Sayembara kali ini adalah lanjutan kejayaan penganjurannya dalam tiga musim lepas. Sejak mula dilancarkan pada 16 Ogos 2007, dengan pengumuman rasminya dibuat pada 10 Februari 2009, sayembara ini terus gah dengan mendapat sambutan memberangsangkan daripada kalangan penulis tanah air.

Meskipun genre ini baharu di negara kita, kerana penganjur menetapkan muatan sains dan teknologi sebagai tonggak utama karya, yang dilihat agak berat, penulis kelihatannya bersedia mengharungi cabaran tersebut.

Jika ditelusuri, penganjurannya pada musim pertama, sebanyak 22 manuskrip telah dihasilkan. Bilangan ini bagaimanapun agak berkurang pada musim kedua, iaitu hanya 13. Namun, ia menganjak semula pada musim ketiga, dengan 22 manuskrip diterima oleh pihak penganjur.

Jumlah terbanyak karya yang diajukan penulis kepada penganjur ialah pada musim keempat ini, iaitu 23 buah, yang menandakan sayembara ini terus mendapat perhatian serta pengarang semakin selesa berkarya dalam genre ini.

Agak berbeza, sayembara anjuran UTM - Kumpulan Utusan ini, selepas diumumkan pelancarannya, siri jelajah bengkel juga menyusul. Penganjur menyediakan sekurang-kurangnya lima tokoh penceramah meliputi pelbagai bidang kepakaran untuk membentangkan kertas kerja mereka kepada pengarang dan calon peserta.

Umumnya, sebanyak tujuh zon meliputi seluruh negara dikunjungi. Bengkel ini dilihat perlu memandangkan novel yang menggunakan muatan sains dan teknologi secara yang dikehendaki penganjur dapat diperjelaskan.

Selain itu, sesi penilaian panel hakim sayembara ini juga berlainan jika dibandingkan dengan beberapa sayembara yang ada. Penapisannya rapi dengan sebanyak empat pusingan bengkel penilaian dilangsungkan.

Panel amat berhati-hati. Ia sedemikian kerana novel fiksyen sains dan teknologi yang dimaksudkan bukan bersifat fantasi semata-mata. Ia bersandarkan teori, hujah keilmuan, masukan sains dan teknologinya, di samping teknik penggarapan sastera yang tidak boleh diabaikan sama sekali.

Banyak asas yang mencetuskan iltizam pihak penganjur dalam sayembara ini, antaranya yang utama untuk memacu minat masyarakat khasnya generasi baru kepada bidang sains dan teknologi, yang dilihat semakin penting dalam kehidupan manusia masa kini dan zaman akan datang.

Ertinya, kita tidak mampu untuk ketinggalan dalam bidang yang pesat berkembang serta menuntut inovasi dan penyelidikan yang berterusan. Sumbangan besar sayembara sehingga ini sudah jelas kelihatan.

Banyak novel yang diterbitkan disenangi dan diterima masyarakat pembaca. Pada sayembara musim pertama, novel Kala Yuda oleh Amer Hamzah L. Kadir, yang merupakan pemenang pertama diterbitkan, berserta novel Kronikel Bumi (Nurul Izwazi Mohd. Nor), Tawanan Komander Caucasus (Ruzaini Yahya), Petaka Bakteria (Mohd Kasim Mahmud) dan novel Rawan (Hafizah Iszahanid).

Tawanan Komander Caucasus kemudiannya dipilih Kementerian Pendidikan untuk digunakan sebagai teks Komponen Kesusasteraan Melayu dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Sekolah Menengah atau KOMSAS.

Pada sayembara musim kedua, novel Equilibria oleh Sri Rahayu Mohd Yusop, yang merupakan pemenang kedua, tiada pemenang pertama menemui pembaca. Mengiringinya, novel Detik oleh Sh. Mohd. Saifudden Sh. Mohd (Amir Husaini), Bekamorfosis (Hj. Jali Hj. Kenoi), Di Sebalik Dinara (Noor Aziza Sulaiman), ID (Amer Hmzah L. Kadir), dan Timpani (Faridah Abdul Hamid).

