“Inspirasi mentransformasi zapin kepada sebuah program modal insan amat mencabar. Biarpun program ini menampakkan sebuah program hiburan dalam bentuk pertandingan, hakikat tersirat sebuah program bimbingan rohani dan jasmani diselitkan dalam pelbagai acara yang dianjurkan,” ujar Noraniza.

Turut dianjurkan ialah program bengkel dan motivasi modal insan secara percuma kepada peserta di setiap peringkat umur dan lapisan masyarakat dengan pendekatan menjurus kepada seni dan budaya.

Penganjuran program yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara lain sebagai mempromosi kemerdekaan negara ke-58 pada Ogos ini.

Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015 ini dimulakan penganjurannya di peringkat zon utara yang diadakan di Taiping, Perak dengan mengetengahkan tajuk Zapin Parit Mastar dari Johor pada 1 hingga 3 Mei lalu yang mendapat sokongan kerajaan negeri.

Peringkat zon timur juga turut diadakan di Perak iaitu di AEON Mall Seri Manjung yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi pada 22 hingga 24 Mei lalu mengetengahkan seni Zapin Salor dari Kelantan. Seterusnya, siri jelajah diteruskan ke zon tengah yang diadakan di AEON Mall Rawang, Selangor yang bertemakan Zapin Lenga pada 5 hingga 7 Jun lalu.

Pada waktu yang sama, turut diadakan pertandingan zapin secara spontan, Zapin Mania yang diadakan di Dataran Merdeka sempena Majlis Pra Pelancaran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015.

Lokasi seterusnya ialah di AEON Mall Tebrau City Johor Bahru, Johor iaitu bagi peringkat zon selatan pada 24 hingga 26 Julai lalu sebagai zon terakhir sebelum ke peringkat kebangsaan dan Nusantara pada penghujung bulan ini.

Noraniza yang juga Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia berkata, siri jelajah yang diadakan tersebut merupakan salah satu produk yang bermatlamatkan mengangkat seni budaya zapin ke arah global.

Ujarnya, penganjuran siri jelajah yang diadakan sejak Mei lalu mendapat reaksi positif dari segi penyertaan dan sambutan penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut.

Keaslian

“Kita memilih tarian zapin kerana seni ini sangat meluas dan setiap negeri mempunyai kesenian tersendiri selain ingin mendekati jiwa generasi muda dengan langkah tari yang pantas dan agresif. Budaya zapin sesuai diangkat sebagai lambang penyatuan budaya bangsa dan menjadi pencetus kepada pengukuhan jati diri dan semangat patriotisme,” katanya.

Turut berkongsi misi sama untuk memartabatkan zapin ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan yang mahu seni kebudayaan berkenaan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri agar terus kekal untuk tatapan generasi muda.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta setahun bagi program pembangunan tarian zapin untuk memperkasakan seni yang menjadi identiti negeri itu. Peruntukan tersebut meliputi program latihan secara berterusan dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor serta persatuan lain yang berkaitan bagi memastikan warisan negara itu terus terpelihara.

“Seni zapin cukup terkenal di seluruh negara dan Johor merupakan negeri yang memberikan penekanan terhadap kesenian itu. Malah, kita mempunyai seramai 250 guru di negeri ini yang terlibat dalam program pembangunan zapin melibatkan 50 buah sekolah rendah dan menengah.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus berusaha bagi memastikan kesenian yang wujud sejak lebih 20 tahun lalu ini kekal dipelihara bagi memastikan generasi akan datang dapat mempelajari sesuatu tentang seni warisan tersebut,” ujarnya.