Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Sastera mengilhamkan imaginasi realiti?

Sastera dianggap mengkhayalkan dan tidak bermanfaat? Adakah bidang lain seperti sains, geografi, metamatik dan sejarah tidak mengandungi langsung elemen mengkhayalkan?

NOVEL Wi dan William antara contoh novel sebagai platform penceritaan terbaik menggalurkan imaginasi
NOVEL Wi dan William antara contoh novel sebagai platform penceritaan terbaik menggalurkan imaginasi idea sehingga dapat disetentangkan dengan realiti sebenar masyarakat.

Maksud khayal ialah sesuatu yang tidak wujud atau tidak terlukis atau yang timbul dalam fikiran seseorang secara angan-angan serta fantasi.

Memang tidak dapat dinafikan, adanya unsur khayalan dalam sastera namun secara hakikatnya, sastera memerlukan kemahiran daya fikir atau daya ilham yang berimaginasi sehingga mampu bertukar menjadi realiti kehidupan baik secara bandingan atau ketepatan konteks.

Bidang sains juga terdapat elemen khayalan. Dengan khayalan tersebut akan membentuk imaginasi realiti tentang dunia dan kehidupan. Misalnya pembelajaran fakta tentang sistem suria dan planet.

Sudah pasti, seseorang pembaca atau pelajar akan berkhayal sehingga mencetuskan imaginasi perihal sistem suria dan planet di angkasa lepas.

Ilham imaginasi akan wujud secara berfakta tentang realiti sistem suria contohnya jasad matahari, peredaran bulan, komet, tahi bintang, buruj, planet pluto, utarid dan sebaginya.

Pasti ada dalam kalangan pelajar akan membayangkan dengan cara berkhayal (berfantasi) berada di sistem suria sehingga mengilhamkan imaginasi dalam realiti berfakta yang ilmiah walaupun sukar untuk dimaujudkan secara tepat dan konkrit.

Bidang kesusasteraan juga dapat diironikan seperti belajar sains atau bidang-bidang yang lain. Dalam dunia sastera akan sentiasa ada elemen mengkhayalkan atau tidak logik.

Namun, khayalan tersebut muncul daripada ilham yang diimaginasi secara terpimpin sehingga dapat dibandingsamakan atau dibandingbezakan dengan kehidupan di alam realiti.

Misalnya sastera sejarah tentang Hang Tuah dan Hang Jebat tetap mengandungi unsur khayalan dan tokok tambah yang boleh dipertikaikan kesahihannya tetapi mampu diilhamkan melalui imaginasi zaman secara ironi yakni pada zaman dahulu dan zaman sekarang.

Kejadian perbalahan Hang Tuah dan Hang Jebat yang berlaku pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, kini secara realitinya dapat disamakan dengan apa yang berlaku pada masa kini khususnya dalam kancah politik mutahir.

Mungkin juga adegan pertikaman dahsyat itu dapat disamakan dengan kehidupan orang Melayu kini yang mudah percaya kepada adu domba dan fitnah sehingga terjadinya pertarungan dan pembunuhan membuta-tuli.

Situasi ini berlarutan meskipun zaman telah melalui beberapa fasa revolusi pemikiran.

Medium Bahasa

Sastera yang diimaginasikan juga terilham daripada buah fikir yang kreatif dan kritis melalui medium bahasa sehingga dapat membentuk realiti melalui titipan pedoman dan pengajaran tersurat malah tersirat.

Hal ini menjadi dominan apabila sesebuah karya sastera dapat menterjemahkan idea secara estetika sehingga mengkalamkan sesuatu yang melekat dalam kalangan masyarakat.

Contohnya cerita lisan bersatira berjudul Pak Pandir merupakan cerita khayalan tetapi memberikan gambaran imaginasi secara realiti dalam kehidupan sebenar. Pernahkah kita mendengar itu Pak Pandir itu seorang yang cerdik dan bijaksana?

Pasti kita tetap akan mengatakan Pak Pandir itu bodoh lagi mendungukan. Inilah yang dikatakan imaginasi realiti apabila cerita rekaan (khayalan) mampu menjadi hakikat dalam kehidupan sebenar masyarakat.

Meskipun zaman kini zaman serba moden, tetapi ‘benih pemikiran’ Pak Pandir tetap wujud dan tidak akan hilang di dunia ini. Ramai manusia akan mewarisi sikap dan cara Pak Pandir yang sesungguhnya amat memudaratkan bangsa dan negara jika tidak terkawal.

