Afidah mendengus, tanpa mempedulikan sesiapa yang ada di sisinya. Siapakah teman sebiliknya kini. Semuanya tidak penting dalam keadaan dia cuba mengingat kembali apa yang berlaku dalam sekelip mata.

Segalanya berlaku di luar perancangan, jujurnya dia tidak merancang apa lagi untuk melakukan perkara yang memalukan ini. Tiga orang lagi rakan sebilik yang tidak mempeduli siapa termenung dan membisu.

Apa yang dia benar-benar ingat, selepas dia mengaku melakukan perkara yang di luar daripada jangkaannya, di hadapan beberapa orang pegawai pasar raya besar itu, dia tidak membantah, bahkan dengan langkah yang amat berat, dia dibawa ke balai polis, dan selepas segala keterangan diri di ambil, sekali lagi dia diiringi ke bilik kurungan.

“Harga sebuah kasih sayang!” Dia tidak tahu, apakah kata-kata itu keluar daripada mulutnya atau bisikan hatinya. Namun begitulah apa yang sedang dihadapinya.

Sekadar bertukar senyuman dengan jiran-jiran yang tidak diundang, dia meluruskan kakinya sambil mengendurkan badannya ke dinding besi yang memisahkan dia dengan dunia luar. Di luar masih kedengaran suara hingar-bingar kenderaan dan bertingkah dengan percakapan yang dia tidak tahu hujung pangkalnya. Dia cuba melelapkan matanya seketika.

“Bila Aiman boleh bawa air itu?” Aiman tidak tahu apa-apa. Aiman sering bertanya air yang sering dibawa oleh kawan-kawannya. Anak bongsu dalam darjah tiga itu hanya ingin membawa air minuman ke sekolah seperti kawan-kawannya.

“Ada duit, emak beli ya?” Itu yang sering keluar daripada mulut Afidah, dan di luar sedarnya, setiap kali pertanyaan itu, kepalanya angguk, senyuman hambar di bibirnya, sekadar terus memberi harapan kepada anaknya.

Afidah tidak pasti, apakah yang meresap di dalam diri anak bongsunya ini. Sejak kebelakangan ini, kemaruknya menjadi-jadi. Dia selalu membandingkan dengan kawan-kawannya yang selalu membawa bekal air yang menjadi kegemarannya. Dulu-dulu semasa arwah suaminya ada, sesekali ada juga dia membeli perisa minuman itu. Namun Aiman tidak pula mendesak arwah ayahnya supaya menjadikan minuman itu rutin harian di rumahnya.

Ainon yang sudah berusia sebelas tahun, tidak banyak meragam. Ainon faham. Ainon selalu angguk bila emak kata, satu tin perisa minuman itu, harganya sangat mahal. Emak selalu bandingkan dengan teh dan kopi yang kini jadi minuman rasmi mereka sekeluarga.

“Lama tak minum!” Itu yang sering Aiman merungut.

“Teh, kopi sedap juga!” Pujuk Ainon bila Aiman merungut.

Inilah yang selalu bermain dalam kepala Afidah. Bukan dia tidak peduli dengan aduan daripada Aiman mahupun Ainon. Mereka selalu mengaitkan kemahuan mereka dengan cadangan daripada guru-guru di sekolah. Pesanan dan cadangan guru di sekolah amat berkesan kepada anak-anaknya.

“Minumlah minuman yang bertenaga!”

“Minuman itu sesuai untuk kesihatan kita,” barangkali kata-kata ini yang melekat dalam kepala Aiman. Kata-kata itu dibawa sampai ke rumah.

Afidah memejamkan kelopak matanya yang semalaman sukar untuk dipejamkan sejak dia dibawa ke dalam bilik sempit ini, dia benar-benar terganggu. Kesempitan hidup mewajarkan dia untuk membuat pilihan. Sejak kematian suami yang dijemput Tuhan secara tiba-tiba, dia mewarisi kebijaksanaan suaminya dalam mengatur keperluan rumah tangga.

“Belanja ikut kemampuan!” Itu yang sering dipesan oleh arwah suaminya. Biarpun hanya sebagai pekerja biasa di sebuah syarikat, namun suaminya sangat berhati-hati dalam mengatur kehidupan.

“Maimun!” Suara pengawal tempat tahanan meneriakkan nama salah seorang penghuni bilik di sebelahnya. Afidah tersentak. Dadanya berdebar-debar. Tak lama lagi sampailah giliran dia. Seluruh kawasan itu sunyi seketika. Hanya terdengar kunci yang membuka rantai pintu jeriji itu ditarik dengan kuat. Afidah hanya memasang telinga. Menanti saat namanya dipanggil. Mulutnya kumat-kamit. Semalam dia zikir, semalaman dia mengadu nasibnya kepada Maha Pencipta.

