“Along? Jangan cari pasal. Nanti jadi macam dulu,” tegah Kak Ngah.

Aku melepaskan keluhan. Apabila hal abah yang ini diusulkan memang menjadi masalah. Bukan masalah kecil tetapi sudah menjadi sebesar-besar masalah.

“Kalau ajak abah ikut kita, jangan pula kita suruh abah jual kebunnya. Mesti abah tak setuju,” tuturku perlahan.

“Along tu tak adalah sampai nak jual kebun abah. Hari tu Along gertak je. Tapi nampak gaya abah tetap tidak berganjak dengan keputusannya. Itu yang menjadi masalah kita.”

“Dibah tahu Along gertak tapi kata-kata Along tu mesti dah buat abah jauh hati dengan kita,” kataku penuh kerisauan.

“Apa kata Dibah pula cuba pujuk abah. Mana tahu abah nak dengar cakap Dibah.” Kak Ngah memberi cadangan.

Sekali lagi aku melepaskan keluhan.

*****

Sejak beberapa hari yang lalu sebaik berjumpa dengan Kak Ngah, diriku sudah mula dihambat resah. Badan dan hati tidak lagi bersekongkol. Hatiku sudah tidak tertahan-tahan menanti kedatangan hujung minggu. Perasaan melonjak-lonjak menerpa dalam diri. Kini, jasadku sahaja yang berada di sini, namun jiwa sudah teringat-ingat pada kampung. Wajah abah sesekali bermain-main di ruang mata.

Semenjak emak tiada, abah jelas berbeza. Abah lebih suka menyendiri. Satu yang ditanya, satu yang dijawab. Kadang-kadang abah bersikap acuh tak acuh dengan kami. Abah akan bermenung sendirian di kerusi malas di beranda. Dahulu, abah ditemani emak di situ. Mereka bercerita, sesekali terpacul senda gurau antara mereka dan tawa emak kedengaran jelas. Kini segalanya sudah berubah. Raut ceria abah hilang.

‘Abah...’ bisikku di dalam hati.

“Kau orang masak bukannya sedap. Tawar...tak macam emak kau masak.” Spontan abah membalas kata-kataku ketika aku mempelawanya makan. Aku terdiam sebaik mendengar kata-kata abah. Kemudian tergelak kecil.

Aku faham perasaan abah yang kehilangan. 35 tahun bukan sekejap. Daripada abah tidak punya apa-apa. Melihat ketabahan abah dan emak membuatkan aku berasa kagum. Kesungguhan emak membantu abah, bukti cinta sejatinya. Rindu menyebabkan abah murung. Sudahlah abah penghidap darah tinggi. Itu yang merungsingkan aku untuk membiarkan abah bersendiri selalu.

“Kenapa abah ni susah sangat nak dengar cakap kami?” suara Along kedengaran. Agak lantang. Along melontar selayang pandang kepadaku. Aku hadiahkan jelingan tajam pada lelaki berbeza 10 tahun daripada ku itu. Sebal hatiku ini. Kak Ngah membisu. Berdiam sedari tadi di sofa yang sudah agak berlapuk.

“Abah tu dahlah tak sihat. Jangan abah nak fikirkan diri abah saja. Cuba abah dengar cakap Lan ni. Susah sangat ke abah?”

Abah duduk di muka pintu. Diam tidak berkutik. Raut wajah abah masam mencuka. Abah memicit-micit dahinya dengan wajah yang berkerut seribu.

“Dah banyak kali Lan pesan. Suruh upah orang. Abah tak nak. Kudrat abah dah tak sama macam dulu. Dulu arwah mak ada, sekarang abah seorang. Kalau apa-apa jadi pada abah, siapa yang susah? Akan datang, abah jatuh lagi, tak siapa tahu, macam mana?” kata-kata Along meluru laju. “Abah kena ikut kita orang juga. Lan tak kira apa juga keputusan abah,” gertaknya lagi.