Hal ini jelas apabila karya sastera secara sinis menyindir manusia melalui khayalan watak yang terimaginasi tetapi berealiti andai dilihat dengan mata akal yang tajam dan berkiblat ilmu.

Genre novel dan cerpen dilihat amat dominan dalam mengilhamkan imaginasi realiti. Ini kerana jasad karya sastera novel dan cerpen lebih besar dan luas serta mudah difahami berbanding puisi.

Garapan cerita dalam novel dan cerpen akan membangkitkan emosi melalui pemaparan watak rekaan atau watak sebenar tetapi tetap menggambarkan realiti dalam kehidupan.

Misalnya pembaca akan berkhayal tentang sesebuah cerita yang diketengahkan sebelum menterjemahkan dalam hakikat kehidupan.

Novel Wi dan William karya novelis terkenal Azizi Haji Abdullah misalnya memaparkan realiti kehidupan masyarakat Melayu yang gemar menjual tanah sehingga hilang tanah warisan pusaka demi mengubah kehidupan yang dimatlamatkan.

Orang Melayu yang diwakili watak Wi seolah tenggelam dalam kemiskinan manakala watak William mewakili bangsa Cina yang diakui amat mahir dalam bab ekonomi dan perniagaan.

Perbalahan watak Wi dan William memperlihatkan situasi kaum terbesar di Malaysia yang hidup dalam kemajmukan merdeka tetapi tetap wujud elemen syak wasangka dan sentimen perkauman.

Secara jelasnya, novel ialah platform penceritaan terbaik yang menggalurkan imaginasi idea sehingga dapat disetentangkan dengan realiti sebenar masyarakat di negara kita baik semasa pra merdeka atau pasca merdeka.

Maqam Ilham

Genre puisi juga mempunyai maqam ilham dan imaginasi tersendiri kerana tidak semua orang mampu mentafsirkan sesuatu karya menjadi realiti.

Karya berangkap yang tersembunyi maknanya memperlihatkan sisi sukar pemahaman namun mampu dihasilkan secara imaginasi ilham yang aneh.

Penulis akan mengkreatifkan karya sehingga mewujudkan suntikan tema berfalsafah secara kritis dan mencabar minda.

Misalnya puisi bebas (sajak) tentang alam sekitar yang dihasilkan melalui khayalan terpimpin sehingga mengilhamkan idea yang realiti.

Contohnya kemusnahan hutan, pembuangan sisa toksik, kepupusan flora dan fauna, pencemaran sungai dan sebagainya yang dilihat sememangnya realiti dan hakikatnya memang benar-benar berlaku di dunia ini.

Penulis yang kreatif akan memaknakan hasil karya melalui garapan imaginasi berestetika dan beretika manakala pembaca yang kritis akan menterjemahkan imaginasi menjadi realiti sebenar dalam kehidupan walaupun hanya mirip atau seakan-akan sama.

Dek sastera yang dikatakan mengkhayalkan, maka keoptimisan masyarakat terhadap sastera telah lama luntur. Malah, bahasa yang menjadi medium sastera bangsa turut menjadi mangsa keadaan apabila bangsanya sendiri memandang enteng dan lekeh akan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu dan sastera dianggap tiada nilai komersial malah amat ketinggalan zaman. Kemunduran minat masyarakat terhadap sastera mengakibatkan sastera ibarat melukut di tepi gantang.

Lebih memarahkan, bahasa Melayu turut dianggap terlarut dalam dunia khayal apabila pejuang bahasa Melayu sering mendendangkan perihal kejayaan lalu sebagai lingua franca pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Kini, kegemilangan itu hanya tinggal sejarah yang juga merupakan realiti sebenar masyarakat. Adakah benar sastera mengkhayalkan atau terilham daripada imaginasi semata-mata tanpa realiti?

Hanya orang yang tidak meminati sastera sahaja akan menghukum sastera tidak mempunyai nilai komersial dalam kehidupan. Sastera sebenarnya melambangkan jati diri bangsa sesebuah negara. Sastera mencerminkan tamadun bangsa.

Pencinta sastera yang jujur akan akur manakala pembelot sastera yang ‘buta sastera’ akan terus berkhayal dalam lena.

Benarlah, yang memusuhi sastera dan bahasa ialah bangsanya sendiri. Mereka sebenarnya berkhayal di dunia realiti.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain