Sejak saya berhenti kerja sebagai pengurus syarikat kurier yang memerlukan saya bangun awal pagi, saya seolah-olah membalas dendam kerana tidak dapat tidur panjang. Saya rindukan saat-saat ketika di universiti dulu.

Tidur lewat dan bangun sesudah matahari meninggi. Setelah lebih sepuluh tahun bekerja dan menjadi hamba kitaran jadual padat saya bertekad untuk berhenti dan membuka sebuah kedai runcit kecil. Saya juga mengupah seorang pekerja Bangladesh yang rajin tapi mulutnya kerap merungut itu dan ini. Saya memang jarang datang awal ke kedai dan kerana hal itu, barangkali isteri saya yang bekerja di Jabatan Hutan agaknya berasa cemburu dan tiap pagi dia akan membebel macam saya ni budak kecil umur enam tahun.

Sekarang, sekarang... saya berasa aman sungguh tanpanya di bilik sehinggalah telefon bimbit saya berdering beberapa kali. Tidak henti-henti pula tu. Masakan Ahmadi pekerja saya tu? Saya dah berpesan padanya jangan telefon pagi-pagi buta sebab pada masa pagi itu saya sibuk membelek kitab agama. Tak mungkin dia ingkar arahan saya.

Telefon bimbit saya berdering lagi. Sudah hampir sebelas kali rasanya. Ah, sakit juga telinga ini diganggu sedemikian rupa. Akhirnya saya dengan mata terpisat-pisat mula bangkit sedikit. Gebar tebal yang membalut tubuh saya kuakkan sedikit. Tangan mencapai alat kawalan suhu penyaman udara lalu ditekan butang rendah. Saya lihat nombor yang tertera pada telefon bimbit. Berkerut juga dahi saya. Saya tak kenal nombor itu tapi kerana tidak mahu si pemanggil mengganggu saya selepas itu saya jawab panggilan tersebut.

“Hello?”

“Hello Khalid, kau sihat?” tanya suara itu. Ia suara perempuan. Saya tak dapat mengecam suara siapakah itu lalu saya bertanya “Siapa ni?”

“Nancy lah. Best friend lama kau,” balas suara itu. Saya terdiam memikirkan siapakah Nancy ini. Ini kerana saya sejujurnya ada dua tiga orang kenalan bernama Nancy. Antaranya bekas kekasih saya sebelum kahwin dulu. Saya takut kalau-kalau Nancy itu yang menghubungi saya. Macam mana kalau dia masih terkejarkan saya?

Lebih buruk lagi macam mana kalau dia hendak memusnahkan rumah tangga saya? Kegundahan tiba-tiba menerpa hati saya lantas saya meletakkan panggilan itu. Namun selang beberapa minit kemudian telefon berdering lagi. Saya capai sekotak rokok menthol lalu saya nyalakan api. Panggilan itu saya jawab, saya bertekad mahu memakinya supaya jangan kacau hidup saya lagi.

“Hello, Nancy! Cukuplah, kita dah tak ada apa-apa. Berhentilah kacau hidup aku!” kata saya dengan suara yang agak keras juga.

“Wei, aku Nancy Wagnerlah. Kita sama-sama satu fakulti, satu kelas ITM Jalan Othman dulu,” balas Nancy dengan suara agak bercerit.

“Wah, kau Nancy! Ingatkan... fuh nasib,” kataku sambil mengurut dada kelegaan. Lega aku kerana Nancy yang bercakap ini bukannya Nancy Foo bekas kekasih saya dulu. Ini ialah Nancy Wagner, rakan baik yang sudah lama terpisah. Hairan juga saya daripada mana dia dapat nombor telefon saya?

“Kau ni pun. Eh, kau apa khabar?” tanya Nancy ceria. Saya menyedut rokok menthol yang terbakar dan hembus asapnya yang berkepul naik mencemari udara. Ini memang betul-betul mengingatkan memori lama ketika saya belajar di ITM dulu. Macam-macam kenangan jahat bersama Nancy yang dilalui bersama.

Yang paling saya ingat tentulah bagaimana saya bersama-sama Nancy mengintip seorang penyanyi rock popular yang mengangkut anak gadis pelajar ITM di luar kampus. Tiap-tiap malam minggu muka penyanyi terkenal itu akan menyempil di tepi jalan dengan kereta mewahnya berhampiran pintu pagar kampus untuk mengambil gadis-gadis kampung yang cantik, tergedik-gedik kerana bertemu penyanyi terkenal.

Saya dan Nancy akan menyelinap dan mengambil gambar dengan kamera Kodak sebelum mengugut gadis itu untuk menyebarkan gambar mereka. Kami tahu gadis-gadis itu mewah sebab diongkosi oleh penyanyi tersebut. Saya tersenyum sendirian. Memang perangai nakal tahap iblis.

“Aku sihat-sihat saja. Kau pula?” balas saya senang.

