Memancar sinar bersyukur mekar

Usia beredar gigih ikhtiar

Di bibir mengukir tahmid berzikir

Bertasbih bertakbir ikhlas dizahir

Hindari sikap riak ghurur takbur

Dengki irihati ujub sum’ah

Biar diserlah sikap saksama

Berkasih sayang benar amanah

Biar lancar berperang di medan

Hasutan tumbang nafsu 
bergelimpang

Di kamar hati kembali tenang

Rohani jasmani berhidang seimbang

Solat sunat di pagi Aidilfitri

Zakat fitrah segera diserah

Kemaafan ikhlas dizahir sudah

Bersama jiran menyulam muhibbah

Erat sepakat perpaduan bercambah

Menyusup kesayuan bermukim di hati

Mengenang yang dikasihi lama pergi

Hanya mampu ungkapan di bibir

Lafazkan ayat-ayat suci al-Quran

Muhasabah terpatri istiqamah sejati

Bernyawa pasti menemui mati

NOOR IZAM SAMIN

Merlimau, Melaka