“Banyak kangkung?” Maliah mendekat, lalu bersila di sebelah Akob.

Lelaki tua itu membuang pandang ke halaman rumah. Rumput sudah meninggi. Ketinggian yang membolehkan ular bermain aci sembunyi tanpa cuak. Namun, kudratnya makin renta maka gagah hanya tinggal sisa-sisa. Manakan mampu dia menguruskan segala-galanya. Hendak uruskan diri sendiri pun, terasa payah.

“Bolehlah, buat sekali goreng. Musim kemarau ni, tak berapa gemuk kangkungnya.”

“Abang, duit zakat hari tu, bila kita nak pergi ambil?”

“Itulah yang saya fikirkan. Sazlina tak balik minggu ni?”

“Dia sibuk. Kadang-kadang, hari cuti pun kena datang kerja. Ada je kerja kena buat. Mesyuaratlah, kursuslah, jamuanlah…”

Wajah Sazlina, anak tunggalnya itu menjelma di ingatan. Sejak bekerja, jarang sekali gadis itu pulang ke rumah. Selain itu, menetap jauh di kota raya, kesibukannya makin bertambah.

Akob menghela nafas berat.

“Cek tu boleh guna sampai tiga bulan saja.” Suara garaunya kedengaran mengeluh.

“Kita minta tolong Deris, boleh?”

“Segan juga saya, kerap sangat susahkan dia.”

“Siapa lagi kita nak harapkan kalau bukan dia?” Berkerut kening Maliah memikirkannya.

“Tengoklah esok, saya jumpa Deris.” Berat hatinya hendak menyusahkan Deris. Memanglah lelaki itu tidak berkata apa-apa, namun, dia sendiri tidak selesa.

*****

“Nak mintak tolong kau, bawakan aku ke bank. Nak tunaikan cek zakat ni.”

“Maaf, pak cik. Kereta saya tu rosak. Dah beberapa hari tak hidup.”

“Ya ka?” suara Akob mengendur.

“Cuba pak cik mintak tolong Ghani. Mana tahu, dia boleh tolong.”

Akob mengangguk-angguk, jiwanya terbebat.

Seraya meminta diri, dia menghayun langkah lambat-lambat. Hanya berjalan kaki menuju ke rumah Ghani yang dipisahkan oleh sebuah warung kopi.

“Kereta tu tak ada cukai jalan. Saya belum bayar lagi, pak cik.”

“Oh, kalau begitu, terima kasih.”

*****

“Dapat?” tanya Maliah sesudah makan tengah hari.

“Tak dapat. Semuanya ada masalah.”

“Awak telefonlah Sazlina. Tanya dia, kot-kot dia boleh balik,” cadang Akob.

Maliah pula terdiam. Bukan dia tidak mahu menelefon, tetapi dia sudah maklum dan yakin akan jawapan anaknya itu. Sudah lima bulan Sazlina tidak menjenguk mereka. Terlalu sibuk, ataupun memang tidak mahu pulang ke kampung terus, Maliah pun tidak pasti.Hendak kata merajuk, seingat-ingat Maliah, tidak pula mereka bertengkar.

“Mak, kalau Sazlina dapat kerja nanti, mak tak payah susah-susah bekerja dah. Sazlina nak beli kereta. Senang kita nak bergerak nanti. Dan, nak tebus balik gelang emas mak, yang mak guna untuk Sazlina belajar dulu.” Gadis itu lalu memeluk bahu Maliah.

Maliah akhirnya mengeluh sendirian. Mengusir lamunannya pergi. Dikerlingnya, Akob sedang leka menggulung rokok daun. Dia faham benar kerutan di dahi lelaki itu. Semestinya juga resah.

Keheningan malam itu dipecahkan dengan batuk keras Maliah. Dia mengurut dada. Sakit habis pinggangnya. Urat menegang setiap kali dia batuk. Dada kiri terasa dipulas, perit sekali. Maliah pejamkan mata sekuat-kuat hati. Bergegar-gegar badannya dikerah batuk yang menyakitkan. Kahak tiada. Hanya gatal di kerongkong sahaja. Maliah mula syak bukan-bukan. Mungkinkah TB?

