Ketika itu sudah tiada pohon jering lain di kampung. Pohon jering yang pernah rata-rata tumbuh di sekitar kampung sudah ditebang. Pohon-pohon jering ditebang kerana tanah tapak pohon jering dijadikan tapak tanaman lain. Ada tanah yang sudah dijual kepada pemaju tanah dan tanah di situ terpaksa dibersihkan sebelum mendirikan bangunan. Akibatnya sepohon demi sepohon pokok jering rebah dan bertukar menjadi kayu api dan arang.

“Hasil pohon jering tak seberapa. Hasil banyak tapi harga hasil amat murah.” Begitu alasan orang kampung. “Hasil tanaman lain lebih lumayan. Dijual tanah, dapat duit cepat dan banyak duit.”

Dengan wang jualan tanah, orang kampung membeli rumah kedai atau apartmen di atas tanah lama mereka. Rumah kedai atau apartmen itu sama ada untuk tinggal sendiri atau disewa kepada orang baharu yang datang sebagai penduduk baharu kampung yang dalam proses naik taraf menjadi pekan.

Duit cepat dan banyak duit, rata-rata penduduk kampung tiba-tiba menjadi orang kaya baharu. Kaum perempuan dengan barang kemas dan kaum lelaki dengan kereta. Cara berbelanja turut berubah dengan mula membeli alat-alat elektrik dan elektronik. Ada yang sampai mula melancong ke luar negara. Mungkin kerana itu, semakin ramai penduduk kampung menjual tanah, menolak cara hidup lama dan merangkul gaya hidup baru. Cara hidup keluarga Tan Sua tetap serupa, mengharap rezeki daripada tanah dan habitat sekitar.

Pernah orang kampung menggoda ayah. Pernah tergerak ayah menebang pohon jering seperti orang kampung lain. Kata ayah, “Rata-rata pokok jering di dalam hutan. Biar kita tumbangkan saja pohon ini.”

Emak membantah hasrat ayah kerana emak suka makan jering muda dan tidak sanggup mencari buah jering di dalam hutan. Kata emak, “Takkan nak masuk hutan mencari buah jering setiap kali mengidam nak makan? Dengan pohon jering di belakang rumah, dapat pantau dan tumbuh saja jering muda, dapat dikais segera.”

Nenek turut menghalang kerana asalkan ada bunga atau pucuk jering pasti akan dipetik. Sudah sedia maklum masakan kegemaran nenek adalah ulam bunga atau pucuk jering segar. Tan Sua tidak gemar sangat bau dan rasa hasil pohon jering. Motif Tan Sua menyokong pendirian emak dan nenek senang, Tan Sua dapat berkongsi rezeki hasil pohon jering.

Ketika itu bukan setakat pohon jering, tidak kurang pohon petai, putat dan pokok-pokok hutan lain dengan hasil buah hutan dan ulam untuk dinikmati. Bagaimanapun, keadaan begitu tidak kekal. Ketika Tan Sua masuk sekolah menengah rendah, ramai tauke atau pengusaha balak mula muncul. Sasaran mereka adalah kayu jati, cengal atau meranti. Ketika menebang pohon-pohon pilihan mereka, pokok-pokok lain turut menjadi mangsa. Setiap hari berpuluh buah lori balak yang keluar masuk. Setiap lori yang meninggalkan kampung, bermakna sebahagian hutan dara habis ditebang dan ditebas.

Ketika Tan Sua tamat peperiksaan tingkatan tiga, kawasan kampung dan di luar kawasan kampung sudah tiada pohon hutan. Tiada pohon petai. Tiada pokok putat. Pohon-pohon lain termasuk tenggek burung juga jarang jumpa. Pohon jering tunggal di belakang rumah keluarga Tan Sua menjadi satu-satu pilihan orang kampung ketika mengidam hasil pohon hutan. Jiran yang pernah bergantung rezeki dengan menjual buah putat muda atau petai kini terpaksa masuk ke hutan yang semakin mengalah dan berundur ke kawasan banjaran gunung. Itu pun masih tidak lumayan hasil pencarian mereka.

Pohon jering tunggal itu tidak pernah gagal berbuah. Ketika tidak berbuah, pucuk dan bunga jering juga banyak. Sayang sekali harga jualan hasil agak murah dan pendapatan hasil jualan tidak seberapa berbanding dengan rezeki tanaman hasil lain, apalagi dibanding dengan wang pulangan jual tanah. Nasib baik keluarga Tan Sua tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil pohon jering dan tidak mimpi menjadi orang kaya baharu. Hasil pohon jering lebih berupa hasil tambahan atau hasil sentimental, bukan semata-mata nilai ekonomi. Cabaran lain adalah pendapatan hasil jering semakin kurang kerana kampung sudah bergelar pekan. Nama pun pekan, sudah tentu ada orang luar datang, Tapi yang datang ini tidak pandai makan jering manakala pelanggan lama pula sudah tua.

