Selepas seminggu, Zelda tergerak hati untuk berkunjung lagi ke pohon itu. Merayau di kaki lima rumah kedai dalam cuaca yang panas terik membuatkan dia berasa letih. Fikirnya, bagus juga dapat berehat di bawah pohon itu sambil melihat kesibukan kota metropolitan yang bermacam ragam.

Namun, hasratnya itu bertukar hampa tatkala dia lihat pohon itu sudah tiada lagi di tempatnya. Lebih tepat lagi, sudah ditebang. Hanya tinggal tunggul kosong yang tidak berdaun. Sekali pandang, tak ubah seperti Statue of Liberty yang masih dalam proses pembinaan.

“Kau kata dua minggu…” desis Zelda sambil menyeka air matanya.

Sejenak kemudian, Zelda mendekati tunggul pohon itu. Sambil tersedu-sedan, dia mengusap batang kayu berwarna coklat kemerah-merahan itu dengan penuh belas. Bagi menunjukkan rasa simpati, dia mula mencangkung di sebelah tunggul itu untuk melakukan defekasi. Belum sempat proses itu bermula, sebiji batu sebesar genggaman hinggap di ubun-ubunnya. Dia terperangah lantas berlari pergi dari situ tanpa melihat siapa yang terlalu kejam melemparkan batu itu kepadanya.

Pemergian pohon arborvitae itu membuatkan kehidupan Zelda yang berwarna-warni bertukar monokrom. Setiap malam dia akan bermimpikan pohon itu. Dalam mimpi itu, dia duduk di bawah pohon itu sambil mencerap kesibukan sebuah kota metropolitan. Tiada sebarang interaksi lisan. Hanya momen yang sepi di tengah-tengah keriuhan kota.

Semenjak ketiadaan pohon arborvitae itu, kaki lima rumah kedailah menjadi tempat Zelda berteduh. Sebenarnya, dia bukan mahu sangat berteduh di tempat yang busuk dengan bau longkang dan asap rokok yang menyesakkan dada itu. Dia tiada pilihan lain. Itulah satu-satunya tempat di mana keberadaannya jarang diganggu.

Sehinggalah pada suatu hari, ketika dia sedang duduk di kaki lima sambil merenung nasib diri, dia telah ditegur oleh bangunan tempat dia berteduh itu.

“Kau ni nampak macam ada masalah je?”

“Kau boleh bercakap?” balas Zelda, seakan tak percaya.

“Kau sedih sebab pokok arborvitae kat seberang jalan tu kena tebang, kan?” tanya bangunan itu, tidak mengendahkan soalan Zelda.

Zelda membenarkan telahan itu. Dia turut memberitahu tentang ramalan arwah pohon itu mengenai kematian yang akan datang dalam masa dua minggu. Dia sungguh tidak menyangka kematian itu datang lebih awal daripada tempoh yang diramalkan.

“Kau tahu kenapa dia kena tebang?” soal bangunan itu.

“Tak.”

“Sebab manusia nak bina kaum kerabat aku kat situ.”

“Jadi…” Zelda menggumam seketika. “Jadi, kematian pokok tu disebabkan kaulah?”

Bangunan itu tertawa besar sebelum menjawab. Katanya, dia tak mahu salahkan sesiapa dalam hal itu. Di era globalisasi ini, kelompok masyarakat perlu sentiasa berfikir ke depan jika hendak berjaya. Jika masih terperuk di takuk lama, sampai bila-bila tak akan maju.

“Maksudnya, kemajuan menghancurkan tamadun?” duga Zelda.

“Kau ni kucing yang bijak juga,” balas bangunan. “Tapi, aku tak bersetuju seratus peratus dengan hipotesis kau sebab definisi tamadun bagi setiap orang tu lain-lain.”

“Tapi aku bukan orang.”

Bangunan terdiam seketika. Dia bukan tak mahu terus berdebat dengan Zelda, tapi dia tahu tak akan ada pemenang mutlak dalam perdebatan itu. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menyalahkan pendapat Zelda dan begitu pula sebaliknya. Akhirnya, kemenangan itu hanya dapat diraih atas dasar berjaya menyangkal pendapat lawan, bukan kerana kebenaran pendapat itu sendiri.

“Tapi…”

“Zelda. Panggil aku Zelda.”

“Tapi Zelda, aku tak rasa ramalan arwah pokok arborvitae tu salah,” ujar bangunan, sekaligus membuatkan kening Zelda terangkat. “Kalau kau nak tahu, pokok tu digelar sebagai Pokok Kehidupan. Dia bukan je ada pengetahuan tentang dunia ni, tapi dunia lain jugak. Pendek kata, dia tahu semua perkara. Jadi, aku tak rasa ramalan dia salah.”

Zelda dihambat seribu kebingungan. Perasaan ingin tahunya membuak-buak bagaikan air mendidih di dalam cerek. Ekornya diliang-liuk, seolah-olah mencari ilham yang berlegar di udara.

