Antara mereka yang memenangi hadiah tersebut seperti tahun-tahun sebelumnya secara berturut-turut termasuklah Dr. Fahd Razy, Muzaf Ahmad dan Ustaz Haji DJ Syafiq Zulakifli. Karisma mereka dalam penulisan memang bukan lagi topik persoalan cerita kerana mereka semamangnya telah diadili dalam pelbagai jenis sayembara, hadiah sastera dan penulisan. Apatah lagi mereka sendiri memiliki buku penulisan peribadi sebagai satu takah aras dalam kepengarangan mereka. Sebagai kawan, saya tumpang bangga mengenalinya apatah lagi diajak sama untuk turut meraikannya dalam majlis tersebut.

Saya menyertai mereka dan meraikan kemenangan mereka. Zaim Salimun, pemilik jenama jubah kontemporari terkenal dengan jubah pelbagai pilihan warna turut sama ke majlis tersebut. Zaim, seperti lazimnya sentiasa berpakaian kemas untuk ke mana-mana atau pelbagai acara. Berbaju satin berbatik urban dan berkot perang muda.

Begitu juga dengan kehadiran rakan kami Rasydan Fitri, pereka grafik dan kulit buku yang semakin dikejar serta dicari-cari penerbit dan editor alias bibliofil tegar. Dia berupaya menyenaraikan judul buku dan siapa penulisnya dan sebaliknya begitu apa judul buku dan siapa penulisnya pula apabila diuji dan ditanya. Di samping Zaim dan Rasydan, turut menyertai kami ialah penulis muda berbakat besar, Fitri yang baru sahaja menyudahkan pengajiannya di International Medical University (IMU) dalam bidang Biomedik.

Saya rasa sungguh bertuah bila dapat berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan penulis yang lain walaupun tidak memenangi sebarang hadiah. Bahkan melihat mereka gembira pada hari besar mereka sendiri adalah satu kegembiraan kepada saya. Apa lagi yang menggembirakan seorang penulis apabila karyanya dibaca, dihargai dan diangkat martabatnya sebagai pemenang di antara banyak penulisan yang lain.

Ramai penulis besar hadir di majlis tersebut. Ramai juga rupa-rupanya editor dari pelbagai rumah penerbitan di samping majalah dan akhbar utama yang turut sama hadir. Saya pegun. Terkesima bagaikan kejora yang jatuh ke atas riba menjadi gadis rupawan yang tidak pernah terlihat oleh imaginasi dan realiti saya apabila berjumpa sendiri penulis-penulis karya besar yang selama ini hanya dibaca tulisannya sahaja.

Majlis yang sederhana, minum petang dan penyampaian anugerah yang dinanti-nantikan. Seperti biasa dalam kebanyakkan majlis penyampaian anugerah pelbagai bidang apabila hadiah utama itu dirahsiakan siapa pemiliknya. Bijak penganjur bermain dengan keresahan tetamu apabila cuba mententeramkan kami dengan nyanyian Ella. Tetamu ada juga yang dalam kalangan sasterawan ikut sama terpesona dengan lentok lemah gemalai nyanyian Ella. Mereka menyanyi mengikut lirik bersama-sama dengan Ella menyanyikan lagu berjudul rama-rama.

Manakala saya ketika itu leka menikmati pencuci mulut puding karamel dan jus oren sambil membelek buku program. Saya membaca ulasan juri yang tertulis di dalam buku program tersebut. Pelbagai justifikasi penilaian pemenang yang diangkat untuk setiap kategori yang dipertandingkan. Saya membaca dengan penuh cermat kenapa dan mengapa sesuatu karya itu diangkat menjadi pemenang. Cumanya apabila saya membaca ulasan juri tentang cerpen yang dimenangi Fahd Razy, saya merasakan ia adalah berbeza dengan apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Sangkaan saya benar apabila Fahd Razy bersetuju dengan saya.

Saya teruskan membelek melihat senarai pemenang dan karya-karya yang masuk ke peringkat akhir tetapi gagal memenangi hadiah tersebut satu persatu sehinggalah saya membelek muka surat berikutnya. Tiba-tiba, saya terjumpa semangat terselit antara celah-celah muka surat buku program tersebut. Sekali lagi pada petang itu saya menjadi pegun. Sangat memeranjatkan.

Bagaimana semangat boleh tiba-tiba berada di situ? Saya tak pasti milik siapakah semangat tersebut. Atau adakah barangkali ia memang dikepilkan bersama untuk setiap tetamu di meja bulat makan kami oleh pihak penganjur? Saya lantas mengambil semangat tersebut yang tiba-tiba terlepas daripada tangan lalu terbang seperti kunang-kunang perlahan-lahan bercahaya naik ke udara dan terbang seakan berpuing ke arah pintu keluar.

