Kebolehan tersirat ini, walaupun tidak nyata, sudah cukup membanggakan diri dan merasakan sendiri masih memiliki kecemerlangan walaupun pencapaian akademik jauh ketinggalan dalam kelas.

Tanggapan tentang kehebatan diri ini lenyap sama sekali – tamatnya zaman kanak-kanaknya – ketika Ah Seng menjejakkan kaki ke peringkat menengah. Ah Seng merasakan seolah-olah dirinya yang sebenar telah diasingkan kepada dua jasad. Jasad pendua – lambang legenda diri yang hebat – telah meninggalkan jasad induk. Dia kehilangan kebolehan luar biasa yang dimiliki selama ini dan mula mengharungi dunia berpandukan kemandirian yang lemah.

Ah Seng mula menggandakan usaha bagi membolot kedudukan teratas dalam kelas. Berkat usaha dan minat yang mendalam tentang bahasa Malaysia, Ah Seng mula mendapat pengiktirafan akademik dan sanjungan daripada kawan-kawan. Kebolehan baru sebegini – penguasaan kosa kata, daya mengarang, kefasihan berbahasa – mula mengisi kekosongan dalam diri. Hakikatnya, sebagaimana yang didapatinya pada kemudian hari, kecintaan diri terhadap bahasa Malaysia berputik atas pengaruh kemanusiaan. Persekitarannya yang berlatarbelakangkan budaya Cina merangsang kecenderungannya untuk berpaut pada entiti asing – bahasa Malaysia sebagai elemen luaran dalam budaya ibundanya – ini.

Kadangkala, Ah Seng tidak pasti dengan andaian sebegitu dan pernah meragui sekiranya rakan-rakannya turut bersungguh-sungguh dalam perkara yang sama, berkemungkinan besar dia akan menarik diri daripada persaingan sengit sedemikian dan beralih kepada aspek lain dalam kehidupan – sifatnya yang suka menyendiri dan menaruh minat terhadap perkara yang jarang sekali menjadi perhatian orang.

Walau bagaimanapun, realitinya, komitmen yang dicurahkannya secara naif pada waktu itu telah meninggalkan kesan yang berpanjangan pada jiwa remaja Ah Seng. Dari usia kanak-kanak hingga remaja, Ah Seng selalu membayangkan diri mempunyai kekebalan terhadap segala masalah yang mendatanginya. Kepercayaan sebegini terhasil daripada pengamatan terhadap tabiat orang dewasa di sekelilingnya.

Ah Seng bijak dalam menyelesaikan masalah kerja sekolah – soalan Matematik, karangan – dan merasakan diri terlalu pandai sekiranya perlu berdepan dengan permasalahan orang dewasa. Pada hal dia amat jarang terlibat dalam proses penyelesaian masalah keluarga.

Barangkali perlindungan sedemikian menjadikan segala kerumitan tampak kecil dan remeh pada pandangannya.

Sebagai murid tahap dua sekolah rendah, gambaran tentang diri sebagai watak yang istimewa – imitasi daripada plot novel kanak-kanak karya Enid Blyton, terjemahan bahasa Malaysia – selalu sahaja muncul dalam kepala. Ah Seng percaya dirinya menjadi kunci penyelesaian kepada setiap bencana atau misteri yang terjadi di kawasan sekolah dan taman perumahan. Dia tidak jemu melayan imaginasi sedemikian dan terus-menerus meniru apa-apa yang menarik perhatiannya dalam buku cerita.

Pengalaman pembelajaran di universiti mendedahkan Ah Seng kepada dunia sebenar; lebih liar, terasing, pantas, kejam, rumit daripada yang dikenalinya. Pada peringkat ini segala persepsi tentang kepandaian – keyakinan dalam menyelesaikan masalah algebra, trigonometri, koordinat geometri – diri menemui penamat. Dia cenderung menganggap kehidupan terlalu mudah.