“Aku rasa baik kau tak payah tau lebih-lebih,” nasihat bangunan.

“Kenapa pulak?”

“Kau tak pernah dengar pepatah orang putih? Curiosity killed the cat.”

“Aku tak percaya orang putih,” tegas Zelda. Baginya, orang putih tak lebih daripada sekadar penjajah. Dan dia sangat bencikan orang putih kerana moyangnya dulu pernah disembelih sebanyak sembilan kali semasa pihak British menjajah Tanah Melayu.

“Kalau kau dah cakap macam tu, aku tak boleh kata apa-apa.” Bangunan tertawa kecil. “Kalau kau nak tahu sangat kebenaran ramalan arwah pokok arborvitae tu, esok pagi-pagi kau datang kat hujung kaki lima ni. Nanti kau akan tahu segalanya.”

Malam itu, Zelda tak boleh tidur lena. Perasaan ingin tahunya meronta-ronta umpama lembu yang hendak disembelih ketika Hari Raya Korban. Sehinggakan kelopak matanya takut untuk terkatup kerana risau dengan rusuhan hati itu. Pelbagai spekulasi mula terbit, membuatkan benaknya tak henti-henti bekerja. Sehinggalah sampai satu tahap di mana dia tak mampu menanggungnya lagi, fikirannya mula letih dan dia terlelap dalam dengkuran yang kasar.

Bangun keesokan paginya, dia bergegas ke hujung kaki lima tanpa memberus gigi atau mencuci muka terlebih dahulu. Dia bangun agak lewat, jadi dia tak ada masa untuk rutin membersihkan diri. Semuanya gara-gara semalaman berkontemplasi. Kalau tidak, pasti dia ada sekurang-kurangnya waktu untuk melakukan defekasi terlebih dulu.

Tiada apa-apa di hujung kaki lima sewaktu dia tiba. Hanya kabus nipis yang berbalam dan kedai-kedai yang belum beroperasi. Daripada segar-bugar sehinggalah dilanda kantuk semula. Dia menguap dua kali. Masuk kali yang ketiga, matanya terus menjadi segar apabila dia mendengar bunyi tapak kaki yang datang dari lorong di tepi kaki lima.

Mungkin inilah kebenarannya.

Tak lama selepas itu, muncul seorang lelaki warga asing yang Zelda agak berasal daripada Vietnam. Lelaki itu berdiri tegak dengan sebatang rokok terkacip di bibir. Dia memandang Zelda seketika sebelum melangkah perlahan-lahan mendekati kucing itu. Semakin lama, semakin dekat. Dan beberapa saat selepas itu, semuanya berlaku bagaikan kilat. Lelaki itu menangkap Zelda dan berlari dari situ umpama lipas kudung.

Sejenak kemudian, Zelda tiba di sebuah rumah yang dipenuhi dengan orang-orang sebangsa dengan lelaki itu. Zelda dibawa ke dapur dan diletakkan ke dalam sangkar di atas meja. Dia sempat mengiau manja dengan harapan ada orang akan bersimpati dan melepaskannya. Namun, itu semua ternyata sia-sia apabila dia nampak lelaki tadi datang kepadanya sambil memegang papan pemotong dan pisau yang tajam berkilat.

Jadi, inilah kebenarannya, getus hati Zelda. Kematian yang akan datang dalam masa dua minggu tu, rupa-rupanya kematian aku.

“Zelda…”

Zelda menoleh ke jendela yang terdapat di dapur itu. Dari situ, dia nampak bangunan tinggi yang berborak dengannya semalam.

“Kau dah tahu kebenarannya sekarang?” soal bangunan itu.

Zelda mengangguk. Dia tahu, bangunan itu takkan mendengar apa-apa pun kalau dia bersuara. Beza fizikalnya dengan bangunan itu membataskan cara dia untuk berkomunikasi. Bangunan itu besar, bersuara lantang. Jauh beza dengan dia; sekadar kucing jalanan yang kini sedang menghitung masa untuk mati.

“Kau takut? Mati dalam tangan pekerja-pekerja kilang tu?”

Zelda menggeleng selamba. Tiada sekelumit perasaan takut pun di dalam hatinya. Tapi dia berasa agak terkilan kerana akan mati dalam tangan pekerja kilang. Lebih tepat lagi, dalam perut pekerja kilang.

“Aku kagum dengan kau,” ujar bangunan dengan nada sedih. “Bertabahlah, Zelda.”

Zelda hanya tertawa kecil melihat bangunan yang tersedu-sedan mengesat air mata. Dia tahu, itu bukanlah hari perpisahan mereka kerana ramalan pohon arborvitae hanyalah tentang satu kematian. Hari esok, dia akan berehat di kaki lima bangunan itu lagi, berbekalkan lapan nyawa yang masih berbaki.