Bagi mengekalkan semangat itu dalam diri setiap rakyat, tema patriotisme mesti sentiasa diketengahkan dalam karya-karya sastera pada setiap suasana dan zaman kerana ia memain peranan penting untuk kemajuan dan keamanan negara.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, patriotisme tidak hanya terhad kepada perjuangan menuntut kemerdekaan atau melawan penjajah sahaja.

Pengertian patriotisme merangkumi sikap mengasihi negara, rasa bangga terhadap negara dan bersemangat melakukan sesuatu yang baik untuk negara dan rakyatnya.

“Hal ini termasuklah melakukan perkara-perkara baik untuk diri sendiri seperti bekerja dan berusaha memajukan diri sendiri.

“Anak-anak muda yang cintakan negara pastinya sayang pada diri sendiri... jadi, mereka tidak akan melibatkan diri dengan dadah atau lumba haram, misalnya, sehingga mengakibatkan kemalangan yang membawa maut kepada diri sendiri atau menyebabkan kecacatan sepanjang hayat," katanya.

Selepas 61 tahun Malaysia merdeka, patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni perlulah terus dijiwai dan diamalkan demi menyumbang ke arah pembentukan generasi berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Sastera Melayu moden lahir dan berkembang pada akhir dekad 1940-an dan 1950-an selaras dengan bersemaraknya semangat nasionalisme dan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air.

Penulis-penulis pada dekad itu seperti Ibrahim Kajai, Shamsudin Salleh, Harun Aminurrashid, Ishak Muhammad, A. Samad Ismail, Keris Mas dan Usman Awang, sekali gus muncul sebagai sasterawan, wartawan, pejuang kemerdekaan dan pejuang bahasa.

Mereka dianggap sebagai intelektual dan patriot yang mengemukakan pemikiran kepada masyarakat terutama tentang kemerdekaan tanah air dan pembinaan bangsa.

Zurinah, 69, yang membesar dengan karya angkatan penulis ketika itu berkata, kebanyakan hasil mereka menampilkan perjuangan bagi menyedarkan rakyat supaya bangkit dan keluar daripada penjajahan.

“Mereka melakukan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh. Hal ini mungkin berbeza dengan keadaan masa kini, di mana ramai yang menjadi penulis kerana sekadar suka-suka dan tiada tujuan tertentu,” katanya.

Antara karya sastera yang sarat dengan mesej perjuangan pada era mendapatkan kemerdekaan itu ialah novel Putera Gunung Tahan oleh Ishak Haji Muhammad, cerpen karangan Usman Awang Nasib Seorang Ibu Tua dan sajak Pada Tanah Yang Indah karya A. Samad Said.

Namun, seiring peredaran masa, Zurinah berkata, penjajahan tidak lagi semata-mata bererti penaklukan bangsa asing ke atas sesuatu bangsa.

Penjajahan kini berlaku dalam pelbagai cara seperti melemahkan jiwa dan minda dengan penerapan budaya yang negatif.

“Justeru itu, usaha untuk menyebarkan rasa kasih pada negara, keluarga dan diri sendiri harus terus dipupuk menerusi sastera serta medium yang lain.

“Orang yang mengasihi negara tidak akan melakukan perkara-perkara yang mencela atau mencedera orang lain khususnya yang senegara dan sebangsa dengan mereka, dan hal ini sangat penting dalam masyarakat kita yang berbilang-bilang kaum," kata penulis novel Hatimu Aisyah itu.

Beliau berkata, antara langkah bagi menyemai semangat cinta kepada negara, bangsa dan agama adalah dengan memperbanyak karya sastera yang bertemakan sedemikian.

“Hal ini lebih berkesan jika diperkenal dan ditanam sejak usia muda iaitu pada peringkat sekolah atau prasekolah.

“Ia boleh disemarakkan melalui lagu-lagu dengan seni kata yang menyalurkan semangat kebangsaan," jelasnya.

Selain itu, sastera tradisional berima seperti pantun dan syair juga menjadi alat membentuk peribadi dan pemikiran bangsa kerana ia mengandungi nasihat dan panduan kehidupan.

“Sastera sangat penting dalam membentuk jiwa manusia. Kata-kata yang berima mempunyai impak kepada pendengar, malah Al-Quran juga mengandungi ayat-ayat yang berima dan mengandungi metafora atau perlambangan indah,” kata Zurinah yang juga penyair dari Kedah. – BERNAMA