“Ya Allah, hamba-Mu ini berada dengan ketentuan-Mu!” Dia benar-benar yakin, dalam saat yang getir begini, hanya kepada Maha Penciptalah tempat dia berserah.

Afidah tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Rentetan peristiwa yang berlaku ada sebabnya. Dia perlu memenuhi permintaan anak-anaknya. Hingga kini belum tertunai. Biarpun dia telah berusaha dengan menjadi pembantu di rumah Hajah Som, tapi berapa sangatlah yang dia dapat.

“Cukup untuk anak-anak dan emak yang tinggal bersamanya!” Itu yang selalu bermain dalam kepalanya setiap kali mendapat upahan daripada Hajah Som.

“Kita kena cermat” itu yang selalu dikatakan kepada Ainon dan Aiman, dan dia yakin Ainon cepat faham.

Sejujurnya, dia tidak pernah meneguk air itu walaupun kerap kali dipelawa oleh Hajah Som. Setiap kali pelawaan daripada perempuan lebih separuh abad itu, dia hanya mampu senyum, dengan senyuman itu terbayang wajah Aiman dengan Ainon.

“Nanti kita beli dan minum bersama,” bisik hati kecil memujuk nafsu yang mendesak dia supaya meneguk minuman kesukaan anak-anaknya.

Dada Afidah berdebar dan tersentak lagi apabila pegawai-pegawai tahanan yang berada tegap dan bersuara lantang berdiri di hadapan biliknya. “Kalau aku bersalah?” Pertanyaan itu tidak terloncat. Dia memandang ke arah kawan sebilik yang masing-masing dengan fikiran yang tidak siapa yang tahu, dia pasti mereka tidak mendengar pertanyaan itu.

“Tiga bulan, enam bulan!” Dia mengeluh. Tempoh hukuman itu yang nanti akan memisahkan dia dengan anak-anaknya. Tentunya mereka akan benar-benar merasa kehilangan yang memisahkan segalanya.

Hajah Som tidak terfikir seperti apa yang dia fikir setiap kali menemani majikannya itu ke pasar raya. Bukan sekali dua dia membantu Hajah Som menolak troli di dalam pasar raya yang terletak di tengah bandar.

Andainya Hajah Som sedar apa yang dia fikirkan atau dia berterus terang sahaja kepada Hajah Som, tentu apa yang dihajati oleh Aiman sudah dipenuhi. Dan dia tidak terhenyak dalam bilik kurungan ini.

“Kau mahu apa-apa Fidah?” Tanya Hajah Som dengan suara keibuan.

Dia senyum dan geleng kepala. Pelaku matanya tetap meliar memandang deretan pelbagai jenis perasa minuman termasuk yang dihajati Aiman.

“Terima kasih Hajah!” Dia menolak dengan kesal. Dia tidak mahu terlalu banyak terhutang budi kepada majikannya. Cukuplah sekadar dia diberi peluang menjadi pembantu dengan upah yang tetap setiap bulan.

“Beras ada?” “Gula cukup?” “Gandum ada?” Kenapa Hajah Som tak tanya tentang perasa minuman yang dihajati oleh Aiman. Dia akan segera mengiyakan kalau Hajah Som ajukan pertanyaan itu.

Dia menjadi sebak bila teringat setiap kali Aiman mengulangi patah-patah perkataan yang sama.

“Bila emak nak beli?” Pertanyaan itu menjadi klise dan sebati pada daun telinganya. Namun dia tidak mahu menyalahkan guru-guru di sekolah itu. Kewajipan guru mencadangkan yang terbaik untuk murid-muridnya.

“Minuman bertenaga, sesuai untuk ahli sukan dan pembesaran badan kita.” Aiman atau Ainon hanya memindahkan kata-kata gurunya itu kepada dia. Mujur Ainon tidak simpan sangat kata-kata itu. Bahkan Ainon macam sealir fikir dengan emaknya.

“Air masak putih, best!” Ainon bangga membawa air yang sudah di masak untuk dibawa sebagai bekalan setiap hari.

“Aiman, Ainon, sabarlah, doa untuk emak!” Air jernih mengalir deras. Dia tidak terdaya menahannya. Dia segera mengesatnya apabila salah seorang teman bilik kurungannya memandang ke arahnya.

“Sihat?” Tanya wanita yang sudah agak berusia kepadanya. Afidah angguk dan senyum.

“Bila dah ada dalam ini, tak perlu menyesal lagi!’’ Sinis kata-kata perempuan itu. Afidah menelan kata-kata itu dengan senyum seolah-olah bersetuju benar dengan kata-kata itu.