“Awak kena pergi klinik. Risau saya dengar batuk awak tu.” Akob, menggulung kemas kain pelikatnya. Terganggu tidurnya yang baru mula nyenyak tadi.

“Entahlah, Dah tua-tua ni, macam-macam sakitnya.”

“Siaplah, saya bawa ke klinik.”

“Eh, awak ni. Awak pun dah tak larat. Tak harap saya nak naik motosikal dengan awak. Lagipun, dah malam.”

“Habis tu? Nak tunggu Sazlina? Entah bila tahun dia nak balik.” Akob sedikit menjerkah.

“Dia sibuk agaknya. Kerja orang sekarang, tak sama dengan kita dulu.”

“Anak orang lain, boleh saja cuti. Bukan suruh cuti lama pun,” rungut Akob, spontan tercetus daripada bibir keringnya.

“Sudahlah, jangan dirisaukan. Saya minum air asam ni, nanti baiklah batuk ni.”

******

Sazlina menongkat dagu. Telefon bimbitnya dipandang sepi. Satu dengusan berat terluah daripada mulut.

‘Bukan tak nak balik.’ Dia bersuara perlahan. Teringat akaun bank yang kosong. Teringat kereta yang selalu meragam, dia melepaskan lelah. Berbondong-bondong musibah melandanya di ketika ini.

Surat tunggakan ansuran kereta juga masih tersadai di atas meja. Dia menggaru-garu kepala. Sugul dan serabut. Mana mahu dicarinya duit? Meminta daripada orang tua? Memang tidak sesekali. Biarlah, dia simpan kesusahannya sendirian.

Seminggu berlalu.

“Siap. Kita ke klinik. Bolehlah kita ke bank terus.”

“Awak larat ke nak bawa saya ni?”

Akob mengangguk. Dia sudah pun berseluar panjang. Kemudian, baju kemeja pula disarungkan ke badan.

Maliah akur. Memang batuknya tidak sembuh. Sudah berbotol-botol ubat batuk pelbagai jenama ditelannya, namun langsung tiada kesan. Degil sungguh.

Lambat-lambat tongkat motosikal itu ditolak Akob dengan kaki. Topi keledarnya diletakkan ke dalam raga. Maliah sudah berdiri di tepi koridor bank. Menanti Akob yang perlahan-lahan berjalan menuju ke arahnya. Memanglah sudah hilang semua kegagahan lampau. Usia sudah memamah kemudaan.

Bank sederhana besar itu penuh dengan manusia. Kerusi untuk menunggu juga penuh. Cek daripada Pusat Zakat itu dipegang oleh Akob. Maliah terpaksa berdiri di belakang sekali. Dekat dengan pintu keluar.

“Nak buat apa pak cik?” tanya pengawal keselamatan.

“Nak ambil duit zakat.”

“Oh, pak cik isi nama dengan nombor kad pengenalan di belakang ni ya.”

Termangu-mangu Akob di situ. Dia menoleh mencari-cari Maliah.

“Pak cik tak pandai tulis.”

“Oh, adik! Adik boleh tolong tulis kat pak cik ni?” minta pengawal keselamatan tadi. Tangan kanannya setia berdekatan dengan picu pumpgun-nya.

Seorang gadis yang berdiri itu mengangguk. Lalu, dia menuju ke tempat untuk mengisi borang. Akob menyerahkan kad pengenalannya. Berkali-kali Akob mengucapkan terima kasih kepada gadis itu. Muda sedikit daripada Sazlina, mungkin. ‘Apa khabar orang tuamu nak. Pandai mereka mendidik kamu.’ Mujurlah ada yang sudi menolong. Sedikit rasa terkilan menyelinap ke dalam benak. Alangkah bagus kalau anaknya sendiri yang membantu menguruskan hal itu.

Dalam suasana bersesak-sesak itu, Akob menyisih ke tepi. Nombor gilirannya belum sampai. Dia mencari Maliah. Kelihatan Maliah sedang berdiri menyandar di dinding. Kasihan isterinya itu. Tercungap-cungap dan sesekali mengurut-ngurut dadanya yang leper. Terpaksa berdiri pula. Maliah nampak tua benar dalam keuzuran sebegitu. Sebuah alas melapik punggung begitu mahal untuk Maliah ketika itu.

