Potret Ikon jutawan internet Dr Irfan Khairi tersenyum di sudut ruang tamu, seakan menghadiahkan tahniah kepadanya. Biarpun Kina belum bersua muka lagi dengannya, namun video ceramah, keratan akhbar dan artikel ‘mentor mayanya’ itu sudah cukup menjadi pembakar jamung usahanya.

Beban malu suatu ketika dahulu tika bersapa dengan bekas rakan sekolah yang  memandu kenderaan mewah, sesekali menjenguk graha hatinya. Lebih tersipu lagi apabila mereka yang ditemui dahulunya hanya penghuni kelas belakang yang sedikitpun cikgu tak pandang.Tapi kini berkerjaya dan jadi orang kenamaan.

Entah di mana silapnya.Nak kata tak belajar bersungguh, dia sampai ke menara gading.Malah keluar dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi), bukan calang-calang kelulusan.Sedangkan mereka hanyalah lepasan kolej biasa, atau pusat-pusat kemahiran.

Kina merusuh sendiri.Mahu sahaja komputer riba di depannya dihempuk ke dinding kerana tidak memberi tuah kepada bintangnya. Walaupun komputer itulah yang telah membantunya membuat assignment dan tugasan pensyarah, tapi hasilnya  dia masih tetap jadi penganggur.

"Tugasan awak sangat memuaskan, Kerja-kerja praktikal tentang spesies lumut dan hidupan akuatik di Tasik Chini amat bagus,” Doktor Zahar, pensyarah Bioteknologinya memuji, lantas membuat hidungnya yang memang leper itu kembang sejenak.

 Ketika itu mereka ditugaskan selama seminggu untuk membuat kajian hidupan air di sekitar Pahang.Tasik Chini menjadi subjek kajian dengan beberapa speseis lumut dan rumpair yang masih belum dikenalpasti identiti keluarganya.

 Memang, Kina gemar membuat kajian lapangan berbanding kerja- kerja makmal.Dan hasil kajian serta penyelidikannya acapkali mendapat pujian pensyarah.Malah ketika Latihan Praktikal di Mardi, ketua jabatannya pernah menyarankan agar dia melamar jawatan di agensi tersebut selepas tamat pengajian.

Namun semua itu seakan elegi sepi yang menyapa dan berlalu pergi. Lantas meninggalkan sisa-sisa kesedihan dan api kemarahan. Bukan sekali, malah berkali-kali dia melamar pekerjaan melalui Jobstreet.com, temuduga terbuka, hantar resume ke serata destinasi, mendaftar dengan Jabatan Sumber Manusia dan sebagainya. Namun panggilan untuk menjawat apa-apa kerjaya yang berkaitan tidak kunjung tiba.

Perasaan jengkel dan kesal tidak dapat dielakkan.Dahulu ketika ditawarkan kursus seumpama ini, dia digula-gulakan dengan peluang pekerjaan yang luas dalam bidang pertanian dan biotek.Namun apabila pucuk kepemimpinan negara berpindah, dasar juga berubah.

Kerjaya dalam bidang agrobotani dan biotek kian terpinggir dan dianaktirikan, Secara  horizontalnya, peluang membina tapak dalam bidang berkaitan juga turut menguncup. Pernah juga dia menelefon beberapa orang yang dikenali di beberapa institusi untuk merisik tempat, namun semua menyatakan tiada jawatan kosong ketika itu.

Dan  yang paling mendukacitakan ialah apabila mengetahui jawatan yang dikatakan itu tiba-tiba diisi oleh mereka yang ada talian keluarga dengan pegawai di agensi berkenaan. Aduh, sampai bila  harus berakhirnya unsur kronisme dan diskriminasi!

Sedikit demi sedikit perasaan tidak puas hati menyelinap ke dalam diri.Rasa dendam ada juga sesekali.Tapi dia tidak pasti untuk siapa perasaan itu.Nak kata salah kerajaan, mereka telah bina prasarana kelas pertama hingga diake puncak menara.Nak salahkan keluarga, mereka telah membantu sandang pangan sekadar termampu, malah membelikan kereta untuk kemudahannya ulang alik dari kampus ke dewan kuliah.

