‘Ya Allah, kepada-Mu kami bergantung harap,’ mohonnya.

“Amboi nenek... Jah ada depan mata pun nenek tak sedar. Dahsyat sungguh. Nenek fikir apa?” soal si gadis bertudung bawal biru laut. Jarang neneknya yang bermulut becok itu termenung jauh sebegitu. Lincah tangannya mengangkat dua bekas talam empat segi yang sudah kosong dan terbiar dihurung semut.“Syukur... habis semuanya, nek? Esok kita tambah lagi ya.” Bibir manis itu mengulum senyum nipis.

“Tak payahlah, Jah!” pangkah Nek Asmah. Tegas kedengaran nada suaranya.

“Laaa... kenapa?”

Bungkam. Tiada sebutir patah perkataan pun terkeluar dari mulut Nek Asmah kecuali simbahan pandangan matanya yang redup. Namun begitu, tetap terasa panas membahang pada diri Khadejah. Cucunya yang berusia awal 18 tahun, bertubuh sederhana tinggi dan setiap kali tersenyum akan terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Semakin bertambah ayu rupanya yang bermata bulat, berkening tebal dan lebat itu.

“Kenapa pandang Jah macam ‘tu?” soal cucunya lagi.

Lantas, Khadejah yang semakin tidak sedap hati mulai duduk di sisi insan yang bersusah payah membesarkannya itu. Segera Nek Asmah menggamit tangan kanan cucunya. Dibelai-belai seketika tangan itu. Sedetik itu, dia menarik nafas panjang dan dilepasnya perlahan-lahan.

“Jah... kenapa ya, tak pernah jadi macam ni. Dah bertahun Jah. Dari zaman atok kamu masih hidup. Dari musim kamu main batu seremban sampailah musim kamu ber-FB ni. Sinilah tempat aku cari rezeki... Jah oiii!”

“Yalah nek... dulu pakai lampu gasolin. Sekarang dah guna lampu solar. Zaman dah berubah nek. Dah berteknologi tinggi. Zaman, ‘ada kau kisah. Aku pun tak kisah. Tapi... kalau boleh apa yang kau ada... aku mesti ada.’ Biarpun rembat rezeki orang. Tapi…nenek cakap pasal apa?” tanya Khadejah. Hingga herot petot bibirnya menyemarakkan hujah walaupun sebenarnya tidak dapat ditebak maksud kata-kata neneknya itu.

“Risau aku ni. Pasal hal semalamlah. Ni... ha, buatnya kamu niaga kejap lagi, mari pulak orang-orang tu. Tanya lagi benda yang sama. Tak ke haru, Jah?”

“Alaaa...nenek jangan risaulah! Tahulah Jah nak buat apa,” janji Khadejah sambil menepuk-nepuk tapak tangan tua itu yang masih lagi mengulit tangannya.

Nek Asmah menggeleng-geleng sambil merengus. Libang-libu hati tuanya yang sudah melebihi umur kewafatan Rasulullah itu. Semuanya gara-gara kelmarin. Saat didatangi dua orang pegawai yang berpakaian seragam. Bertudung hitam, berkemeja lengan panjang warna biru muda dan berseluar slack warna biru tua. Kelihatan anak mata mereka mengitari seluruh ruang kaki lima tempatnya mengais rezeki.

Sungguh dia berasa teramat hairan. Selama dia menjual nasi lemak dan karipap,tidak ada seorang hamba Allah pun yang menyibuk akan hal luar dalam alur hidupnya. Walaupun keuntungannya tidak mencecah ribuan ringgit, cukup untuk menghalang dia bergelar peminta sedekah di bumi Allah ini. Baginya, segala usaha ini hasil doa dan tawakal kepada Dia yang Agung. Selebihnya, kayuhlah selagi terdaya.

“Entahlah Jah. Ni... baru tambah buah jambu potong dengan dua jenis air. Kalau buatnya kau tambah nasi goreng, mahu bising sekampung mereka ni! Bukan setakat orang baju biru. Orang baju putih pun datang melawat,” bebel Nek Asmah sambil mengurut kedua-dua belah kepala lututnya.

