Namun, apa yang menon­jolkan kartunis berusia 67 tahun ini berbanding karyawan lain adalah sikap konsistennya dalam berkarya dengan memaparkan suasana kampung dan juga masyarakat majmuk di negara ini.

Bukan setakat di atas kertas, malah inspirasi itu juga pernah dipaparkan menerusi animasi televisyen dan juga pelbagai jenama barangan keperluan harian yang dekat di hati masyarakat Malaysia.

Terbaharu, kartun Lat yang bercirikan suasana kampung dalam komik Kampung Boy hasil karyanya buat pertama kali dijadikan penghias pada barangan bekas makanan jenama Tupperware.

Menurut Lat atau nama sebenarnya Mohamad Nor Khalid, inspirasi suasana kampung pada tahun 1950-an yang digambarkan dalam kartun-kartunnya itu masih relevan sehinggalah ke hari ini.

Malah, beliau yang telah melukis kartun sejak berusia 13 tahun berpandangan, pendekatan itu salah satu cara bagi mempromosikan nama serta identiti Malaysia kepada para pelancong asing.

“Macam dalam Kampung Boy yang saya lukis dan tulis, kalau orang di sini atau orang kampung yang baca, mereka akan kata tiada apa-apa pun yang menariknya dalam kartun-kartun saya itu.

“Memanglah macam itu. Kita dulu di kampung memang biasa mandi sungai dan sebagainya. Tetapi ia sebenarnya adalah bagi menunjukkan kepada para pelancong asing yang datang ke negara ini.

“Dulu kita senang nampak rumah-rumah kampung di kiri dan kanan jalan apabila balik ke kampung dengan kereta api. Ramai orang luar yang tanya, antaranya kenapa tiang rumah di kampung tinggi?

“Apabila orang luar atau para pelancong asing yang tanya soalan-soalan macam itu, maka dalam buku-buku komik saya ada jawapannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, selain mampu menarik perhatian orang luar yang ingin mengetahui gaya hidup masyarakat di kampung, apa yang dipaparkan itu juga boleh dijadikan rujukan akademik pada masa depan.

Lat yang pernah bekerja di akhbar New Strait Times menambah, setiap kartunis mewakili zaman di mana mereka membesar dan menimba pengalaman di sekeliling mereka.

Oleh itu ujarnya, para kartunis hari ini perlu peka dengan menyerap sebanyak mungkin elemen kehidupan yang dilalui dalam masyarakat bagi digambarkan dalam karya masing-masing.

“Di Malaysia memang ada kartunis generasi baharu yang mencerminkan suasana zaman sekarang. Kalau saya mahu berhubung dengan generasi sekarang saya kenalah pandai sesuaikan diri.

“Saya bercerita tentang tauladan yang boleh diambil daripada cerita-cerita lama. Orang yang lahir ketika zaman saya dulu, macam yang ada di kampung saya ramai yang sudah tiada lagi.

“Sekarang, kalau di kampung kebanyakan rumah kampung (tradisional) pun sudah tiada dan digantikan dengan rumah-rumah teres. Dulu banyak rumah panggung dengan tiangnya tinggi.

“Kita boleh berdiri di bawah alang-alang yang diletakkan barang seperti serampang dan galah. Itu di zaman saya, maka saya ceritakanlah. Ia bagi mereka yang rindukan nostalgia,” ujarnya.

Bercerita tentang evolusi kartun pada hari ini, Lat berharap agar lebih banyak karya tempatan dikembangkan kepada komik grafik novel agar lebih menarik perhatian pembaca.

Tambahnya, trend itu semakin berkembang pesat dan amat popular di negara-negara maju termasuk Jepun yang mana sekali gus mampu mengangkat mutu dan kerjaya kartunis.

“Macam-macam yang kita boleh buat daripada kartun seperti cerita-cerita bukan fiksyen, fiksyen dan sebagainya. Tetapi kita kena buat yang lain daripada orang lain dan ada identiti sendiri.

“Saya harap kita akan buat pula buku-buku dalam bentuk grafik novel yang penuh dengan warna. Peminat mahukan produk yang macam itu. Ia akan nampak lebih menarik untuk dibaca.

“Kalau mahu tahu sesebuah komik itu berharga ataupun tidak cuba tunjuk kepada orang di luar negara. Juga cuba alih bahasa kepada bahasa lain seperti Jepun atau Inggeris,” katanya.

Selain Tupperware, syarikat penerbangan AirAsia juga pernah menggunakan lakaran kartun Lat pada bahagian luar dua pesawatnya sebagai mengiktiraf keunikan suasana yang dipaparkan.

Kata Lat yang pernah menerima anugerah Hadiah Kebudayaan Asia di Fukuoka, Jepun pada tahun 2002, beliau akan terus mengetengahkan suasana kampung dalam karya-karya nukilannya.

Ini kerana katanya, suasana kampung banyak mencerminkan identiti serta jati diri terutama orang Melayu daripada sudut sosio dan budaya yang amat tinggi nilainya yang kini semakin terhakis oleh arus kemodenan.