Bakti masih ingat pesanan tukang kasut yang kini sudah beralih profesion. “Ilmu yang aku turunkan pada kau ni ada tarikh luput. Satu hari nanti kau akan rasa jemu dan berhenti.”

Kendati bunyi pesan itu semacam satu sumpahan, hingga detik ini, Bakti belum jemu menjadi tukang kasut.

Kerja Bakti selesai pada pukul 6 petang. Kalau Bakti mahu kerja sampai lewat, dia pulang lewat. Kalau dia bosan atau tiada pelanggan, pulangnya awal. Semudah itu pekerjaan Bakti.

Bakti tinggal menyewa di sebuah flat murah. Sebaik pulang kerja, Bakti akan menyapu. Mula-mula dalam rumah, lepas itu depan rumah. Bakti sapu juga depan rumah jiran sebelah. Kemudian depan rumah jiran bertentangan. Kemudian jiran sebelah selang dua rumah. Kemudian selang tiga rumah. Kemudian depan semua rumah. Hujung-hujung, satu koridor Bakti sapu semua.

Bukan tidak ada pekerja penyelenggara flat yang menyapu setiap hari. Ada. Dan bukanlah di koridor itu kotor atau banyak sampah sampai Bakti terpaksa menyapu sebilang petang.

Koridor itu tidak terlalu kotor dan tidak terlalu bersih. Kotor dan bersihnya sama banyak. Kalau hujan, ada air bertakung. Ada kertas, pembalut makanan dan beg plastik yang jatuh atau melayang dari tingkat atas. Tentu sahaja ada pasir dan kotoran biasa. Selalu juga ada air sampah busuk yang ditumpahkan jiran-jiran. Ada juga botol minuman dan reja makanan yang dibuang entah siapa. Juga bau hancing yang entah dikencingi siapa.

Keinginan Bakti untuk menyapu selalu datang mengebu-gebu. Menyapu membuatkan Bakti selalu berasa tenang. Ada kalanya Bakti tertidur depan tv sambil memegang penyapu. Sewaktu menyapu, Bakti rasa bagaikan sedang melupuskan semua kotoran, kejahatan dan daki dunia ini. Biar dunia bersih. Biar hati-hati manusia semua bersih. Biar tiada kejahatan dan kebejatan.

Ada jiran-jiran menganggap tabiat menyapu Bakti itu sebagai hal sepele. Ada pula yang menganggap Bakti mereng. Bakti tidak peduli dengan segala sangkaan dan cakap-cakap orang. Yang penting, dia menyapu.

Hampir saban malam Bakti bermimpi dia menyapu. Seakan-akan tidak ada lagi mimpi lain yang masuk dalam relung mimpinya selain dari kegiatan menyapu. Bakti bermimpi dia menyapu jalan-jalan di kotanya. Dia menyapu lorong-lorong, bangunan, bas-bas, bukit-bukit dan laut. Dia bermimpi menyapu langit dan melihat awan bertukar menjadi buih-buih sabun yang mistikal. Dia bermimpi menyapu sebuah dataran yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan langka. Dia bermimpi menyapu semua bayang-bayang manusia. Termasuk bayang-bayangnya sendiri.

Begitulah jalinan mimpi Bakti tentang semua upacara menyapu. Sambil tidur pun, tangan kanan Bakti sering bergerak-gerak seperti dia sedang menyapu. Sesekali, gerak dan rentak tangannya bertukar turun-naik seperti konduktor philharmonik.

Bakti giat menyapu yang kini seakan menjadi kewajipannya. Dari koridor tingkat rumahnya, melarat dari setingkat ke setingkat. Akhirnya satu flat setinggi 19 tingkat itu habis disapunya.

Selepas menyapu flat, Bakti menyapu pula jalan-jalan di sekitar flat. Penyapunya kini sudah bertukar dari penyapu biasa kepada penyapu jalan. Setiap kali Bakti memegang penyapu, terasa ada satu kuasa hebat yang membuatkan dia tidak pernah berasa penat. Dia menyapu dan menyapu sehingga tubuhnya berkeringat dan 
pulang dengan perasaan sebagai seorang penyelamat. Bakti bayangkan yang dia telah menyelamatkan dunia dari 
segala kotoran dan sampah sarap.

Ramai yang sudah menganggap Bakti sebagai tukang sapu flat dan tukang sapu jalan. Bakti tidak menafikan atau mengiakan. Dia hanya senyum-senyum. Hanya sesekali dia memberitahu yang dia sebenarnya seorang tukang kasut, bukan tukang sapu. Ramai yang tidak percaya. Ramai pula yang tidak peduli dia siapa.

Bakti terus menyapu dan masih bermimpi tentang kota sonder bayang yang disapunya.

Pada hari yang panas garing hinggakan terasa seperti matahari sedang mencakar-cakar semua manusia, Bakti bekerja seperti biasa di kaki lima. 
Sebuah van meluru datang diikuti dengan sebuah kereta mewah. Dari kereta yang bergemerlap itu keluar seorang lelaki dengan penuh gaya. Dia berkaca mata gelap dan memakai sut kelabu yang tidak sesuai dipakai di hari yang berkuap. Beberapa orang pengawal peribadi mengiringinya bak seorang raja.

Bakti nampak beberapa orang gelandangan berlari menuju ke arah lelaki tersebut. Bukan sahaja gelandangan tapi orang-orang yang ada di kaki lima turut berlari bagaikan tersampuk sesuatu. Mereka mengerumuni lelaki bersut kelabu.

Pekedai tempat Bakti menyewa datang memberitahu yang lelaki kaya itu selalu pergi ke merata tempat memberi makanan dan wang kepada siapa sahaja. Bakti lihat lelaki itu memberikan kotak ayam goreng kepada orang-orang yang berkerumun. Dia juga menghulurkan sampul yang tentu sahaja berisi wang. Orang-orang berebut dan berdesak-desakan untuk mendapatkan habuan.

Lelaki itu tiba-tiba terpandang pada Bakti di kaki lima. Dia lalu meninggalkan kerumunan dan melangkah ke arah Bakti. Setelah lelaki itu hampir, barulah Bakti kenal siapa orang itu. Dialah gelandangan yang mengajar Bakti menjadi tukang kasut.

Lelaki itu menghulurkan kotak ayam goreng berserta sampul duit kepada Bakti.

“Terima kasih orang kaya,” ucap Bakti.

“Selamat menjamu selera orang miskin,” balas lelaki mantan gelandangan.

“Macam mana kau boleh jadi orang kaya?” sempat juga Bakti bertanya dengan suara perlahan.

“Nanti aku ajar kau macam mana nak jadi kaya. Tapi ilmu aku ada tarikh luput. Satu hari nanti kau akan rasa jemu dan berhenti,” jawab lelaki itu dengan sebuah senyuman aneh.

Glosari :

Langka Jarang-jarang

berlaku

Sonder Tidak atau

tanpa