu Dira menderita emosi.

Ibu Dira bukan penderhaka cinta. Dia tidak mengkhianati ayah Dira seperti yang disangka selama ini. Ibu Dira tiada kudrat untuk terus bertahan kerana dipasung daripada cinta pertamanya yakni dunia buku. Angkara siapa? Mantan suaminya. Hakikat yang pahit, arwah ayah Dira yang menjadi asal punca. Pustakawan itu hanya pemangkin tindakannya.

Maafkan saya sekali lagi, Dira, kerana mengacau-bilaukan perasaan Dira sebegini rupa. Saya tidak mahu Dira terperangkap lagi dalam ilusi lama. Junjungan besar Nabi kita sendiri pernah bersabda akan pentingnya menelan yang pahit apabila namanya ialah kebenaran.

Dira sang juita sukma.

Menemui dan mengenali ibu Dira, saya akhirnya nampak dari mana datangnya kebaikan dan keindahan yang melimpah-ruah dalam diri Dira. Walaupun tiada di sisi untuk membesarkan Dira sejak sepuluh tahun yang lalu, sebenarnya dia mengiringi setiap langkah kehidupan Dira.

Melalui adik-beradiknya yang sentiasa menjenguk Dira, amanat seorang ibu disampaikan. Lauk-pauk kering enak tak terkata kegemaran Dira itu, Dira fikir siapakah yang menyediakannya? Bukan sekadar dibeli di pasar tani seperti yang sering diberitahu Mak Ngah atau Pak Su, Dira.

Saya mahu ambil kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan ibu Dira, selepas dia mengetahui segala-galanya. Ini pesanan verbatim, tidak ada yang saya ubah.

Dira,

Ibu minta maaf kerana meninggalkan kamu saat kamu tidak mampu memahami isi hati seorang isteri dan luluh jiwa seorang wanita. Saat itu, ibu sendiri masih muda dan tidak mampu mengelak daripada mengikut kata hati. Apabila sudah cukup matang untuk menyedari salah silap tindak-tanduk sendiri, ibu diikat rasa takut tidak terhingga untuk mengubah keadaan.

Andai kamu mampu, carilah ruang untuk memaafkan pembohongan anak muda yang menemui ibu ini. Dia amat memerlukan kamu, seperti manusia memerlukan udara untuk hidup.

Akhirnya, ibu mohon untuk kamu belajar bercinta dengan buku dan pembacaan. Buku tidak akan menipu, pembacaan tidak akan melukakan dan tulisan seorang pengarang hanya berpaksikan kesetiaan.

Kesayangan saya Dira.

Terima kasih andai Dira tegar menghayati isi surat hingga ke bait akhir ini. Tentang saya dengan buku dan membaca, besar harapan saya agar satu hari nanti, Dira akan mampu menerima. Buat masa ini, doa saya hanya satu. Semoga masih ada sisa rasa dalam hati Dira, untuk kembali menjadi ‘kita’.

Seorang bibliofil yang masih mencinta,

Imran.

Tesaurus

*Bibliofil: Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku (Kamus Dewan Edisi Keempat)