Novel Di Sebalik Dinara sebagai teks KOMSAS mengiringi novel Tawanan Komander Caucasus. Ini merupakan pencapaian cemerlang sayembara ini. Graf kecemerlangan ini direntetkan lagi dengan pemenang musim ketiga yang terdiri daripada tempat pertama, novel berjudul Transgenik Sifar karya Sri Rahayu Mohd Yusop, diikuti Leksikon Ledang (Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti), Klon (Idris), Ajal (Ruhaini Matdarin), Kronikal Etanol (Hafizul Osman), Perang Mikrob (Wan Salmah Wan Hassan), dan Puranakila (Saadiah Ibrahim).

Dengan terbitnya karya pemenang musim ketiga ini, bermakna sudah 18 novel fiksyen sains dan teknologi telah menjengah pembaca. Pencapaian ini sesungguhnya suatu kebanggaan kerana bukan mudah dalam waktu relatif terbatas sejumlah besar karya bertema ini berjaya diterbitkan.

Sesuatu yang mengujakan juga, dengan 23 manuskrip diterima pada sayembara musim keempat ini, apakah akan ada pemenang utama? Mungkinkah sejarah musim kedua akan berulang apabila tiada karya diperakukan sebagai pemenang yang menggondol RM15,000?

Sayembara musim ini menawarkan Hadiah Pertama RM15,000, Kedua RM10,000 diikuti Ketiga RM5,000, manakala RM 1,000 setiap satu untuk tiga Hadiah Penghargaan. Atau, mungkinkah akan ada penulis yang memenangi lebih daripada satu hadiah?

Ini sedemikian kerana sayembara kali ini menemukan karya-karya yang diajukan oleh pengarang yang sama, beberapa judul sekali gus. Apa sekalipun, yang menjadi pilihan juri tetaplah karya berkualiti, dengan garapan cemerlang, muatan subjek yang menepati garis keperluan, dan pengisian banyak nilai yang diperlukan dalam upaya kita membentuk generasi cemerlang serta asas-asas pembinaan masyarakat dan bangsa yang berdaya maju.

Apa yang sempat diperhatikan ialah muatan subjek yakni pengisian sains dan teknologi dalam karya-karya kali ini telah jauh ke hadapan. Pengarang memperlihatkan kemampuan yang mengagumkan dalam upaya mencari, menyelidik, mengumpul bahan selanjutnya mencerakinkannya dalam ramuan karya kreatif yang meyakinkan.

Banyak idea baharu yang diketengahkan. Sekalipun ruang spekulatif dilihat sedikit jauh dengan jarak masa ratusan tahun lagi, idea tetap relevan dengan keadaan semasa. Permasalahan dan konflik manusia yang ditonjolkan melalui watak-watak dilihat wajar disorot serta dihujahkan.

Cerita sangat bervariasi aspek kemanusiaan yang tinggi. Bahasa pengarang berjaya diseimbangkan dengan muatan bahan. Keupayaan ini juga menakjubkan. Estetik pula bagaimanapun tidak diabaikan.

Pendek kata, pembaca tidak perlu meragui kemampuan pengarang kita dalam menggarap karya fiksyen genre ini sekali pun ia masih baharu kerana kita percaya ia, bahkan setanding karya-karya genre sama dari Barat sekali pun.

Sebagai kesimpulan, apa yang dapat dikatakan, (1) kejayaan menganjurkan sayembara bagi edisi musim keempat ini merupakan mercu tanda terbaru pencapaian UTM - Kumpulan Utusan, (2) novel pemenang kali ini lebih segar juga sensasi, sajian yang lebih mengagumkan.

Selain itu, (3) juga ada peningkatan ketara dari segi pemahaman pengarang akan konsep dan kehendak genre, (4) teknik persembahan atau penukangan kreatif yang membanggakan, dan (5) teks yang sesuai daripada beberapa aspek untuk diterjemahkan.