Afidah yakin, Hajah Som yang tenang dan pemurah itu telah berpakat dengan emaknya. Hajah Som faham dengan situasi ini. Walaupun Hajah Som terkejut dengan bencana menimpa ke atas dirinya, dia pasti Hajah Som tidak mahu Ainon dengan Aiman tahu apa yang sedang berlaku.

“Aiman, Ainon, emak yang bersalah!” Suara itu tersekat-sekat dan ditemani air putih mengalir di pipinya.

“Emak!” Dan kata-kata itu terbantut apabila beberapa orang pengawal tempat tahanan melaungkan nama setiap orang yang senasib dengannya. Suara itu bersahut diikuti dengan bunyi rantai bilik ditarik. Langkah-langkah keras meninggalkan bilik tahanan dan hilang seketika.

Afidah menyilang tangannya ke arah dada. Perlahan-lahan digerakkan kedua tapak tangan hingga berada di hadapan dua biji matanya.

“Sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah!” dia sayu, dia hiba dan tanpa segan dan silu esak tangisnya diperhati oleh teman senasib dalam bilik kecil ini.

Segalanya berlaku di luar jangkaannya. Dia tidak tahu, kenapa dia melakukan hal yang jijik itu. Ketika Hajah Som sibuk memilih barang-barang terakhir sebelum ke kaunter bayaran, ketika itulah wajah anak-anaknya silih berganti dengan deretan pelbagai perisa minuman. Antaranya perisa yang menjadi idaman Aiman.

“Aiman jangan nakal!”

“Ainon mesti jadi anak yang baik!” Itu pesan dia. Kata-kata yang mengingatkan diri dia dan anak-anak setiap kali anak-anaknya mahu melangkah ke sekolah atau ketika mereka berkumpul di rumah.

“Biar kita susah, jangan meminta-minta!”

“Jangan ada keturunan kita yang jadi pencuri!” Dadanya semakin sebak. Kata-kata itu kini menerkam dan menampar-nampar mukanya. Ah! Malunya dengan kata-katanya sendiri. Dia menarik nafas panjang berkali-kali. Kedua telapak tangan disapu sambil menyebut-nyebut nama Tuhan agar kesilapannya diampuni.

Saat dan ketika dia alpa akan dirinya, tanpa dipaksa, tangannya mencapai kotak berisi perisa minuman untuk tenaga berwarna hijau itu dengan pantas lalu dimasukkan ke dalam baju kurung kotak itu dihimpit di celah ketiak kanannya dengan kejap.

“Untuk Aiman!” Hati kecilnya berbisik riang. Kali ini, anak-anaknya akan senyum lebar.

Jauh di sudut hatinya, dia berazam selepas ini, dia akan menjadi suri rumah penuh masa. Dalam usia hujung tiga puluhan dia bersedia jika ada jodoh demi anak-anaknya.

Seperti tiada apa-apa, dia menyorong troli yang penuh dengan barang keperluan Hajah Som. Dia yakin kotak minuman itu dihimpit kuat dan dia seperti biasa mengekori Hajah Som ke kaunter bayaran. Di ruang matanya terbayang senyuman lebar Aiman dan pasti Ainon juga tidak akan lepas peluang.

Sementara menunggu Hajah Som menuju ke keretanya, Afidah macam biasa. Buat macam biasa. Dia berharap benar, tidak ada apa-apa yang luar biasa. Jauh di lubuk hatinya dia memohon kepada Tuhan agar segalanya akan selamat. Beberapa orang pelanggan keluar masuk dan kadang-kadang bertukar senyuman.

Ketika bonet kereta dibuka, dua orang pengawal keselamatan berdiri di kiri kanan Afidah. Hajah Som senyum, bagusnya pengawal di sini menjaga keselamatan dan bersedia membantu, bisik hati kecil Hajah Som.

Hajah Som tersentak. Kata-kata pengawal keselamatan itu bagaikan guruh petir di tengah hari. Apakah benar seperti dikatakan itu.

“Dia ditahan untuk pemeriksaan!” Kata pengawal itu dengan sopan.

“Kenapa tuan?” Hajah Som kehairanan apabila salah seorang pengawal itu memegang tangan Afidah.

Hajah Som merenung ke arah Afidah. Selama yang dia berjiran, Afidah daripada keluarga yang baik-baik. Arwah suaminya berkawan baik dengan ayah Afidah. Bahkan setelah kematian suaminya, Hajah Som segera menawarkan tugas sebagai pembantu di rumahnya.

“Kami perlu bawa dia ke bilik pemeriksaan!” jelas pengawal itu dengan patuh.

Afidah menundukkan kepalanya. Dia malu untuk bertentang mata dengan Hajah Som. Peluh kecil membintik di ruang mukanya. Seluruh badannya terasa sejuk. Dia tidak tahu dengan perkataan apa sepatutnya dia jelaskan kepada perempuan sebaik Hajah Som.

