bukalah mata mu melihat dunia

carilah di mana-mana negara

nikmat pembangunan dihidangkan bersama

sebuah kek yang ditambah besar

tahun demi tahun

pisau dan pinggan untuk setiap rakyat

di meja yang rata

selebihnya komitmen dan kesungguhan jiwa

Tatkala kau mendakwa melihat kezaliman

bukalah mata mu melihat dunia

carilah di mana-mana negara

keadilan diperkasa dari dewan ke dewan

dari sempadan ke sempadan

dan kesaksamaan dilembagakan perkongsian

hanya kau yang berkali-kali melanggar permuafakatan

bercita-cita mengubah sejarah

yang dilakarkan air mata dan darah

Tatkala kau mendakwa melihat diskriminasi

bukalah mata mu melihat dunia

carilah di mana mana negara

para pribuminya menabur budi

sehingga akhirnya menggigit jari

namun terus melepaskan anjing-anjing

yang tersepit di jaring

Tatkala kau mendakwa melihat rasisme

renungilah cermin sendiri

semasa kau bersorak melontarkan api

dan perdengarkan kata-kata dari kerongkong mu

semasa mengarak bendera kuasa

di daerah pengkhianatan mu

Tatkala kau mendakwa kami ini lemah

ketahuilah

sekali ini kami tidak akan mengalah!

RAMLAN ABD. WAHAB