Media campuran merupakan gabungan kolaj dan assemblaj sebagai teknik menghasilkan sesebuah karya. Ia mengalihkan kongkongan realistik atau lukisan berupa dalam seni tampak. Karya awal mixed media lebih menggunakan material seperti metal, barang kemas dan perhiasan berbanding sekarang, yang terdiri dari gabungan pelbagai bahan.

Antara artis yang menggunakan media campuran ini adalah Carlo Crivelli yang menggunakan kayu, kaca dan perhiasan untuk karyanya yang bertajuk St.Peter. Henry Matisse menggunakan cat dan potongan kertas dalam menghasilkan Sorrows Of The King pada 1952, manakala Rauschenberg menghasilkan karya berjudul Reservoir pada 1961 dengan menggabungkan cat dan paku dalam karyanya.

Walaupun pada peringkat awal abad ke-20, para pengkarya masih berpegang kepada pengertian tradisional seni catan iaitu mereka masih lagi melukis figuratif, alam sekitar dan alam benda.

Pertumbuhan pelbagai aliran seperti kubisme, surealisme dan pop art menyebabkan catan tradisional semakin ditinggalkan. Penggabungan jalinan aliran ini membentuk aliran untuk membuat catan media campuran.

Di dalam catan media campuran teknik yang digunakan banyak kolaj dan asemblaj. Ini dapat dilihat dengan adanya pameran yang terbesar di Museum of Modern Art New York, Amerika Syarikat (AS) yang mempamerkan karya asemblaj bertajuk The Art of Asemblaj pada tahun 1961 .

Tahun itu juga merupakan satu langkah pembaharuan dalam dunia catan di mana penghasilan karya ini adalah gabungan bahan catan dengan bahan lain. Kebanyakan bahan catan media campuran seperti aluminium, kaca, kayu, plastik,besi, bahan-bahan buangan dan lain-lain lagi.Artis dari AS, Joseph Cornell merupakan contoh pembuat dan pencipta media campuran penimbang kecil puisi asemblaj di dalam sebuah kotak. Ini merupakan catan media campuran.

Pada awal tahun 1930-an, beliau merupakan orang yang pertama yang masih berpendirian surealisme di Julien Levy Gallery di New York. Beliau telah mengadakan pameran yang bertajuk “Minutiae Glass Bells, Shadow Boy, Coup d’Oeil, Jouets Surealistes”.

Perkembangan 
di Malaysia

Secara amnya terdapat tiga faktor yang telah mempengaruhi perkembangan seni catan moden di Malaysia iaitu penjajahan Inggeris, penghijrahan bangsa dagang dan status pendidikan. Sejarah seni catan moden Malaysia bermula pada sekitar 1930-an menerusi karya-karya Abdullah Ariff, Yong Mun Sen dan lain-lain.

Gaya baharu dipersembahkan di dalam tradisi visual tempat dengan menggunakan kaedah perintis ini telah memperkenalkan pendekatan kaedah seni catan gaya Barat untuk mempersembahkan subjek mereka sebelum ini. Perubahan stail dan konsep karya seni ini merupakan titik peralihan menandakan kelahiran seni lukis moden dengan penghasilan catan media campuran.

Perkembangan karya media campuran telah dipelopori oleh ramai artis-artis catan pada tahun 1990-an. Pengolahan catan media campuran yang mencipta simbol-simbol baharu yang menghubungkan karya-karya seni moden dengan budaya tempatan. Antaranya ialah Choong Kam Kow dan Din Omar yang memetik motif-motif budaya permakanan tempatan sebagai subjek kajian masing-masing.

Dekad 1990-an merupakan titik permulaan catan mixed media di mana ia menyaksikan kemunculan pelukis muda berpotensi dan berbakat besar yang lebih gemar kepada pengolahan mixed media dalam berkarya. Antara mereka ialah Zulkifli Yusof, Mohd. Khalil Amran, Ahmad Hukri Mohamed, Tan Chin Kuan dan Bayu Utomo Radjikin.