Segala perancangan – strategi permainan dan pembelajaran – yang berjalan lancar sebelum ini meyakinkannya bahawa semua perkara dalam kehidupan ini dapat diaturkan mengikut kemahuannya, dan sesetengah daripadanya memang layak diperolok-olokkan sewenang-wenangnya – dia membuli rakan karibnya tanpa menyedari hukuman yang menyusul ketika di peringkat prasekolah; Ah Seng suka akan keyakinan dan keberaniannya ketika kecil. Setelah menarik diri daripada jurusan kejuruteraan, masa depan Ah Seng menjadi terumbang-ambing.

Dia diselubungi ketakutan yang amat sangat kerana apa yang dirancang sebagai ‘masa depan yang cerah’ tidak menjadi selepas itu. Walaupun Ah Seng berjaya menghabiskan pengajian empat tahun terkemudian dalam bidang pengurusan harta tanah, dalam menempuh sela masa yang tidak menentu di alam kampus, dia telah menemui suatu fakta yang menggerunkan tentang diri. Menerusi pencarian di laman sesawang dan penyelidikan di perpustakaan universiti, Ah Seng berhasil menemukan jawapan kepada fenomena yang menyeksanya selama ini, di bawah carian kata kunci ‘Obsessive compulsive disorder’. Diagnosis atas inisiatif diri ini telah merungkaikan simpulan misteri yang terbentuk sejak kecil dan mendekatkannya kepada diri yang sebenar.

Pada usia 27, Ah Seng memulakan kerjaya sebagai guru bimbingan, peranan yang memberi kesempatan kepadanya untuk kembali menyelami dunia kanak-kanak. Sebahagian besar tanggapan Ah Seng tentang bahasa Malaysia datangnya daripada cerita legenda, drama Seniman Agung, buku teks, cerita penyiasatan, imaginasi dan pengiktirafan tentang penulisannya.

Dalam cara yang sama, dia cuba mewujudkan tanggapan sedemikian di kalangan budak-budak sebagaimana ia menarik perhatiannya pada zaman 90-an. Atas niat ini, kadangkala Ah Seng akan menyisipkan cerita dongeng dalam kelas untuk memancing daya ingin tahu mereka. Dia suka hubungan mereka dalam bentuk sedemikian rupa apabila mendahagakan cerita barangkali menjadi motif pelajar menghadirkan diri dalam kelas.

Ah Seng suka melihat mata mereka yang berpinar-pinar seolah-olah apabila kalimat tertentu daripada suatu cerita diucapkan, ia membawa kesan yang menggerunkan dan pembunuhan Mahsuri benar-benar berlaku di depan mata mereka.

Bahasa Malaysia seakan-akan hidup dengan kemunculan Hang Tuah bersama Taming Sarinya di belakang kelas, Mahsuri yang berjaya mengelak tikaman tombak dan berlari mengelilingi kelas, Raja Bersiung yang kelihatan bengis bersandar pada dinding di tepi papan putih dan penglipur lara sepertinya yang tidak jemu menakut-nakutkan budak-budak di depan kelas.

Menafsir

Pernah terjadi setelah siri pergaduhan di tempat kerja, Ah Seng mendapati diri melepak tidak tentu arah di pekan Bukit Mertajam – tempat dia membesar – pada hujung minggu. Dengan niat untuk melapangkan fikiran yang runsing dan melepaskan tekanan sambil berjalan-jalan, Ah Seng memulakan penjelajahan dari jalan utama ke lorong-lorong yang bersimpang-siur antara bangunan lama.

Ketika dia menatap segala benda – objek, orang – yang wujud di sekitar kawasan ini, perhatiannya tertarik kepada perkataan-perkataan yang membentuk pekan ini. Galeri Lukisan Smart. Pusat Dobi Lip Sion. Jalan Perpaduan. Agensi Pekerjaan C & M. Lembaga Hasil Dalam Negeri. Pusat Urut Kaki Kooi Bee. Kedai Basikal Ah Lai. Jalan Kampung Baru. Dewan Serbaguna Ng Yam Huat. Hospital Daerah Bukit Mertajam. Restoran Irfanah. Medan Selera Sentosa. Pusat Tarian Sumi Belly. Pusat Mengetuk dan Mengecat Kereta Ban. Klinik Dr. Segar. Bas Kilang Zulkifli. Flat Wawasan.