“Alhamdulillah syukur. Aku baik-baik juga,” balasnya. Saya terkejut. Benarkah Nancy menyebut perkataan Alhamdulillah tadi? Seingat saya Nancy beragama Kristian. Nancy Wagner, dialah orang pertama yang menegur saya ketika saya masuk ke dalam bilik kuliah di semester satu dulu. Kami sama-sama mengambil jurusan Sains Perpustakaan.

Nancy orangnya cantik, kulit putih, tinggi sederhana dan bila tersenyum akan terumpil lesung pipit pada sebelah kanan wajahnya. Rambutnya panjang dan beralun. Mukanya sikit-sikit macam Wann penyanyi lagu Bossanova. Maklumlah, orang Sabah keturunan Murut dan berasal dari Tenom memang cantik dan putih melepak. Sama macam yang diterangkan dalam lagu Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu.

Setahu saya lagi Nancy itu kuat agama Kristiannya walaupun berperangai gila-gila. Setiap hari Ahad dia pasti ke gereja yang terletak di pinggir Petaling Jaya.

Malahan pernah pula dia bergurau dengan saya dengan mengajak saya turut serta. Nancy pernah beritahu saya yang keluarganya berpegang pada satu mazhab Kristian yang agak rigid. Saya macam tak percaya juga bila dia kata yang keluarganya tidak meminum arak dan pergaulan bebas tidak dibenarkan.

“Kau dah masuk Islam ke?” tanya saya.

“Ya, dah lama dah.”

“Sekejap. Sebelum tu mana kau dapat nombor aku ni?” tanya saya yang masih hairan dan terkejut banyak perkara tentang Nancy.

“Aku cari nama kau dalam Facebook. Kau tulis nombor kau di ruangan maklumat kau. Itulah yang aku dapat contact ni,” terangnya. Kami kemudian berbual banyak perkara. Tentunya hal-hal yang lepas banyak diungkit semula. Nancy kemudian bercerita bagaimana selepas graduate dia ke luar negara. Saya ingatkan padanya yang ketika dia ke luar negara itulah saya terputus hubungan langsung dengannya.

Ceritanya lagi dia tidak sempat menghabiskan pengajian sarjananya kerana memang dia sudah tertekan hidup sebagai pelajar di California. Pelajarannya terumbang-ambing dan dia membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia. Di Malaysia dia bertemu dengan seorang pemuda Melayu, bercinta lalu berkahwin.

“Aku sebenarnya nak bagitahu satu info penting ni.”

“Apa benda?”

“Kau masih merokok tak?” tanya Nancy. Saya teringatkan yang kami pernah sama-sama ponteng kelas Encik Ray dan menghisap rokok di warung. Dialah yang mempengaruhi saya untuk menghisap rokok menthol sampai sekarang.

“Ya,” balas saya sambil tenyehkan rokok kedua yang saya hisap ke dalam asbak.

“Kau kena minum susu. Susu boleh generate semula sel paru-paru kita yang kotor,” katanya teruja.

“Isy, kau ni. Biar betul?” tanya saya sangsi. Sebagai bekas pelajar jurusan Sains Perpustakaan yang banyak belajar bagaimana mahu menyaring sesuatu kesahihan maklumat, maklumat mentah seperti itu memang membuatkan diri ini tertanya. Entah daripada mana maklumat si Nancy ni dapat saya pun tak tahu.

“Betullah. Apa-apa jenis susu pun baik untuk paru-paru kita ni,” katanya lagi cuba meyakinkan saya.

“Tengoklah nanti aku beli sekarton Calpis. Pi Pi Pi Pi” kata saya cuba bergurau. Dia ikut ketawa. Seketika kemudian kami saling mengucapkan selamat tinggal dan menamatkan perbualan. Telefon bimbit saya pun sudah kepanasan dan bateri sudah hampir kehabisan. Nancy berjanji yang satu hari nanti kami akan berjumpa bersama-sama dan lepak di restoran Old Town PJ. Janji yang tak pernah pun tertunai.

Beberapa hari kemudian selepas membaca beberapa artikel berkenaan kebaikan susu, saya mula mengamalkan pesanan Nancy. Mulanya susah juga nak minum susu ni. Tekak yang sudah terbiasa dengan kopi dan teh yang dibuat daripada susu pekat manis seakan-akan tidak boleh menerima susu jenis lain. Lama-kelamaan saya terbiasa juga. Isteri saya juga hairan melihat perangai saya yang tiba-tiba membeli dua tiga karton susu Dutch Lady lalu diletakkan dalam peti ais. Anak bongsu perempuan saya yang masih tinggal serumah ikut sama menghabiskan susu itu.

Tiap kali waktu malam sambil menghadap komputer untuk menulis atau melayari internet saya mesti akan meneguk dua kotak susu. Tapi tabiat merokok saya bertambah kuat pula. Ini kerana saya yakin setiap batang rokok yang saya habiskan, kesannya yang menyesakkan dada akan dicuci oleh sekotak susu.

Pada suatu petang ketika saya dan Ahmadi berada di kedai saya dihubungi oleh Nancy.