“Pak cik, duduklah.” Seorang lelaki mempelawa tempat duduknya.

“Eh, tak apa ke?”

“Tak apa, mari duduk pak cik.”

Akob berkalih ke belakang. Tangannya menggamit Maliah. Dia ingin memberikan tempat duduk itu kepada isterinya.

Apabila Maliah melabuhkan punggung, seorang lagi pelanggan bangun kerana nombor giliran sudah sampai. Akob mengambil peluang itu untuk duduk. Lenguh sudah kakinya berdiri lama.

Motosikal Akob ditongkat sekali lagi. Maliah hanya menunggu di sisi motosikal tua itu. Usai berurusan di bank, Akob sendirian masuk ke Restoran Nasi Kandar Amran.Kata Maliah, hidungnya terbau-bau harum nasi kandar. Akob mengajaknya makan sahaja di restoran itu. Restorannya berhawa dingin, kerusinya empuk. Pilihan menunya banyak. Ada surau kecil pula kalau sekiranya mereka terlambat untuk berjemaah Zohor di surau kampung mereka.

Maliah menolak. Dia lebih selesa makan di rumah. Boleh bersila, boleh bersimpuh. Lutut dan betisnya tak betah berlama-lama berjuntaian. Dadanya tak biasa dipeluk dingin wap pendingin hawa. Helaian not RM50 diserahkan Akob kepada juruwang. Hatinya berbunga-bunga mahu menjamu Maliah dengan duit itu. Bukan selalu mereka dapat makan makanan yang istimewa.

Lagipun, jarang-jarang sekali, dia ke pekan. Paling tidak pun, dua bulan sekali. Itupun menumpang Deris. Tua-tua macam dia, sudah susah mahu bergerak ke mana-mana.

“Eh, kenapa awak tengok saya macam tu?”

“Saja nak tengok lelaki yang dah banyak berkorban untuk saya.”

Akob ketawa mengekek-ngekek. Sampai terbatuk-batuk. Janggal pula, dipuji begitu. Sudah lama rasanya dia tidak mendengar ayat-ayat berbunga seperti itu. Apa, buang tabiat ke, isterinya itu?

Motosikalnya bergerak dengan kelajuan 40km/jam. Maliah di belakang, menikmati pemandangan sawah yang terbentang. Lama juga dia tidak keluar dari rumah. Baru hari ini, dia melihat keadaan di luar.Akob fokus memandang ke hadapan. Mata tuanya tidak selincah dulu. Kian kabur digulir waktu. Terik mentari juga hangat menyinari. Sesekali menyuluh penglihatan Akob.

“Allahu’akbar!” Jeritan Akob menggegar. Dia tidak perasan ada lubang dalam dan besar di hadapan. Lubang itu sama warnanya dengan tar.

Dia sudah terlambat. Lubang itu gagal dielak menyebabkan motosikalnya terhenyak dan melambung tanpa kawalan. Hentakan itu membuatkan Maliah melambung lalu jatuh di tepi jalan. Akob pula ditindih motosikalnya sendiri.

“Allah!” Hanya itu terluah di bibir Akob saat matanya menatap mata Maliah yang tertutup. Darah merah pekat mengalir membasahi sekitar kepala wanita tua itu. Kain tudungnya lencun.

Tiada sebarang pergerakan lagi daripada wanita itu. Akob menggigil-gigil. Dia cuba untuk bangun, namun tenaganya sudah kering. Dia hanya mampu melihat, orang ramai mengerumuni Maliah. Dan, dia sendiri dipangku setelah jentera beroda dua itu diangkat daripada badannya.

Nasi kandar berselerakan. Daging kambing bertaburan. Kuah dal bersepai, dan ada yang memercik ke kaki seluar Akob. Acar timun kegemaran Maliah sudah bercampur dengan darah. Akob mengalirkan air mata. Sedih tidak tertahan. Membayangkan insan tersayang, yang sedang terbaring di atas jalan. Akob terkilan, kerana dia gagal melindungi isterinya.

Pada waktu itu, dia sudah lupa, dia ada anak. Waktu itu, dia sudah lupa, siapakah anaknya. Apa yang ada di fikirannya, dia bakal bersendiri. Di manakah, dia bakal dicampakkan nanti.