Semangat itu terbang dengan beribu-ribu rama-rama yang keluar daripada mulut Ella setelah dinyanyikan lagu berjudul rama-rama tadi. Bercampur kesemuanya rama-rama aneka warna. Yang jelas, semangat seperti kunang-kunang bercahaya terbang merdeka di apungan.

“Nak ke tandas sekejap,” sampuk saya pada Fahd Razy tergesa-gesa meninggalkan kerusi sambil menepuk bahunya.

“Eh, Khairil!” sampuk seorang lelaki berusia empat puluhan berbaju batik yang duduk di meja bulat paling hampir dengan pintu keluar.

“Oh, Dr. Rohaizad. Maaf. Saya minta diri dahulu. Kecemasan,” ringkas saya menjawab tetapi penuh ketergesaan kerana khuatir semangat terlepas dan hilang dari pandangan.

Rupa-rupanya Dr. Rohaizad, pensyarah pengajian sarjana saya yang juga merupakan doktor perubatan di sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka dunia turut hadir ke majlis tersebut mewakili majikannya sebagai pihak penaja.

Saya tidak menyangka langsung untuk bertemu Dr. Rohaizad di sini. Bahkan dia juga tentu sekali tidak menduga menemui saya di sini. Apalagi kehairanan melihat telatah saya seakan mengejar sesuatu yang mungkin hanya dilihat oleh saya. Mungkin kami saling kehairanan sesama sendiri bagaimana konon-konon kami ini “orang sains” berada di majlis “orang sastera”.

Bukankah sepatutnya sastera itu milik semua? Bukan dijuzuk dan dilukis garis dikotomi. Ah. Betapa kecilnya dunia ini saya rasakan. Tetapi kecil-kecil dunia ini, kecil lagi dirasakan dunia sastera Malaysia. Masakan tidak. Setelah bertahun demi tahun sastera moden tanahair, lingkaran dan orang yang termasuk di dalam lingkaran sastera ini masih lagi orang yang sama. Bila difikirkan kembali, jangankan menyeberang Lautan Jawa, sedangkan senarai sasterawan negara pun belum tentu dapat disenaraikan pelajar jurusan sastera di universiti.

Semangat

Ini kecelakaan. Bahkan, terlalu sedikit karya sastera tempatan yang dibaca masyarakat antarabangsa atau memenangi hadiah sastera antarabangsa pula. Mungkinkah ada Pemenang Hadiah Nobel Sastera dari Malaysia? Saya tidak tahu kerana saya sendiri masih bergelut mengejar semangat yang terbang tetapi terganggu dengan sapaan Dr. Rohaizad tadi.

Sebenarnya, rangkap tentang disapa Dr. Rohaizad ini tidaklah begitu penting untuk dimasukkan dalam cerita ini. Apa yang lebih penting adalah semangat yang terbang seperti kunang-kunang itu semakin lama semakin hilang daripada pandangan saya.

Lalu bergegas saya membesarkan langkah mengejar semangat tersebut yang menuju ke arah pintu keluar daripada majlis tersebut. Terapung-apung terbang hampir-hampir sebelah meja buffet, akhirnya saya berjaya menangkap semangat tersebut dan mengepungnya ke dalam genggaman lalu terus disimpan ke dalam poket seluar.

Anehnya, di poket seluar ia seperti serangga menggigit dan menembusi poket seluar lalu menjadikan kulit saya berbintat-bintat seperti urtikaria. Serta-merta juga saya menjadi seorang yang sangat bersemangat untuk menuliskan karya-karya besar sebagaimana karya-karya seperti War and Peace oleh Leo Tolstoy; Equality oleh Robespiere; Old Mand And The Sea oleh Hemingway; Othello, Hamlet dan Macbeth oleh Shakespeare. Bukan sahaja karya-karya besar luar negara. Bahkan saya juga ingin menulis karya-karya besar seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Bustan al-Salatin al-Katibin, Syair Ken Tambuhan dan Hikayat Acheh.

Ya, karya-karya besar sepertimana badan dan ukur lilit pinggang saya yang semakin membesar saban tahun. Sedangkan di poket seluar pula, semangat yang menggigit seakan seekor serangga menjadi keronyok kertas seperti duit ringgit yang semakin jatuh nilainya berbanding US Dolar, Pound Sterling, Euro dan Riyal Saudi.