Aku sudah memencilkan diri di suatu sudut di ruang tamu. Kecut perutku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Along. Kalau boleh aku loloskan diri dari masalah ini, sudah lama aku berbuat demikian. Dari gaya mereka, aku seakan-akan dapat rasakan akan berlaku peperangan mulut antara Along dan abah.

“Abah dengar tak apa Lan cakap. Lan nak abah ikut kita orang,” sambung Along lagi.

“Berapa kali aku dah beritahu kau orang. Aku tak nak! Jangan paksa-paksa aku!” Suara abah bergetar. Abah mengetap bibirnya. Desahan nafas abah jelas kedengaran turun naik.

Abah panas baran, begitu juga dengan Along. Mereka berdua sering tidak sependapat.

“Kalau susah-susah sangat, abah pun degil, kita jual sahaja. Itu sahaja jalannya!” sambung Along lagi. Menyimbah minyak ke dalam api yang sedang membara.

Abah membuntangkan matanya.

“Jangan sesekali kau sebut jual dengan aku, Roslan. Biar aku terkedang tak bergerak, aku takkan sesekali menggadaikannya. Ini semua kudrat aku. Susah payah aku. Jangan....” Tegang nada abah berbicara dengan wajahnya yang sudah cemberut menahan marah.

“Kau jangan lupa, hasil kebun itulah aku sekolahkan kau orang adik-beradik. Hasil kebun itulah aku hantar kau masuk universiti. Sekarang kau suruh aku jual pula, Lan,” sambung abah lagi, beremosi.

“Aku bersusah payah usahakan kebun itu dengan mak kau. Kau apa tahu! Itu kenangan antara aku dengan mak kau.”

Mendengar kata-kata abah membuatkan perasaan aku bertambah sebak dan kini teresak-esak.

*****

 

“Abah...Tolonglah dengar permintaan Dibah ni.” Suaraku lirih.

Abah hanya melurut-lurut janggut putihnya dan matanya masih tertancap ke arah kaca televisyen. Tiada reaksi. Aku yang duduk bersimpuh bertentangan dengan abah resah menanti jawapan.

“Abah...” tanyaku setelah agak lama abah berdiam.

Sekilas abah memandang ke arahku. “Siapa yang suruh Dibah pujuk abah ni? Along atau Angah?”

“Tak ada siapa pun yang suruh. Dibah sendiri yang nak ajak abah tinggal dengan kami.” Aku cuba berterus-terang dengan abah.

“Jangan tipu abah. Abah tahu kalau tak Along yang suruh, mesti Angah yang suruh.”

“Abah, dia orang pun anak-anak abah. Along dengan Angah tu risau abah tinggal seorang kat sini. Kalau abah ikut, kita orang boleh gilir-gilir jaga abah. Makan pakai abah pun terjaga.”

“Tak apa. Abah boleh jaga diri abah sendiri.”

“Abah, kali ini Dibah merayu pada abah. Abah janganlah macam ni. Abah buat Dibah serba salah.”

“Biarlah abah tinggal di sini. Kalau abah ikut kau orang, kasihan emak kau tinggal seorang kat sini,” beritahu abah bersungguh-sungguh.

Aku tergamam.

“Abah tahu tak, orang kampung cakap anak-anak abah tak nak jaga abah. Orang kampung bercakap kerja abah duduk kat kubur aja. Siang malam pagi petang, di situlah duduknya. Tengok macam tak betul aja. Abah nak ke orang kampung bercakap pasal anak-anak abah ni?”

“Biarlah apa orang kampung nak cakap, nak. Orang bukan faham pun perasaan kita. Kita aja yang faham dan tahu perasaan sendiri,” balas abah bersahaja, namun hinggap di lubuk hatiku.

“Abah...”

“Lagipun mak kau dah pesan pada abah, jangan tinggalkan rumah ni. Abah dah janji, selagi abah hidup.” Sekali lagi, kata-kata abah hinggap ke dasar hatiku. Rasa sedih sekali hingga meruntun hati.

Aku terdiam. Air mata sudah mula bertakung di kelopak mata. Babak abah dan emak bergurauan di beranda, bermain di ruang mata yang berair.