Sudah putus kata sepakat. Kata mereka, sepakat membawa berkat. Semua ahli yang datang entah dari mana, katanya telah sebulat suara. Semua induk baka mesti jadi nakhoda. Agar anak tunas tidak tumbuh merata, matlamat menyeberang samudera tuntas berjaya. Itu resolusi EGM mereka.

Ada kerabat, membantah dan menyalur nasihat. Namun kata sang ketua persis keramat. Katanya itu aspirasi akar umbi, semua kena ikut kena patuhi. Tapi undi hanya segelintir yang membuang, kebanyakan marhaen tidak pula turut diundang.

Mahu tidak mahu rakyat banyak hanya mengikut. Bimbang nanti dianggap derhaka kalau tak turut. Demi sebuah matlamat yang telah diniatkan, boleh sahaja cara menghalalkan. Chengal dabik dada kerana muslihatnya telah diterima. Anak-anak rimba patuh keputusannya. Walau dilindung dengan pungutan suara.

Anak buah Merbau, Pulai, Mahagoni malah Beringin dan Mempari yang baru kenal dunia jadi pening. Mereka tidak faham kenapa masing-masing saling menuding. Sedangkan kapal yang besar  berlayar tenang di lautan. Kenapa perlu ada proksi gantian?  

Hari ini Mahagoni, Merbau, Akasia, Cengal dan Pulai  naik pangkat. Panitia kepimpinan telah beri mandat. Mereka dijemput sama naik kapal junta pakatan. Kapal yang bakal membawa semua warga jelata. Warga rimba yang telah disangkutkan gula-gula di pundaknya.

Mahagoni, walaupun  telah berusia, tetap gah dengan jawatan baharunya. Semua orang memang kenal dia berwibawa. Banyak pengalaman dan jasanya. Dalam barisan bayangan junta itu, dia tetap nombor satu walaupun tiada sekutu. Deretan jasa dan sumbangannya selama ini, terus dijadikan bukti, bahawa dia masih punyai pengaruh tegar.

Untuk menumbangkan jenggala besar yang dia pernah mengemudinya, bukanlah susah pada akalnya. Ini kerana dia tahu selok-belok jenggala, mana lembah mana berpaya. Yang berkuasa hanya juragannya. Kalau cabang  kepercayaan dapat menambat batang dan dahannya, nescaya mudah dialihkan julai pucuknya ke lain hala.

Tugasnya seakan mudah apabila Cengal yang dahulu jadi seteru kini bersatu. Malah kata-katanya kian lancang bergincu bermadu. Banyak janji yang diucapkan, banyak dogma yang telah diterbalikkan. Semuanya seakan mengikut kemahuan Mahagoni selaku proksi ketua pakatan. Baginya rumpun yang ada tetap hina walau siapapun penguasanya, selagi dirinya belum menjadi raja.

Semua orang tahu Cengal sangat ekstrim dengan legasinya. Gugusan pulau yang ditawannya semua ditumbuhi dengan baka spesiesnya. Kalau boleh anak-anak Beringin mahupun Akasia mahu dihambatnya. Tetapi mulutnya bertanam tebu bila berdepan sekutu, hingga semua terlarut dalam mainan kotor berdebu.

Akasia dan Pulai seperti selalu akan berjuang habis-habisan. Arang yang terconteng dahulu telah dilupakan. Segala hajat silam semua sudah dikafankan. Walaupun dahulu Mahagoni pernah menganiaya dengan membuangnya dari tanah rata. Demi perjuangan menentang kebatilan yang mereka katakan, lautan api sanggup direnang. Badai songsang bukan penghalang.

Pulai satu-satunya pejuang mewarisi serikandi, tidak mengalah walau sering diuji. Ada kalanya terperosok dalam perangkap sendiri. Maklumlah, dia bukan dilatih menjadi seorang pejuang. Jiwanya lembut bukan kepalang. Namun dek kerana dendam dan maruah yang hilang, semuanya jadi lintang-pukang.

Dalam kelompok itu kelihatan Merbau  malang sekali. Dia antara pohon yang menjadi pasak bumi paling layak mengganti penguasa lahan jenggala yang subur ini.  Batangnya keras dan usianya juga betah bertahan lama. Namun kerana kurang bersetuju dengan Jati, penguasa yang lebih wibawa, dirinya kini kian dilupa.

Dengan linangan air mata terpaksa pula turun istana. Lalu menganjur usaha, menumbuhkan ladang baharu dengan tenaga muda. Namun masih kelihatan goyah arah dan tuju, ke mana destinasi hendak dihala peluru. Masakan bisa meredah hutan rimba, jika kroni kurang tenaga. 

DUA

Tidak berapa lama lagi akan tiba  masa warga jenggala memberi mandat semula. Mereka akan memilih mana-mana rumpun paling rimbun untuk bernaung, untuk mereka mengaut untung. Dan semua pemuka rumpun telah menyiapkan segala formula, dengan segala bala tentera dari jenis apa sahaja.

Penguasa jenggala awal-awal lagi bersiap siaga, maklumlah mereka yang mempunyai kuasa, mudah sahaja mengatur neraca. Memang itulah kebiasaaannya, tidak bersalahan dengan apa-apa, sudah tradisi dan kelebihan bagi siapa yang berkuasa. Mahagoni telah dapat mempengaruhi pohonan lain membentuk pakatan. Ini penting kerana usaha menjatuhkan koloni Jati bukan mudah tanpa ada strategi dan siasah.

Namun usaha mereka jadi sedikit  sukar. Ini angkara rumpun Beringin yang dahulunya sebulu telahpun bertukar. Mereka tidak lagi patuh kepada Cengal dan Mahagoni, katanya mereka berdua ada agenda tersembunyi. Mereka tidak jujur pada ideologi dan janji yang menghormati hak asasi.  Malah sebahagian tindakan hanya memarak api benci.

Beringin ini ramai juga pengikut ekstremnya. Flora di banjaran Timur lahan memihak kepada mereka. Pengaruhnya kuat terutama kepada tunas-tunas muda. Sebilangan besar generasi Merbau, Mahagoni sendiri. malah tunas yang belum ada rumpun condong sebelah sini. Percanggahan pendapat antara rumpun menjadikan peluang untuk menang semakin kurang.

Beringin sudah putus kata untuk tidak bersemenda. Apatah lagi kini dirinya juga sudah terbahagi dua. Ada talam bermuka-muka, walaupun dahulunya seiya sekata. Rupanya munafik juga sifat ahli-ahlinya. Sekurang-kurangnya lumpuh juga satu dua cabang pemuda, yang diharap jadi pemacu senjata. Beringin sudah tidak mahu percaya kepada sesiapa.

“Kita sanggup berkongsi kuasa dengan rumpun flora yang ada,” ketua Cengal seperti biasa, mencanang kata tidak dikota. Segala bicara hanya manis di lidah, tetapi tidak dilaksana hingga sudah. Ironinya,  ada pohonan asli, mula termakan segala janji  tidak sedar diri selalu  kena buli. Memang Cengal sudah terkenal egois, kerana didominasi para ekonomis. 

“Itu baja, saluran air dan pembalak tidak akan jadi masalah lagi. Kita akan pastikan semua diberi percuma,” ucapan Cengal merbara sekali. Rakan kongsi sama-sama berseri, sama bertepuk sama menyanyi.

Beringin pandang sebelah mata. Kata Cengal semuanya dusta. Pernah dahulu mereka bersama, mahu berpamit mendiami tanah bugar jenggala. Namun semua rencana membawa bahana. Bukan sahaja rancangan musnah belaka, malah hampir pula tergadai agama.

“Kami tidak akan bersama lagi, biarlah kami sendiri. Dari hidup bercermin bangkai, kami rela bertanam sendiri!” itu kata muktamad Ketua Beringin, untuk bersama lagi mereka tak ingin. Tinggallah Cengal, kelompok Akasia dan rumpun Mahagoni membina dogma di atas mimpi yang berbeza.  

Keadaan pakatan kian gawat, semua tak tahu apa nak buat. Akibat masing-masing besar kepala dan tidak sepakat. Masing-masing ada berlainan niat. 

TIGA

Rumpun pemerintahan telah dibubarkan. Busut utama yang menjadi semacam pentas untuk mengumumkan sayembara jadi tumpuan. Kemuning yang dilantik sebagai pengurus pemilihan memalu gong permulaan. Semua flora dan fauna bersiap siaga. Agenda besar lima tahun sekali akan bermula.

