“Assalamualaikum!” Adli memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab orang tua itu sambil mengangguk-anggukkan kepala dan memandang wajah Adli.

“Maafkan saya kerana mengganggu ketenangan, pak cik,” katanya lagi.

“Oh, tak mengapa!” geleng orang tua itu sambil menarik nafas yang panjang.

“Boleh saya duduk,” pintanya.

Orang tua itu lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Duduklah!” ujarnya senang.

“Terima kasih, pak cik!” balas Adli sambil duduk di atas kerusi kayu yang terletak di bawah sebatang pokok yang rendang.

“Saya selalu lihat pak cik datang ke sini,” ucapnya.

“Pak cik datang ke sini untuk mencari ketenangan.” Nada suara orang tua itu tenggelam bersama desiran ombak yang menghempas pantai.

“Ketenangan?” ulang Adli pula sebaliknya.

“Ya, nak!” angguk orang tua itu dengan pantas.

Angin laut yang tadinya bertiup perlahan dan nyaman tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari mengikut rentak angin yang bertiup. Sekejap beralih ke kiri dan sekejap beralih ke kanan. Begitu juga dengan daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila dibuai angin yang bertiup jelas kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Benarlah kata orang. Hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Ada ketikanya kita berada di atas dan ada ketikanya kita berada di bawah,” ujar orang tua itu lagi.

“Nampaknya pak cik ada pengalaman hidup yang menarik untuk dikongsi bersama”. Dia dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh orang tua itu.

“Memang benar kata anak itu!” angguknya pula dengan pantas.

“Pak cik dulu seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk. Hidup pak cik penuh dengan kemewahan. Tapi sekarang segala-galanya telah hilang ...,” katanya dengan rasa penuh sayu sambil memandang laut yang membiru.

Adli sebaliknya hanya diam sahaja. Sengaja membiarkan orang tua itu menceritakan kisah hidupnya.

“Akibat lupa diri, akhirnya pak cik jadi begini. Pak cik hidup sebatang kara. Tak seorang pun yang berada di samping pak cik ...,” jelasnya lagi dalam nada suara yang penuh dengan kesedihan dan kepiluan.

“Saya benar-benar bersimpati dengan pak cik,” ulas Adli pula sebaliknya.

“Terima kasih, nak. Kerana bersimpati dengan nasib yang telah menimpa pak cik. Pak cik reda, nak. Dengan hukuman Tuhan ke atas kesalahan dan kesilapan yang telah pak cik lakukan sebelum ini,” tambahnya.

“Tak ada siapa yang tak boleh lari daripada melakukan salah dan silap dalam hidup ini, pak cik,” Adli berkata.

“Memang betul kata anak itu!” dia pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pak cik benar-benar rasa menyesal dengan apa yang telah pak cik lakukan selama ini,” ucapnya lagi.

Pohon-pohon yang mengangguk lemah apabila ditiup angin seakan-akan turut berasa sayu dan menghulurkan simpati dengan nasib malang yang telah menimpa ke atas diri orang tua itu. Daun-daun kering kelihatan berguguran satu persatu apabila ditiup angin dan menimpa permukaan pasir yang halus dan memutih.

Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar indah. Cahayanya yang terang-benderang menyimbah ke seluruh alam semesta. Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus juga kelihatan terpantul di atas permukaan dan menembusi celah-celah dedaunan yang menghijau.

Desiran ombak tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih yang memutih berapungan membasahi gigian pantai. Sekejap timbul dan sekejap hilang ditolak dan ditarik ombak. Dari jauh kelihatan sebuah kapal sedang berlayar. Mengharungi lautan yang luas terbentang.

Destinasi yang ditujunya sudah pasti ke pelabuhan sambil membawa bekalan yang cukup. Adli kemudian memandang orang tua yang duduk di sebelahnya. Wajahnya kelihatan sayu dan sedih sambil memandang laut yang membiru.

Mungkin mengenangkan kisah silam yang amat menyayat hati dan perasaannya. Adli kemudian lantas mematikan lamunan orang tua itu yang nampaknya jauh melayang dan melambung-lambung dipukul ombak.

“Maafkan saya bertanya, pak cik ...,” dia bersuara perlahan sama seperti bayu laut yang bertiup.

Rasa dingin dan segar jelas terasa menyusup ke seluruh tubuhnya apabila menghirup udara pantai yang nyaman dan bersih.

Orang tua itu kemudian memalingkan muka memandang Adli.

“Apa dia, nak?” tanyanya dengan tenang sambil menarik nafas yang panjang.

“Mana perginya isteri dan anak-anak, pak cik?” soal Adli.