Kata Chairil Anwar, “Aku mau hidup seribu tahun lagi,”

Begitulah saya ingin menuliskan karya-karya besar yang tidak dimamah waktu, tidak dapat dijual beli dengan segala apa jenis matawang dunia dan yang membijaksanakan pembaca. Biarpun untuk seribu tahun lagi, saya ingin terus hidup di bibir dan hati orang yang membacanya.

Maka dengan semangat yang tersimpan rapi di dalam poket seluar, saya kembali ke meja bulat makan kami dengan melabuhkan punggung di sebelah seorang cerpenis dan pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, Saifullizan. Ya, pada petang tersebut, cerpennya juga turut meraih anugerah.

Sambil menggaru-garu badan yang kegatalan digigit semangat tadi, saya sempat mengucapkan tahniah di atas kemenangannya. Pada kesempatan itu saya bertanyakan lagi tentang sastera – sebuah negeri asing untuk saya isi dan kulitnya. Sudah tentu dia mengetahui segala apa yang terdapat di dalam negeri bernama sastera itu.

Melihat saya yang asyik menikmati bubur kacang dan teh o seperti tidak di dalam kesibukan, ramai yang mampir kepada saya meminta untuk dirakamkan gambar mereka. Saya tidak kisah menjadi jurugambar tidak berbayar pada majlis itu. Sungguhpun mereka adalah orang yang tidak saya kenali kerana itu juga mungkin yang saya lakukan sekiranya menaiki apa-apa pentas.

“Nanti tolong ambilkan gambar saya,”

“Kamera yang ini juga ya…” pesan seorang lagi sambil menyerahkan kamera digital kompaknya kepada saya.

Sehingga akhirnya, saya sendiri merakamkan gambar kenangan swafoto dan foto-foto yang lain bersama teman-teman yang hadir. Fahd Razy, Zaim Salimun, Rasydan, Fitri dan Syafiq Zulakifli.

II

Satu petang yang terluang, saya membunuh waktu dengan membelek gambar-gambar yang terakam di dalam telefon separa pintar. Sehingga saya menemukan gambar kenangan kami berlima di majlis tersebut. Saya, Fahd Razy, Rasydan, Zaim Salimun dan Fitri berlatarbelakangkan poster-poster pameran ulangtahun keraian majlis penganugerahan sastera tersebut.

Sudah puluhan tahun, anugerah sastera ini wujud tetapi saya tidak melihat ia berkembang sepertimana badan dan kulit saya berkembang dahulu ketika digigit semangat dengan urtikaria di seluruh kulit dan ukurlilit pinggang yang semakin membesar.

“Ah, semangat!”

Lantas secara serta-merta saya teringakan semangat yang pernah saya bawa pulang daripada majlis tahun lepas. Setahun lebih kurang daripada majlis penyampaian hadiah sastera tersebut berlalu. Baru sebentar tadi juga saya membaca keratan akhbar laporan tentang penyampaian hadiah sastera untuk tahun ini pula. Dilaporkan secara misteri pseudonim di dada akhbar tersebut oleh seorang yang tidak dikenali menuliskan tentang laporan awal proses pemilihan bakal pemenang hadiah sastera tersebut.

Ingatan saya melompat keluar daripada sangkar kepala dan terapung-apung akan semangat yang pernah saya miliki dan bawa pulang daripada majlis penyampaian hadiah sastera tahun lepas. Ya, itulah hadiah penyampaian sastera yang pertama dan satu-satunya yang pernah saya hadiri sebelum ini.

Puas saya mencari semangat itu semula, menyelongkar almari, baju, seluar yang dipakai dahulu tapi tak terjumpa pula, entah ke mana disusupkan. Barangkali semangat itu telah terjatuh tanpa sedar atau mungkin ada yang telah menyeluk saku saya dan mengambil semangat tersebut sehinggakan saya terlupa akan kewujudannya. Mungkinkah juga Dr. Rohaizad yang menyedari saya mengejar semangat itu tetapi telah diambilnya? Aduh!

Nampaknya apa yang saya tahu hanyalah bersangka buruk, menyalahkan orang lain kecuali diri saya daripada menuliskan naskah, karya ataupun manuskrip besar. Sehingga saat ini sejak setahun sesudah menghadiri penyampaian hadiah sastera tersebut, hadiah sastera berprestij negara, HSKU, tiada satu karya pun yang terhasil daripada saya. Jangankan besar seperti Sulalatus Salatin atau Taj As-Salatin, kecil sekecil hasrat saya melihat sastera Malaysia ke persada dunia pun tidak terhasil lagi.

Ah, tahun lepas saya datang menghadiri majlis penyampaian hadiah sastera mengambil semangat lalu membawanya pulang tetapi sekarang sahaja baru saya menyedari entah ke mana pula cicirnya.