Bermacam poster dan gegantung di mana-mana. Masing-masing rumpun dan pakatan membina manifesto. Keadaan jenggala subur itu makin meriah dan gah. Sementara penghuni jajahan pula semakin ghairah. Semua seakan tidak sabar untuk memangkah.   

Saat pemilihan ketua jajahan Jenggala bermula. Semua juak keras bekerja. Siang malam tiada mengira, makan minum juga kadang tidak terjaga. Asal sahaja dapat berbakti kepada rumpunnya, mereka sanggup buat apa sahaja.

Di sebelah sini, koloni mantan pemerintah agak sepi. Tiada hingar macam pasar, tetapi bekerja penuh sedar. Petugas Jati dan rakan sealiran bertungkus-lumus jalankan peranan. Semua wakil jangan sampai ketinggalan.

Dari lembah mahupun pergunungan, semua diangkut diberi bantuan. Panitia logistik paling berperanan untuk membawa ke tempat pengundian. Namun  semua berjalan aman, tanpa ada sebarang bangkitan. Tiba waktu untuk berjeda, mereka berhenti seketika.

Ingat kepada Yang Maha Esa.

Ada juga suatu ketika anak-anak Mempari sukar pergi, lalu dipanggil Jati yang berkapasiti. Dengan tangannya diangkat pergi. Tak kira walau Jati pemimpin tinggi, untuk pacal rela ia mencemar duli.    Begitulah usul mendepani cara. Tidak mengira apa pangkatnya, sama merasa sama bekerja. 

Di sebelah sana demikian juga. Kerja sama pelbagai warna, riuh-rendah bunyinya suara. Tidak seperti Jati, kunci mulut  tapi tangan ligat menari. Dengan helah, masing-masing tidak mahu mengalah. Jika boleh merekalah mahu jadi juara, hilang semangat bekerjasama.    

Masakan tidak, kerana hati bukan  sekehendak. Semua rumpun mempunyai hasrat, mahu menakluk pimpinan pusat. Walau sudah buat deklarasi, tapi musim mengundi masing-masing tikam curi. Ada pula yang buat curang, sama tempat mereka berperang. Huh!

Cengal memberi arahan kepada anak pakatan supaya beberapa lembah jangan ditanam. Itu daerah mereka sudah cengkam. Sedangkan lewat perjanjian asal ada antara kawasan proksi lain mesti kekal. Pulai dan Akasia pula berkeras mahukan Beringin menjadi rakan. 

Itu yang menyebabkan Mahagoni dan Merbau sakit kepala, semua memiliki manifesto berbeza. Beberapa kumpulan anak muda mula ambil langkah. Ada antaranya yang telah berpaling tadah. Gara-gara semua ketua rumpun ada kuasa, hinggakan tidak diketahui siapa paling wibawa.

Seluruh lahan jenggala riuh buat seketika. Bunyi keriut batang dan dahan sasa mengisi suasana. Proses pemilihan ketua jenggala dan rumpun mana yang bakal berkuasa menjadi isu utama. Agaknya kalau ada pemberita, sudah pasti jadi paparan utama.
Usai masa yang dibenarkan, pihak penyelaras protokol mengeluar kenyataan.   Deklarasi keputusan pun dikeluarkan untuk tatapan.

EMPAT

Begitulah kehendaknya. Bukan sahaja-sahaja. Kehendak yang sepatutnya berlaku dalam keadaan haru-biru itu. Bukan senang mahu mengemudi jenggala yang rencam ini. Jenggala yang telah sekian lama bersemi. Bukan main-main mahu dikemudi.

Memang Jati sudah disahkan akan berjaya, kerana usaha dan segala kerja ikhlasnya. Semua yang dilakukan jelas dan nyata, bukan drama atau  retorik semata. Perpaduan antara rumpun yang membentuk barisan kesatuan mereka sangat utuh. Walaupun Jati sebagai ketua, tetapi tidak tamak dan angkuh. Bukan macam Cengal yang sombong, walau baru sebuah lembah ditanggung.

