"Yang saya lebih marah bila nak kahwin cakap pasal hak suami boleh kahwin lebih daripada satu, berdosa melarang suami kahwin, tak masuk syurga kalau melawan suami. Tetapi adakah suami berfikir mengapa dia tak patut kahwin lebih kalau pendapatan tak seberapa, masuk syurga atau tidak, itu keredhaan Allah bukan izin suami.’’ Itu cerita Nurhashimi.

"Saya sudah dimadu lebih empat tahun dan saya hanya dapat tahu enam bulan lalu melalui kawan. Sebelumnya saya memang tak syak langsung. Sebab saya tahu pendapatannya memang tak banyak, selalu pinjam duit saya dan sering suruh saya bayar dulu dan dia bayar kemudian tapi langsung tak bayar. Memikirkan dia tak berduit, saya tak sangka dia nak kahwin lagi.

"Kerana tak tahu aktiviti sampingannya, saya fikir dia jujur, sebab sering ada di rumah kalau keluar pun kerana urusan kerja dan dia memang pendiam tapi saya tak sangka yang kalau dia kerja luar dia bawa bersama kekasihnya yang kemudiannya jadi isteri dia.

"Rahsianya terbongkar bila seorang kawan sekolah tunjukkan gambar kahwin adiknya nun di utara. Dalam banyak-banyak gambar itu terselit pulak gambar suami saya Hafizi sedang makan. Terkejut beruk saya. Bila pulak 'si beliau’ ini pergi majlis kahwin nun di utara tidak pulak mengajak saya dan saya tidak tahu bila dia pergi.

"Bila bertanya baru kawan ni bercerita 'si beliau' ini suami kedua sepupunya, mereka dah lama berkahwin, sama-sama duda janda. Hafizi duda? Saya tanya nama 'si beliau’ takut 'pelanduk dua serupa” betul namanya Hafizi. Menepuk dada saya, lantas saya bertanya lebih lanjut sambil berbohong mengatakan Hafizi ini dua pupu saya. Amboi terbukalah rahsia. Bila dah dapat maklumat lengkap baru saya tanya Hafizi.

"Pasti dia tak boleh nafikan gambar ada dalam handphone saya. Dengan tergagap dia tetap nafikan gambar itu bukan dia, 'pelanduk dua serupa’ katanya. Walaupun dia tak mengaku saya tetap kata dia dah kahwin lagi. Berlakulah perang besar. Berakhir bila saya menangis dan dia keluar rumah konon tak mahu gaduh panjang.

"Kerana tak puas hati, saya minta kawan hantarkan gambar isteri Hafizi. Walaupun kawan saya merasa hairan, tetapi tetap membantu. Bukan setakat gambar isteri Hafizi, gambar mereka mengadakan majlis kenduri kahwin di rumah keluarga wanita tersebut juga disertakan. Kata kawan lagi, dia tak tahu di mana mereka nikah, mereka cuma hadir majlis kenduri sahaja.

"Bila lengkap dengan gambar pastilah Hafizi tak dapat elak. Perang kami berlanjutan. Saya mula bosan selama ini dia sering kata tak cukup duit, dan minta bantuan saya bereskan urusan makan minum keluarga, tapi ini balasan dia atas pengorbanan saya selama ini.

"Masalah kami tidak segera tamat, saya bawa ke pengetahuan mentua dan ibu bapa saya, sebab saya rasa ditipu dan tak sanggup lagi diperbodohkan. Emak ayah saya kata terpulang kepada saya, kalau boleh sabar, bersabarlah, jika tidak fikir yang terbaik pada fikiran saya. Tetapi janganlah anak-anak jadi mangsa.

"Mentua pulak suruh saya sabar, kalau selama empat tahun mereka sudah berkahwin, saya boleh sabar mengapa tak boleh diteruskan. Lagipun, Hafizi baik, pendiam, bukan kaki pukul, tak main judi dan dia tidak lupakan anak-anak, dia tetap balik ke rumah. Jadi sabarlah.

"Amboi sedapnya mentua saya cakap, anaknya pendiam baik, rupanya 'diam-diam pucuk lepu’ ketika anak perempuannya dimadukan dulu mentua saya bertindak pergi sama menyerang wanita yang jadi isteri baru menantunya. Ketika itu bukan lagi perang, malah berlaku 'lemparan bom’ habis pasu dan pokok-pokok bunga jadi mangsa. Tapi bila bab saya kena madu, dia suruh saya bersabar. apa hal?

"Kerana tidak puas hati sudahlah ditipu lebih empat tahun kahwin senyap-senyap dan suruh saya bantu uruskan makan pakai serta pendidikan anak-anak. Dia boleh kata, kalau selama ini saya boleh bantu, mengapa sekarang tidak? Jawapan saya selama ini saya ikhlas kerana fikirkan dia jujur tetapi setelah terbukti tidak jujur, saya tak rela dan tak ikhlas bantu dia lagi, saya serahkan kepada Allah kerana pembohongannya.

Minta cerai

"Akhirnya saya minta cerai, sebab nak bagi nafkah pun susah. Katanya dia bagi RM700 sebulan takkan tak cukup ansuran rumah dia bayar. Tapi dengan duit sebanyak itu saya mesti uruskan bayaran utiliti, pengangkutan bas sekolah anak-anak, yuran sekolah, buku sekolah, duit saku, bukan anak seorang tapi tiga orang dan setiap mereka ada keperluan yang berbeza. Itu belum masuk aktiviti, sukan, kelas tambahan yang memerlukan duit saku tambahan.

"Tak masuk lagi bayaran tuisyen, belanja pasar, makan minum, dan macam-macam lagi. apa dia ingat RM700 itu cukup, sebaliknya saya terpaksa tambah setiap bulan. Anak-anak sedang membesar makan minum mereka tak pernah cukup.