Rasa kesedihan dan kesayuan semakin kelihatan menebal di wajah orang tua itu.

“Mereka semua tinggalkan pak cik bila pak cik jadi begini. Sedangkan semua kemahuan mereka pak cik turutkan. Wang, rumah, kereta dan macam-macam lagi. Tapi bila pak cik dah tak berguna dan tak punya apa, mereka buang pak cik. Hidup pak cik tak ubah seperti seorang pengemis ...,” luahnya dalam nada suara yang penuh pilu.

“Oh, begitu!” balas Adli sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kesian, pak cik. Tak patut mereka buat begitu sehingga pak cik hidup merempat,” dia menyambung lagi.

“Apa nak buat, nak. Dah nasib pak cik jadi begini. Dulu pak cik sibuk siang dan malam mencari kemewahan hidup. Sehingga pak cik tidak mendirikan solat dan melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Tuhan. Pak cik juga tidak memberikan didikan agama pada isteri dan anak-anak pak cik. Akibatnya, inilah yang pak cik terima,” dia berkata.

Adli sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar apa yang dikatakan orang tua itu.

“Benarlah kata orang. Hidup ini tak boleh menongkat langit. Sekaya mana dan semewah mana sekalipun hidup kita, kita tak akan dapat menandingi kekuasaan Allah SWT,” tambahnya lagi.

Adli terus mendiamkan diri sambil memandang laut membiru yang terbentang luas. Sambil memandang laut, dia menghayati dengan sedalam-dalamnya kata-kata orang tua itu. Sesungguhnya, hidup ini bukan sahaja tak ubah seperti putaran roda, malahan juga seperti air laut. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Hari ini kita merasa begitu gembira sekali. Namun esok belum pasti lagi. Ketentuan perjalanan hidup ini bukan di tangan kita, tetapi ditentukan oleh Tuhan Yang Esa. Dia kemudian menarik nafas yang panjang dan memandang semula wajah orang tua itu.

“Tak semua keindahan yang kita harapkan dalam hidup ini akan menjadi kenyataan,” dia berkata.

Orang tua itu sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Memang benar kata anak itu. Semua yang kita miliki dalam hidup ini adalah pinjaman semata-mata. Macam pak cik dah ada tak apa-apa lagi sekarang. Nikmat kemewahan hidup pak cik dah diambil semula,” ucapnya.

“Sabarlah, pak cik. Semua ni dah suratan takdir,” tambah Adli pula sebaliknya.

“Pak cik berasa bersyukur kerana Tuhan masih sayangkan lagi pak cik. Pak cik benar-benar rasa menyesal dan insaf dengan apa yang telah pak cik lakukan selama ini,” luahnya.

“Syukur alhamdulillah. Kerana pak cik tidak jauh tersesat,” kata Adli.

“Terima kasih, nak. Kerana sudi berkongsi dan mendengar kisah sedih pak cik,” dia membalas sambil tersenyum.

“Pengalaman hidup pak cik ini amat menarik untuk ditulis,” ulas Adli pula.

“Ditulis?” ulang orang tua itu.

Dia pantas mengangguk-anggukkan kepala.

“Ya, pak cik!” balasnya.

“Anak ni seorang penulis ke?” tanya orang tua itu lagi.

“Benar, pak cik! Saya selalu datang ke sini untuk mencari ilham.”

“Oh, begitu!”

“Kalau tak keberatan saya ingin mengajak pak cik tinggal bersama saya.”

Orang tua itu membalas dengan senyuman kecil.

“Terima kasih atas pelawaan anak itu. Pak cik tak nak menyusahkan anak. Pak cik lebih senang hidup begitu dan menunggu masa untuk dijemput Tuhan.”

“Saya benar-benar ikhlas, pak cik. Saya tak sanggup melihat pak cik hidup begini sampai ke akhir hayat.”

“Pak cik reda dengan ketentuan Tuhan ke atas diri pak cik. Tak usahlah anak bimbang dengan diri pak cik. Anak teruskanlah kerjaya sebagai seorang penulis. Pak cik harap kisah pak cik ini akan dijadikan pengajaran dan teladan oleh pembaca.”

Dia terdiam apabila mendengar kata-kata orang tua itu sambil memandang laut yang membiru.

“Pak cik minta diri dulu, nak. Moga kita akan bertemu lagi,” mohon orang tua itu.

“Baiklah, pak cik,” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Beberapa bulan kemudian karyanya yang bertajuk Seorang Tua Di Tepi Pantai telah disiarkan dalam ruangan cerpen salah sebuah akhbar tempatan.