Seiring mencatat nama-nama khas tersebut pada pad tulis, semua objek ini dirakam dengan kamera.

Ah Seng suka menafsir perkataan-perkataan pada papan tanda dan membuat kesimpulan tentang frasa yang ditulis secara betul atau sebaliknya dari segi tatabahasa – Pusat yang mengetuk dan mengecat kereta Ban? Apabila Ah Seng beralih dari lorong ke lorong, dia mencuba mencari saki baki kenangan daripada wajah pekan yang saya kenal sejak kecil.

Kedai kopi. Pusat Tuisyen. Kedai elektrik. Kondominium. Kedai gunting rambut. Firma guaman. Kedai jam. Kedai kasut. Balai polis. Masjid. Balai bomba. Tokong. Kedai buku. Hotel. Gereja. Pasar awam. Kuil. Bilangan nama-nama am yang tidak berpenghujung terus-menerus tampil di hadapan mata ketika sampai di penghujung Jalan Stesen dan membelok ke Jalan Arumugam Pillai.

Apabila otaknya sudah tepu dengan lambakan huruf-huruf, Ah Seng menghentikan permainan otak sedemikian. Otaknya sarat dengan seribu satu gambaran huruf-huruf dalam pekan yang berhubung kait antara satu sama lain. Sepanjang kepandaian diri mempelajari bahasa Malaysia, kemahiran sebegini pada hakikatnya, pada akhirnya, mentautkannya semula kepada diri yang asal, diri yang pada mula-mulanya, pada saat sebelum pandai mengenal dunia.

Kerap kalinya, apabila minda Ah Seng terperangkap dalam kerumitan permasalahan realiti – makna kehidupan, kepercayaan, cinta, agama, jati diri, persahabatan, kekayaan, nilai murni, gejala mental – dan jasad ini semakin hanyut dalam kepalsuan dunia yang menyeksakan ini, sering kalinya, perkataan mudah yang membuka mindanya ketika zaman prasekolah menjadi jalan keluar kepada kesengsaraan sebegini.

Ayam. Bola. Telur. Kereta. Taman permainan kanak-kanak. Rumah. Sekolah. Bunga raya. Pokok. Beg. Pensel. Buku. Layang-layang. Emak. Kebolehan untuk menghubungkaitkan kata kunci tersebut – Ah Seng suka mengenal pasti perkataan-perkataan mudah daripada buku kanak-kanak, dan masih suka membaca sesuatu yang mudah pada umur sekarang – dengan memori zaman kanak-kanak atau remaja yang manis, atau ilustrasi yang menggembirakan – pada buku teks, buku cerita, membuat hatinya kembali bahagia, membuat gelora kepedihan dalam hati, akhirnya reda.

Pada usia 30, atas desakan perasaan ingin tahu – lebih terdorong oleh kebosanan, Ah Seng mula merenung merpati-merpati yang kerap bertenggek di pokok di lorong belakang bangunan tempat kerjanya. Sambil menghirup kopi di pantri, Ah Seng membilang kawanan burung menghiasi dahan-dahan pokok dari tingkat satu.

Dia mengukur jarak masa yang diperlukan sebelum merpati seterusnya mengambil keputusan untuk pergi dari situ. Kerja yang tidak masuk akal ini kerap kali membuahkan desakan untuk menulis sesuatu pada kertas, tanpa sempadan tatabahasa, yang membongkar kebodohan diri – atas desakan kemarahan, kegilaan dan kebencian yang menjadi-jadi dalam minda. Pemerhatian ini selalunya berakhir setelah merpati pertama terbang meninggalkan kawanannya.

Pada saat menelusuri lorong sempit antara bangunan rumah kedai, pekan ini didatangi hujan renyai. Hujan lebat menyusul sebaik sahaja diri melangkahkan kaki ke sebuah warung nasi ayam. Berteduh sambil membelakangkan tauke yang sibuk melayan pelanggan, mata Ah Seng bertentangan Pasar Raya GSL – pada zaman 90-an, ia dikenali sebagai Pasar Raya Bukit Mertajam, supermarket yang paling awal pernah wujud dalam ingatan terhadap pekan ini.