"Bila saya kata duit yang diberi tak cukup dia naik angin, dia kata saya joli. Nak joli apa dengan RM700. Kerana sering tak cukup duit saya suruh Hafizi sendiri uruskan semua benda, tujuan saya biar dia tahu perbelanjaan sebenar anak-anak. Bil letrik dan air sahaja hampir RM200 sebulan. Bas sekolah tiga orang anak lebih RM300. Bila saya suruh dia uruskan, alasannya dia sibuk. Nasib baik anak-anak sudah bersekolah, kalau hantar pada pengasuh lagi teruk.

"Pada pandangan saya orang lelaki ni patut sangat disekolahkan pasal tanggungjawab dalam rumah tangga, jangan fikir dapat isteri bekerja boleh suruh isteri uruskan keluarga. Terus terang saya katakan sebahagian orang lelaki sekarang cuma tahu hendak kahwin lagi, nak bina keluarga, tetapi mereka tak tahu tanggungjawab dan tak tahu makna berkeluarga.

"Mereka juga tak tahu mentadbirkan keluarga, semua mereka harapkan isteri boleh bantu. Bertuah sangat kalau wanita dapat suami yang mahu ambil tahu pasal rumah tangga, tahu uruskan makan pakai serta pendidikan anak-anak. Sama-sama turun tangan membesarkan dan mendidik anak-anak. Zaman dulu tugas urus anak-anak memang diserahkan kepada isteri, sebab wanita tak bekerja dan si suami keluar mencari rezeki.

"Sekarang keadaan berbeza, wanita turut sama membantu, kerana mahukan keselesaan hidup bukan untuk dirinya sahaja, tetapi juga untuk anak-anak dalam zaman yang penuh cabaran ini.

"Malangnya sokongan isteri ini telah disalahgunakan oleh suami, mereka ambil kesempatan melepaskan semua tugas dan tanggungjawab membesarkan, mendidik dan beri makan minum serta pakaian anak-anak kepada isteri. Ini tak betul. Maka di sinilah usaha atau penerangan lebih jelas mesti disebarkan dan ditegaskan oleh orang-orang di jabatan agama, para ustaz dan mahkamah syariah tentang tanggungjawab suami.

"Sedihnya kalau pergi ke mahkamah syariah, mereka suruh isteri sabar. Suami tak mahu bagi nafkah, mereka suruh sabar, dapat nafkah tak cukup dia kata suami dah kahwin sudah ada anak dan isteri baru, maka dia kena berlaku adil, habis tu mana keadilan kepada anak-anak terdahulu? Jawapan yang paling menyakitkan hati.

"Bila saya tanya pulak ustaz, dia suruh kita ikut cakap suami, jangan bantah nanti masuk neraka, suami ada hak kahwin lebih daripada satu tak boleh ingkar. Kalau tak cukup duit, isteri kena sabar jangan mendesak, syurga di bawah tapak kaki suami. Suami akan berlaku adil.

"Itulah yang kita sering dengar semuanya salahkan wanita, tak pernah kita dengar mereka nasihatkan suami bahawa anak-anak adalah tanggungjawab suami. Anak-anak berhak mendapat nafkah secukupnya, tanpa nafkah, maka seseorang suami itu akan dituntut di dunia dan di akhirat, kerana anak amanah Allah. Anak-anak juga berhak dapat tempat tinggal.

"Bila kita kata nafkah tak cukup, jawapannya jangan berbelanja ikut selera anak-anak. Nak jimat macam mana lagi. Kali kedua saya mohon cerai lagi, kali ini saya disuruh tunggu hingga bekas suami datang. Pasti tak datang. Suruh pun dia tak datang. Sekarang lebih besar kepala selepas daftarkan perkahwinan mereka di negeri ini. Sebab dia tak perlu takut lagi, mahkamah pun akan bela dia sebab kahwin dua.

"Kerana saya sudah hilang sabar saya tuntut nafkah ke mahkamah. Saya minta potongan gaji, waktu itu baru dia datang jumpa saya nak runding. Nak runding apa lagi, supaya saya tak banyak dosa pada suami, saya minta cerai. Dia setuju dengan syarat dia akan jual rumah. Saya jelaskan walau apa pun ceraikan saya dulu, bab nafkah, jual rumah akan dibincangkan kemudian.

"Masalahnya hingga kini dia belum ceraikan saya lagi. Tapi tak mahu bayar ansuran rumah, apa dia nak jual rumah. Nak jual boleh tapi dia kena sediakan tempat tinggal untuk anak-anak. Ini perangai orang lelaki bila dah kahwin lagi, nafkah anak-anak tak dipedulikan. Sebab itu saya syorkan lelaki yang nak kahwin diberi lebih banyak kuliah tentang nafkah, jangan seronok nak kahwin aja, nafkah tak dipedulikan.

"Berbeza dengan orang Cina, walaupun si suami kahwin lain, ada simpanan, mereka tak pernah abaikan anak-anak dan isteri terdahulu, malah mereka beri sepenuh tanggungjawab kerana anak anak zuriat mereka. Berbanding dengan lelaki Melayu ramai yang tak tahu tanggungjawab. Bila saya kata begini ramai ustaz marah, tetapi inilah kelemahan mereka galakkan suami kahwin dua tiga, tetapi tak pernah peringat tanggungjawab seorang lelaki bergelar ayah,’’ itu cerita Norhashimi panjang lebar tentang suaminya pendapatan tak cukup tapi kahwin dua dan suruh isteri bantu.

Sempena Hari Raya Aidilfitri saya menyusun jari sepuluh menohon ampun dan maaf jika tulisan saya menyakitkan hati anda.