Kata Che Yah, “Sudah tua. Gigi sudah tak kuat. Tak larat mamah jering lagi.”

Mek Alan berkata, “Budak muda sudah tak pandai makan jering. Setiap kali aku beli, terpaksa aku seorang yang habiskan.”

Kampung sudah bergelar pekan dan ketika Tan Sua habis peperiksaan sekolah menengah, pekan dinaik taraf sebagai bandar kecil. Nenek sudah mula nyanyuk dan emak asyik mengadu sakit tulang. Ayah masih mencari hasil hutan sebagai rezeki, tetapi sekarang terpaksa pergi lebih jauh sampai ke kawasan banjaran gunung. Setiap kali keluar mencari rezeki , berminggu-minggu baru ayah pulang. Seluruh kawasan itu sudah berwajah baharu. Melainkan rumah dan tanah keluarga Tan Sua, tempat lain sudah berwajah bandar dengan deretan rumah kedai, gedung perniagaan dan kotak-kotak apartmen setinggi lima atau enam tingkat. Tanah dan rumah keluarga Tan Sua yang kekal wajah kampung itu seperti sebuah pulau terasing dan terpinggir, dikepung lautan bandar di luar.

Ramai yang datang memujuk keluarga Tan Sua menjual tanah dan rumah pusaka. Kata mereka, “Bukankah baik kamu jual saja tanah dan rumah ini? Pindah ke rumah kedai atau apartmen di sana. Rumah kedai atau apartmen banyak kemudahan asas. Air, gas, elektrik, kolam renang dan banyak lagi.”

Nenek sudah nyanyuk, ayah dan emak yang semakin tidak larat bagaimana pun tidak makan pujuk.

Emak menjawab, “Lebih selesa dan senang tinggal di rumah kampung. Makan minum tak payah dibeli. Turun saja tangga ke laman rumah, daun kesum, kunyit dan temu pauh berlambak. Tak kurang ayam, itik serati dan ikan darat yang dibela. Setakat kena beli beras dan ikan laut saja.”

Ayah berkata, “Sudah tua. Sudah malas berpindah.”

Pemaju tanah atau orang tengah tidak pernah putus asa. Setiap bulan pasti datang melawat keluarga Tan Sua. Ada yang datang dengan hadiah termasuk buah-buahan import seperti epal dan oren. Ada yang datang memujuk. Ada yang mula kurang sabar dan mula mengancam dan mengugut. Nenek yang nyanyuk jelas tidak perasan atau tidak merasa pujukan atau ugutan mereka. Ayah setakat tersenyum membalut rokok daun dan tiada maklum balas ketara. Adakala emak mula kurang sabar dan mengusir mereka. Tan Sua pula, sudah dapat tawaran menjadi guru dan sebelum layak mengajar, dihantar berlatih di sebuah maktab perguruan.

Bukan minat Tan Sua menjadi guru tetapi bila disoal minat, Tan Sua tidak pasti minat dan kecenderungannya. Jadi tawaran latihan guru dan menjadi guru disambut Tan Sua dengan tangan terbuka.

Keluar dari bandar kecil dan pergi ke bandar lebih besar, pulang Tan Sua ke rumah, dirasa tempat itu jelas kecil. Bergelar bandar tetapi tetap bandar kecil. Bangunan bandar lain lebih tinggi. Rumah dan tanah keluarga dengan pohon jering setinggi 30 meter dikelilingi pokok-pokok rempah, dikepung bangunan lain, lebih menyerupai sebuah pulau yang terpisah dan terasing. Dari segi keseragaman pembangunan bandar, tempat itu cukup memedihkan mata ketika memandang. Bagi pemaju tanah dan rumah, tanah seluas itu dibiar tanpa pembangunan, bermakna tidak mencungkil nilai ekonomi sepenuhnya.

Ketika Tan Sua keluar dari maktab perguruan dan ditukar menjadi guru sebuah sekolah rendah bandar itu, bukan setakat pemaju tanah atau orang tengah yang datang memujuk, pegawai kerajaan tempatan juga turut datang.

“Pindah saja. Pihak kami akan berusaha membayar pampasan.” Kata mereka. “Tak rugi kalau pindah.”

Salah seorang pegawai mengeluarkan mesin kira, angka-angka ditekan dan hasilnya sejumlah wang. “Semuanya wang tunai. Wang tunai campur apartmen dan rumah kedai. Tanah baharu di tempat lain. Tiga pilihan. Kamu pilih satu.”