“Tak apalah Kina, masing-masing ada rezeki yang telah Tuhan tetapkan, teruskan usaha jangan putus asa,” pujuk  ibunya ketika sempat berdiskusi. Kina akur.Mungkin ada hikmah di sebalik kegagalannya mencari pekerjaan walau sudah dua tahun menjadi siswazah anggur.

PERNIAGAAN ONLINE

Benar seperti kata ibunya, walaupun dia tiada rezeki di alam pekerjaan, namun jodohnya sampai ketika rakan lain masih mencari teman pilihan. Ini pun rezeki juga kerana di saat dia menimang cahaya mata pertama, ramai kalangan rakannya masih belum berpunya. Di saat dia bergembira, bermain dan bergelak ketawa dengan anak-anak memanjat usia, mereka masih kesepian tak tentu hala.

“Tahniah Kina dapat babygirl,” Nadia, rakan sekelasnya dahulu menghulur ucapan. Nazlia, Emilya, Nazir, dan Damia juga turut serta dalam rombongan ziarah itu. Masing-masing pula membawa hadiah yang bukan kecil dan murah nilainya.

“Terima kasih, semua,” Kina ukir senyum kesyukuran. Dia jelling juga babywalker, sumbangan Nadia. Dia kini menguruskan syarikat berasaskan minyak milik keluarga.Tentu mahal harganya, tak terbeli olehku, detik hati kecil Kina.

Rata-rata mereka sudah punya kerja sendiri.Emilya menjadi eksekutif di Petronas, Kerteh.Sementara Nazlia pula sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah lanjutan.Dia memang memasang angan untuk menjadi pensyarah.

Cuma Nazir yang sering bertukar kerja. Tak apalah orang lelaki,memang laris di pasaran kerja. Boleh demand dan membuat pilihan. Kadang dua tiga tawaran dapat dalam satu masa.

Sesekali terfikir juga bagaimana dia hendak membayar kembali sumbangan rakan-rakan apabiila tiba masa mereka pula berkahwin  dan bercahaya mata nanti. Tersentuh juga hati kecilnya seakan disapa semilir ngilu.

Tapi bila teringat anugerah Tuhan, dia kembali bersyukur kerana walaupun suaminya tidaklah bergaji mewah, dan dia pula tiada sebarang pekerjaan, namun kehadiran Asyifa amat bermakna.Dialah kini penawar luka dan dukanya, teman tawa dan tangisnya.

Selepas habis pantang, dia ambil prakarsa menyemak semula bahan-bahan kajiannya sewaktu di universiti dahulu.Minat mahu belajar masih ada tetapi, sudah tentu jadi masalah pula kepada keluarga. Ketika Asyifa masih belum boleh meragam ini, adalah masa untuk dia melayari facebook dan media sosial lain.

Di situlah dia mula menelusuri kejayaan Dr Irfan Khairi.Perlahan-lahan dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan secara online.Dia layari laman web yang menyediakan direktori pembekal barang-barang.Dia mula membuat promosi di dinding facebooknya dengan barangan ksmetik mengusi pasaran.

Usaha dan komitmen ayahnya yang berjaja mee bandung dan chiken chop selepas masa pejabat dahulu menjadi inspirasinya.Masih ingat lagi dia ketika musim tengkujuh melanda Pantai Timur, seringkali juga melihat tubuh tua ayahnya dibasahi hujan ketika pulang dari warung kecil di sebelah surau. Tetiba pula rasa berdosa bersimpuh di teluk hatinya kerana jarang membantu ketika ayahnya bersungguh menyuruh..

Dia teliti kejayaan usahawan terkenal Datuk Alif yang kini mapan dengan tagelinenya ‘terlajak laris”.Juga bagaimana Dato Seri Vida bisa jadi sehebat itu dan ramai lagi personaliti berjaya dijejaki latar asalnya.

Masya-Allah, semua mereka bermula dari bawah.Merangkak, bertatih, berjalan dan jatuh.Dipijak, dihina dan dibuli sudah jadi makanan saban hari.Namun akhirnya mereka bangkit dan dalam waktu yang singkat sahaja mampu mandiri dan membina empayar niaga sendiri.

Kronologi kejayaan dan cabaran mereka ini menjadi batu kilir yang menajamkan senjata ampuhnya, semangat kentalnya. Dia memanjat bangunan dua tingkat TEKUN yang selalu dicanang sebagai penyumbang dana bagi peniaga  baru.