“Kau kena makan buah nanas. Nanas elok untuk cuci paru-paru!” katanya meyakinkan saya.

“Hari tu kau kata susu.”

“Susu pun ya juga. Nanas lagi baik.”

Saya pun kemudiannya kerap pula membeli nanas. Nanas potong, nanas dalam tin atau air nanas sehingga saya sudah melupakan susu yang menjadi kemestian saya sebelum ini. Kemudian beberapa bulan selepas saya mengamalkan pemakanan nanas, Nancy menghubungi saya lagi. Saya agak dia hendak mencadangkan diet baru lagi, rupa-rupanya tidak.

“Kau kena cuba vape,” ujarnya.

“Benda hembus-hembus tu?”

“Iya. Aku dah cuba. Vape boleh buat kau berhenti hisap rokok terus,” kata Nancy lagi beria-ria.

“Isy, tak bahaya ke?” tanya saya ragu-ragu. Saya banyak baca perkongsian dalam group Whatsapp kawan saya. Banyak orang yang pecah bibir, terbakar mulut kerana vape yang dihisap itu meletup.

“Vape tak bahaya la. Kau beli kat satu kedai ni, ada kelulusan kerajaan,” katanya lagi. Dia pun memberikan alamat kedai tersebut. Saya pula entah mengapa mengikuti saranannya. Saya pun belilah beberapa alatan untuk vape.

"Temasuklah coil, bateri, pengecas dan perisa. Rupanya mahal juga benda ini. Hampir RM500 telah saya habiskan. Tapi memang betul kata Nancy, sejak saya hisap vape, nafsu untuk merokok menjadi kurang sedikit. Cuma saya tidaklah berhenti merokok terus. Yang pastinya kos selenggara untuk vape ini memang memakan duit.

Saya berasa yakin yang paru-paru saya menjadi semakin bersih. Disebabkan itu pada suatu hari saya mengambil keputusan untuk berjoging. Saja nak uji sama ada saya termengah atau tidak. Ketika beberapa minit berlari anak di Taman Botani Perdana dada ini terasa sungguh menyesakkan. Nafas tercungap-cungap. Sakitnya dada ini, ya Allah. Memang hanya Allah yang tahu.

Saya terus berehat di bangku tersedia. Hampir setengah jam saya terduduk menyandar. Rasanya memang dah tak larat dah nak terus berjoging. Sambil duduk saya terpandangkan sepasang suami isteri tua.

Lakinya berketayap lusuh dan beruban sementara isterinya memakai anak tudung dan muka berkedut seribu. Mereka berpimpinan tangan sambil berlari anak macam tiada apa-apa yang menghalang. Saya tegur dan bertanya berapa umur mereka.

“Dah 75 tahun,” jawab si suami tersengih kerang. Saya cemburukan mereka. Sudah tua pun masih romantis dan sihat pula. Saya berlalu dengan hampa. Sebelum pulang ke rumah saya beli dua kotak susu dan dua potong buah nanas.

Di dalam kereta, sambil memandu perlahan kerana kesesakan jalan yang teruk saya habiskan semua nanas dan susu yang saya beli. Di rumah pula saya tidak merokok langsung. Saya mula berasakan yang hari esok saya patut ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Keesokan paginya apabila saya sudah bangun awal, saya terasa sangat hendak merokok. "Ah, sebatang saja, tak mengapalah," kata saya memujuk hati yang risau. Sambil merokok saya baca berita online di dalam komputer. Sedang saya membaca telefon berdering. Saya lihat nombor Nancy tertera.

“Hello Nancy,” kata saya. Dalam hati saya hendak sangat ceritakan betapa pesanannya berkenaan mencuci paru-paru menggunakan susu dan nanas atau berhenti merokok menggunakan vape tidak berkesan langsung.

“Hello, ini pakcik Khalid ke?” sangkaan saya meleset. Bukan Nancy di talian tapi suara seorang remaja lelaki.

“Ya, ni siapa? Bukan Nancy ke?”

“Ini Faiq, anak sulung Nancy. Saya cuma nak beritahu, mama dah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi di hospital.” Saya disentak dengan kejutan. Betul-betul terperanjat mendengarnya. Berita ini memilukan saya.

"Sudahlah kami terpisah begitu lama, kemudian berhubung melalui telefon bimbit saja dan tidak berpeluang berjumpa langsung. Pada masa itu saya terbayangkan wajah Nancy ketika kami sama-sama merokok di warung. Saya melihat telatah dan senyumannya sambil berbual.

Air mata berkaca di pelupuk mata.

“Innalillah. Dia sakit apa?” tanya saya dengan suara yang bergetar.

“Dia sesak nafas. Doktor kata ada masalah paru-paru. Urusan pengebumian sekejap lagi di tanah perkuburan Bukit Damansara. Tolong doa dan sedekah al-Fatihah untuk mama ya?” kata Faiq sebelum menamatkan panggilan. Serta-merta rokok yang tersepit di jari saya terlepas.