Soalan mereka diajukan kepada Tan Sua. Tan Sua tidak menjawab. Bukan masanya Tan Sua membuat pilihan atau keputusan. Ketika itu, nenek yang lama nyanyuk sudah meninggal dunia dan ditanam di tanah pusaka keluarga. Pusara nenek di bawah rimbunan pohon jering, seperti anggota keluarga Tan Sua yang mati sebelum nenek.

“Tiada pilihan lain?” ayah merenung emak sambil bertanya.

“Tiada.” Jawab pegawai itu. Mungkin sudah hilang sabar dengan orang tua yang degil tidak mahu berpindah. “Pak cik patut sedar. Ini untuk kepentingan bandar kita. Keseragaman landskap bandar.”

Mungkin nampak emak asyik memandang pohon jering belakang rumah, tiba-tiba pegawai muda itu berkata, “Kalau sayangkan pohon itu, aku cadangkan pak cik dan mak cik mengambil pilihan ketiga. Tanah gantian di situ lebih luas dari tanah termasuk rumah di sini. Dengan teknik dan teknologi hari ini, pohon itu boleh dipindah dan dijamin hidup selepas ditanam semula.”

“Semuanya dapat dipindahkan?” tanya emak. Nada suara emak seperti menyindir.

“Semuanya boleh.” Tambah pegawai muda itu, “Pihak kami akan uruskan perbelanjaan memindah.”

“Semuanya?” tambah emak, “Termasuk kubur?”

Pegawai itu menganggukkan kepala.

“Semuanya?” tambah emak lagi, “Termasuk kenangan?”

Jelas pegawai itu tergamam dengan soalan terakhir Emak.

“Lahir di sini. Besar di sini. Hidup di sini dan mati di sini.” Kata emak, “Tanah ini, pohon ini dan rumah ini, gabungan cahaya, hujan, panas di sini adalah seluruh hayat aku. Kehidupan dan kenangan aku.”

Pegawai itu seperti tidak sampai hati tetapi tetap membuka mulut. “Sudah terlalu lama keluarga makcik menghalang pembangunan projek bandar ini.” Dia berhenti sejenak sebelum terus berkata, “Dari segi komersial atau ekonomi, pampasannya berpatutan dan cukup. Kalau keluarga makcik enggan juga, nanti dipaksa .”

Terpaksa Tan Sua campur tangan dengan berkata, “Beri tempoh beberapa hari lagi. Biar kami berunding.”

Pegawai muda itu merenung wajah Tan Sua. Agak lama, baru dia menganggukkan kepala.

Malam itu dan beberapa hari selepas itu, Tan Sua cuba pulang awal dan mendampingi ayah dan emak. Keluarga Tan Sua bukan tidak sedar, keluarga mereka yang sudah lama menjadi penghalang pembangunan bandar, pasti dipaksa berpindah, sama ada secara rela atau dengan kekerasan.

“Kita ambil saja pilihan ketiga.” Saranan Tan Sua.

“Tinggalkan tempat ini? Kerja kamu bagaimana?” Tanya Ayah.

“Boleh sewa bilik.” Kata Tan Sua, “Lagi pun, mungkin ada sekolah rendah di tempat baharu.”

Emak tidak bercakap. Emak tengah berdiri di bawah pohon jering. Emak mengusap batang pohon jering seperti sesuatu sedang bermain dalam fikiran emak.

Selepas mencapai kata sepakat, Tan Sua hubungi pegawai muda itu. Pilihan ketiga. Jawab Tan Sua. Kami sudah nekad memilih pilihan ketiga.

“Tempat itu betul-betul jauh dari sini. Lebih ke hulu, terpisah dan terasing daripada kemajuan dan kemudahan moden.” kata pegawai itu.

“Sudah sepakat keputusan kami,” kata Tan Sua.

Anggota keluarga Tan Sua mula mengemas. Barangan Tan Sua tidak banyak. Barang-barang ayah dan emak cukup banyak. Pakaian. Pinggan mangkuk, kerusi dan meja. Album gambar lama, pakaian, tempayan dan binatang ternakan. Ibu pohon maman. pohon katak puru, terlalu banyak. Sebuah lori tidak cukup mengisi. Akhirnya tiga buah lori terpaksa disewa. Lori yang datang memunggah itu, tidak setakat memunggah barang-barang, tetapi memunggah kenangan emak dan ayah, kenangan keluarga Tan Sua. Termasuk pohon jering setinggi 30 meter di belakang rumah mereka.

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.