 Alhamdulillah dapat juga dia memulakan perniagaan dengan menyewa sebuah ruang kecil di Pusat Perniagaan Cassa Limbung, milik majlis penguasa tempatan yang menawarkan kadar sewa mampu milik.

Dengan bantuan kakaknya, Tiea, mereka memulakan perniagaan butik kecil berkonsepkan vendor dan online.Namun kerana modal berbayar yang ciput, mereka belum mampu untuk mengembangkan perniagaannya lagi setakat ini.

Saban hari kena update status.Barang baharu kena promosi selalu, letak harga dan peraga yang sesuai dengan potongan dan fesyen kontemporari.Banyak komen berupa kata-kata perangsang, tempahan dan soalan dikemukakan. Tidak kurang juga yang memberi reaksi negatif..

Sebagai pengusaha muda, mereka terpaksa bergantung kepada vendor untuk membekalkan bahan jualan. Untung yang diperolehi diagih sama rata untuk survival kedua pihak. Dengan stail vendor ini, peniaga tidak perlu keluar modal.Mereka hanya memasarkan barangan vendor sahaja.

Setiap vendor dikenakan sejumlah bayaran oleh peniaga. Bayaran itulah yang boleh menampung perbelanjaan, api, air, sewa kedai dan pekerja. Jika ada lebihan itulah gaji Kina.

Namun banyak juga risiko dan halangan yang terpaksa ditempuh sepanjang menjalankan perniagaan secara online dan sistem vendor ini.Ada ketikanya vendor tidak berpuas hati dengan hasil jualan bulanan. Ada yang tarik diri selepas sebulan dua  letak barang. Terpaksalah Kina mencari vendor lain dan membuat pelbagai inovasi untuk mengekalkan jualan bulanan setiap vendor.

“Perniagaan ini memerlukan kepakaran dalam bidang  pemasaran,” kata Encik Khairul, pegawai Tekun ketika ditemuinya. Sebagai bekas pelajar aliran Sains Tulen, memang Kina agak buta bahagian ini.Sebab itulah barangkali perniagaanku tak jalan, detik hatinya dengan mendung menaungi papan wajahnya.

“Malangnya kami tidak menyediakan kepakaran dalam bidang itu.”Jawapan itu menambah kebekuan minda Kina.Namun itu tidak menjadikan itu sebagai pemutus semangat. Pinjaman yang diperolehi akan digunakan  bagi meningkatkan jaringan perniagaan mayanya sedikit demi sedikit.

KOLABORASI

‘Kami mencari vendor baru untuk pelbagai barangan kosmetik.’Status terkinitular di papan papar facebook TieQina, menarik perhatianseorang pengguna bernama Laila Sari. Dia menjadi orang pertama like dan memberi komen.

“Saya ingin berbincang dengan sis.’catatan diruangan komen di bawah status Kina. Dia tergerak untuk menghubungi pemilik facebook tersebut. Seperti biasa Kina dan Tiea sentiasa membuka pintu untuk rakan kongsi dan vendor yang berminat..

“Begini,  saya memang hendak berniaga, tapi masalahnya saya tak ada barangan untuk dijual.”  Tiea dan Kina berpandangan, ketika Laila mengunjungi mereka.Macam mana nak jadi vendor kalau tiada barang?Barangkali itu yang berdetik di hati mereka berdua.

“Begini, kita ni memang senasib,” Laila memecah kepakuman.“Saya ni lulusan Diploma Perniagaan UiTM, tapi tak nak kerja dengan orang. Saya suka berdikari.Macam mana kalau kita gabungkan kepakaran kita,” katanya lagi.Semacam rasa kesyukuran berpuput di hati Kina dan Tiea yang selama ini memang memerlukan seorang perancang pemasaran.

Namun dalam situasi sekarang, kaedah pemasaran juga kena berubah mengikut suasana dan pelanggan.Dahulu mungkin perkara asas utnuk memulakan perniagaan ialah modal, pelanggan dan lokasi.Namun sekarang, perkara ketiga itu sudah tidak penting.Orang boleh berniaga di mana sahaja hatta di alam maya.