Atau Mahagoni dan Merbau yang cuba bersatu tetapi tidak sebulu. Kalau ketua sudah bercelaru, apa lagi anak buah sudahlah tentu. Jenggala ini bukan oasis sebarangan. Ia legasi turun-temurun, sudah mencapai enam  puluh tahun. Bukan boleh pimpin ikut pulun. Membangun jenggala ini mesti penuh dengan tekun.

Jati memang telah terbukti. Walaupun ada krisis di sana-sini, namun kesatuan mereka tetap sejati. Rakan kongsi dan anak buah akur, sentiasa patuh kepada ketua. Kelompok Jati pandai berdiplomasi, kerana itu kunci ingtergrasi. Koloni barisan kepimpinannya ada bermacam fauna, masing-masing mahu tegakkan generasinya. Justeru semua mesti dijaga, tidak boleh bawa haluan ikut suka. Itu kekuatan mereka.

Membangun lahan ini macam juga mengemudi bahtera. Banyak cabaran dan gelombang di samudera. Bukan calang-calang nakhoda boleh mencuba. Mesti telah lulus aneka ujian marina. Mabuk laut dan pening kepala, kena pintar menanganinya. 

Belum masuk lagi kemahiran navigasi, keselamatan samudera dan menangani cuaca terkini, perlu kakitangan paling akademi. Rumpun pakatan mana ada kepakaran, mahu membina sebuah ran di atas dahan juga sukar dilaksanakan. Inikan pula memacu jenggala variasi acuan?

Belum menjadi kenyataan sudah berbalah pasal Kabinet bayangan. Konon mahu memberi keyakinan dan kepercayaan ahli bawahan. Sudahnya semua berantakan. Ke mana cita  ke mana impian!

Koloni Jati kembali berkuasa, dengan tenang penuh bergaya. Anak-anak jati yang masih muda dan remaja memberi sepenuh sokongan untuk hari muka. Pihak kepimpinan atasan telah membina suatu wawasan. Anak-anak masa kini adalah pemimpin masa depan, mereka akan diberi peranan. 

Kini gagasan baharu mula direncana. Koloni jati yang perkasa telah memplokamir agenda. Kondisi jenggala perlu direkayasa, dan arkiteknya nanti adalah mereka.  Strata populasi  memberi apresiasi lantaran misi dan visi Jati penuh ambisi. Munasabah dan bisa dicapai untuk kelangsungan generasi.

Jati ini tinggi iltizamnya. Kualiti produknya telah diakui semua. Mindanya telah mencapai cerpu dunia. Kebolehan diplomasi dan rangkaian literasi memberikannya banyak kelebihan posisi. Jadi kedudukannya memang tiada siapa boleh sangsi.  

Gagasan Jenggala Maju 50 mula menjadi dogma baharu. Wadah yang disediakan untuk semua anak cucu. Pewaris Merbau dan Beringin sudah mula menunjukkan minat, mahu kembali memberi khidmat. Tiada guna selama ini membuat khianat, lebih baik berbakti dunia akhirat.

Selama ini dengki khianat menjadi peluru. Semua yang Jati buat tidak kena selalu. Itu sebenarnya penyakit di hati, cemburu, benci dan hasad dengki. Akhirnya keturunan sendiri juga yang rugi.

Mahagoni dan Cengal tinggal bersendirian. Mereka yang  ekstrem mula ditinggal kesepian. Baru padan muka kemerahan, hendak menahan rasa kemarahan. Bukan salah  anak buah yang tidak membuat pilihan, tetapi kesombongan diri menambah kebencian.

Generasi baharu lahan jenggala itu kian maju dan aman. Tunas-tunas flora dari pelbagai keturunan menyatakan kesepakatan. Malah anak-anak Merbau, Cengal, Mahagoni, Pulai dan Akasia, yang dahulunya liar memenuhi lembah dan paya mula bersekutu mendiami banjaran.

Tinggallah generasi tua yang masih terkinja-kinja menjual muka. Hendak tegak berdiri memang sudah tidak terdaya, namun nafsu masih memenuhi minda. Perlahan-lahan semilir rimba menjamah ranting dan mematahkan dahannya.

Dan satu demi satu dedaun kuning mula gugur melayah turun menyembah bumi.