“Okaylah tu nek. Baru glamor Jah,” seloroh cucunya lagi. “Alahhh nek! Entah-entah mereka pun tak ada surat beranak. Sibuk tanya surat beranak orang. Sibuk skodeng hal orang lain. Huh!” gerutu Khadejah tidak puas hati.

“Hah! ‘Tu yang nenek tak suka. Tak baik buruk sangka dengan orang lain, Jah. Tengok diri kita dulu. Dah ada ke surat beranaknya?” Nek Asmah menjeling tajam.

“Dah! Jom Jah hantar nenek balik.” Khadejah bangun dan menarik tangan Nek Asmah. Topik diputar sejauh yang boleh.

“Tak payah. Aku boleh balik sendiri. Bukan jauh sangat pun. Kau tu, pergi usahakan macam mana nak dapatkan surat beranak tu cepat!” ngomel Nek Asmah terdengkot-dengkot menuju ke arah rumah di seberang jalan berhadapan dengan gerai kecil mereka.

***

“Baik-baik bawa motor tu... Jah. Jangan kau merempit pulak...” pesan Nek Asmah sebaik cucunya mengenakan topi keledar. Nek Asmah dengan pesanan seperti kembar siam. Tak pernah lekang.

Khadejah membalas dengan kenyitan mata kirinya. Sah-sah Nek Asmah yang berdiri dua depa jaraknya dan rabun jauh tidak nampak kelakuannya itu. Sampul berwarna coklat di dalam raga motor dipandang. Sekali gus, dia menitipkan doa dalam hati agar segala urusannya dipermudahkan.

Berdiri tegak di hadapan pintu masuk pejabat Majlis Pembandaran Selayang, Khadejah menarik nafas panjang dan dihela perlahan-lahan. Sebaik pintu kaca itu ditolak dan serentak itu kaki kanannya melangkah masuk, dia terpempan.

“Kenapa susah sangat nak luluskan lesen saya ni tuan. Saya cuma mohon lesen penjaja saja. Bukannya lesen macam restoran mamak tepi jalan tu?” tempik wanita yang berblaus biru tua labuh paras lutut dan berseluar slack hitam itu.

Khadejah memasang telinga dan anak mata tidak lepas memandang adegan yang tak ingin dilihat dan didengar di hadapannya. Menggeleng beberapa kali sebelum mengambil langkah menghampiri dan menegur wanita itu. Namun teguran Khadejah dibalas dengan tempikan.

“Mak Cik Husna?”

“Kau buat apa di sini? Oh... nak skodeng aku ya? Tuan... tuan, ‘ni... dia ‘ni pun tak ada surat beranak! Saya jual goreng pisang aje. Dia ni jual lagi banyak. Segala ‘mak nenek’ makanan dijualnya. Kenapa tak saman dia?” Mak Cik Husna menggarang.

Melopong Khadejah seketika. Aik? Tiba-tiba dia disabitkan dalam drama tanpa pengarah ini. Beristighfar Khadejah di dalam hati. Dia melemparkan senyuman lembut ke arah Mak Cik Husna. Niat hati ingin menjawab dan mempertahankan diri tidak kesampaian sebaik sahaja angka gilirannya dipanggil.

Dia benar-benar bersyukur kerana urusannya sebentar tadi tidak banyak menghadapi masalah. Malah, pegawai yang bertugas itu berjanji untuk menyegerakan proses permohonannya itu. Nalurinya mensyukuri segala-galanya dan berterima kasih dengan limpahan kasih sayang daripada Nek Asmah. Tidak pernah sekali dia dihimpit kebosanan atau kesedihan setelah dia kehilangan ayah dan ibunya. Tidak pernah dilupakan, dalam bait-bait kata Nek Asmah yang sederhana itu, mengingatkannya ratusan kali, ribuan kali dan tak terhitung lagi akan kebesaran Ilahi. Akan rahmat yang dilimpahi-Nya.

‘Baik nek. Jah akan ingat semua tu. Nasihat nenek akan terus ada dalam doa dan semangat Jah.’