Seingat Ah Seng, di pintu utama pasar raya inilah, dia menerima hadiah Krismas pertama dalam hidupnya, daripada petugas yang berhias sebagai ‘Santa Claus’.

Petir sabung-menyabung berselang-seli dengan dentuman guruh. Hujan semakin lebat. Angin yang kencang menyukarkan mereka yang berniaga di tepi jalanan. Ramai pejalan kaki terperangkap dalam cuaca buruk ini sama sepertinya. Hakikatnya, hujan lebat sebegini pada penghujung tahun telah melunturkan memori mereka tentang wajah pekan Bukit Mertajam pada tahun 80-an dan 90-an. Apabila ramai yang bernaung di kaki lima di bawah bumbung deretan kedai merenung secara mendalam panorama pekan yang semakin kabur dilitupi hujan, seakan-akan mengharapkan sesuatu, membaca nasib sendiri, pada saat itulah Ah Seng dapat menyelami betapa peritnya hidup manusia ini boleh menjadi.

Menjelang abad ke-21, pendatang asing mula membanjiri pekan ini. Suatu perasaan asing mendatanginya pada kala berada di antara mereka yang kerap mengerumuni Plaza Bukit Mertajam. Perasaan ‘terasing’ ini juga melandanya setiap kali berada di luar sempadan Bukit Mertajam, seolah-olah bagi Ah Seng, pekan ini merupakan pusat kepada alam semesta dan tempat perlindungan untuknya selama-lamanya daripada kepelbagaian dunia luar.

Pada saat diri dikongkong perasaan sedemikian, matanya cenderung menangkap perkataan-perkataan yang dapat mengembalikan kewarasan diri. Perkataan ‘ganjaran’ pada brosur pelancongan, ‘kemelesetan ekonomi’ pada halaman akhbar, ‘menguruskan badan’ pada papan iklan, ‘harga bersih’ pada tanda harga kotak pensel, ‘mengantuk’ pada label paket pil, ‘kejayaan’ pada helaian pembentangan seminar, ‘Jalan Maju’ pada papan tanda jalan, ‘minuman kegemaran anda’ pada label tin minuman bergas, ‘faedah’ pada penyata hutang, ‘Selamat datang lagi’ pada resit pembayaran, ‘yoga’ pada baju senaman, ‘Rukun Negara’ pada kulit belakang buku latihan, ‘efektif’ pada kulit depan buku rujukan, ‘harta tanah’ pada ijazah, ‘aroma’ pada bungkusan serbuk kopi, ‘terima kasih’ pada sari kata filem, ‘jualan hebat’ pada kain rentang di tepi jalan, ‘kekayaan’ pada buku motivasi, ‘ejen insurans’ pada kad nama, ‘kebenaran’ pada buku agama, ‘saga’ pada but kereta, ‘pelajar terbaik’ pada piala, ‘Negaraku’ pada soalan susun perkataan Tahun 1; semua ini meyakinkan Ah Seng bahawa selain dunia yang selalu sahaja nampak hipokrit, masih wujud teman-teman perkataan yang ikhlas dan setia, yang apabila bilangan mereka cukup banyak, menjadi kemungkinan yang cuba dibuktikannya melalui penulisan.

Selalunya, apabila himpunan abjad-abjad ini mula membentuk puting beliung dalam kepalanya, kesengsaraan ‘diri terasing’ ini lesap dalam sekelip mata. Hujan lebat menjadi renyai-renyai sebelum matahari membenamkan diri. Seiring dengan kelompok manusia yang mula menggerakkan diri, seolah-olah kembali menyambung kisah hidup masing-masing, Ah Seng mula perasan tentang kedaifan yang membentuk nasib diri selama ini, nasib pekan ini, semangat pekan ini.

Untuk sekian lamanya, Ah Seng mengimpikan penulisan yang dapat menggarapkan semangat sedemikian. Keupayaan untuk memberi martabat kepada kedaifan ini menemukan kegembiraan asal dalam diri. Sebelum pekan dikambus kegelapan yang durjana, dia ingin benar berada semula di rumah sendiri, di samping keluarga. Dan keinginan untuk menulis akan mula membuak-buak dalam hati.