“Hajah balik, tengok anak-anak saya. Saya..” Dia tidak tahu antara air mata dengan kata-kata sudah cukup menceritakan segalanya. Hajah Som masih memandang ke arahnya yang dipimpin pengawal keselamatan hingga hilang daripada pandangan.

Mahu rasanya dia menjerit sekuat hati agar semua penghuni bilik tahanan itu tahu apa yang terkandung dalam isi hatinya. Atau dia menjerit mengaku apa yang dilakukan itu demi anak-anaknya.

“Anak aku!” “Ini minumanmu!”

Untuk apa suara itu? Dalam bilik kurungan itu, harga simpati menjadi terlalu mahal. Semuanya mengharap simpati agar mereka tidak dilebelkan sebagai pesalah.

Benar, yang benar itu benar. Atas pengakuan yang berladung dengan air mata, akhirnya dia diserahkan kepada pihak berwajib. Hanya kata-kata akhir Hajah Som menjadi pengubat ketika dia diminta menaiki sebuah kereta putih diapit pegawai pakaian seragam.

“Ujian Allah untuk awak. Insya-Allah anak-anak dan emak awak, biar saya uruskan!” Betapa mulianya hati perempuan lewat enam puluhan itu.

Aiman akan meraung. Ainon akan menjerit. Emak yang tenang tentu menyebut nama Tuhan agar anaknya diselamatkan. Berita penahanan dirinya tentu menjadi kecoh di kawasan perumahan itu. Afidah akur.

“Aku yang bersalah!”

“Maafkan emak!”

“Maafkan saya emak!”

Afidah benar-benar berharap dia segera dikeluarkan dan dihadapkan ke muka pengadilan. Dia sudah bertekad, sejujurnya dia akan buat pengakuan, dia akan berterus terang kepada pengadilan dan dia sudah rela dihukum.

“Ya, saya yang mengambilnya dengan niat tidak jujur!” Walaupun pengakuan itu terlalu mahal namun dia rela demi anak-anaknya.

“Tuhanku, berilah aku kekuatan!” Dia menyapu mukanya, dan begitulah dilakukan tadi walaupun dengan pakaian yang ada di tubuhnya dia tetap menghadap Tuhan ketika kawan-kawan yang lain masih lena tidur.

“Afidah Ramli!” Laungan namanya menyentakkan ingatannya seketika.

“Afidah Ramli!”

“Saya puan!”

Seorang pengawal berbadan sederhana berdiri di sisi pintu bilik tahanannya. Dia berdebar-debar. Kini tibalah saat dan ketika yang ditunggu-tunggu. Dia akan dibawa ke muka pengadilan. Afidah melemparkan senyuman kepada kawan-kawan yang masih menunggu giliran mereka.

“Ikut saya!” Kata pengawal itu setelah selesai melekatkan mangga ke arah pintu bilik. Dia mengekori dengan patuh hingga ke sebuah bilik yang sudah sedia menunggu seorang pegawai kanan wanita dengan wajah tenang dan mengukir senyuman. Pegawai itu meminta dia menurunkan tandatangan ke atas beberapa helai kertas yang sudah siap bertaip.

Pegawai itu bersalaman dan meminta dia mengiringi dua pengawal ke arah pintu besar yang masih tertutup.

“Tuhanku, berilah aku kekuatan!” Doanya dia pasti kini sampailah saat dan waktu dia akan diadili.

Ketika daun pintu bilik besar menghadap keluar dikuak, angin pagi menerjah deras bersama cahaya matahari yang mula meninggi, dan ketika itu dia mendengar suara yang sering didengar selama ini.

“Emak!” “Emak!”

Kedua-dua orang anaknya menerkam dan memeluk erat ke arahnya. Air mata sayu mengalir di pipinya juga di pipi tua emak dan Hajah Som. Tiada kata-kata terucap ketika ini.

“Emak!” Aiman dah minum air yang Aiman nak!” Kata Aiman dalam esak tangis sambil mengeluarkan bekas air daripada beg yang disandang.

“Aiman!” Dia bingkas bangun. Aiman masih tidur di hujung kakinya. Ainon lena di sisinya.

“Bangun, dah subuh ni!” Kata emak yang sudah berada di atas sejadah yang baru sahaja selesai solat subuh.

“Kenapa saya emak?”

“Mimpilah tu!” Kata emak dengan senyum dan meneruskan wiridnya.

Afidah bangun dalam kesejukan pagi yang semakin dihembat cahaya matahari di ufuk timur. Sebelum ke bilik air dia melemparkan senyum ke arah Aiman dan Ainon.