Setelah perbincangan lanjut diadakan beberapa kali, kini gandingan Tie, Kina dan Laila mula mengorak langkah membina tranformasi.Modal daripada TEKUN, nasihat Encik Khairul dan kombinasi semangat jitu tiga wanita menjadi bekalan ampuh.

Blog TieQina, Instagram, twitter dan facebook mereka semakin mendapat tumpuan netizen. Saban hari ada sahaja followers dan rakan baharu yang like dan memberi komen. Saban dua jam akan ada status baharu yang mereka upload dalam semua aplikasi sosial.            

Barang baharu akan dikemaskini, setiap ketika dengan paparan harga dan peraga yang sesuai dengan trend kontemporari. Ianya menjadi lebih mudah apabila  sinergi itu telah dikolaborasikan dengan ilmu pemasaran secara konvensional Laila dan kemahiran IT sedia ada.

“Wah, hari ini dah masuk followers yang ke 20K!” jerit Kina sambil membuka aplikasi Instagram di telefonnya.Tiea merapatkan tubuh kearah adiknya yang lebih sasa berbandingnya itu.Followers itu penting kerana lagi ramai bermakna produk mereka dilihat oleh ramai pelayar. Dengan itu mereka telah membuat promosi ke serata dunia.

Kini, mereka sudah jarang keluar membuat jualan langsung dengan pelanggan, sebaliknya hanya berurusan dalam talian atau laman sosial sahaja.Mutakhir  Laila sedang dalam usaha membangunkan laman web sendiri dengan kadar murah yang mereka mampu.Bermula dengan Tripod dan wordpress.com yang menyediakan tutorial secara percuma, mereka mengembangkan usaha.

“Alhamdulillah, jualan bulan ini mula menunjukkan peningkatan positif untuk bulan ketiga berturut-turut,” kata Tiea yang diberi tugas menguruskan hal-hal akaun dan kewangan syarikat mereka.Dia kena beri laporan kepada Kina yang menjadi tulang belakang utama perniagaan mereka.Hendak kata CEO, rasa malu pula mengaku, belum tiba masa agaknya kot.

Kina dan Laila menangkat tangan dan menyapu ke muka, sambil lafaz Alhamdulillah terletus dari celah bibir mereka. Kina sudah lali akan sindiran dan rasa iri hati terhadap rakan-rakannya yang terlebih awal mencipta manis kehidupan.Sebenarnya rasa isi itulah yang telah menjadi salah satu sebab kejayaannya kini.

Barangan yang mula melimpah dengan kepercayaan vendor juga bertambah, membuatkan premis kecil mereka itu sesak dengan barangan tekstil dan kosmetik.Dalam tempuh setahun jualan mereka mencanak dengan memberangsangkan.Kombinasi pemasaran yang cekap dan penggunaan media sosial menjadi kunci kejayaan.

Saban hari mereka akan menghantar barang pesanan pelanggan dari seluruh negara dengan pos laju. Ada juga perkhidmatan COD disediakan untuk pelanggan berdekatan.Strategi sekarang pelanggan tidak perlu lagi berkunjung ke premis, cukup dengan sekali panggilan atau pesanan di laman sosial sahaja.

Kina dan Tiea semakin sibuk dan tak menang tangan melayan pelanggan. Yang datang melihat secara walk-in, yang menyambut aplikasi whatsap dan panggilan telefon sama rancak memenuhi diari butik. Kini mereka merancang untuk mencari premis baharu bagi cawangan kedua.

“Hello, assalamualaikum,” desis suara yang dikenali hinggap di cuping telinga Kina. Dia merapatkan telefon bimbitnya.Ada aura riang terpapar di rona wajahnya.

“Betul ke Encik Khairul, pinjaman tambahan kami diuluskan?Oh, terima kasih, terima kasih En Khairul!”

Impian untuk melamar premis baharu di Pusat Perniagaan Bandar Baharu Putra  berbalam di paparan lensa mindanya. Dia melihat Asyifa, yang sedang senyum dalam tidurnya, lambang perjuangan kasih sayang yang datang awal.

Kina refleksi bayangan rakan sekolahnya yang bermobil besar menjalar sambil seakan mencabar.Dia lihat semuanya dengan syukur dan sedar. Dan dia tidak pernah rasa kecewa walaupun akan menjadi siswazah butik sampai bila-bila.